Pilu! Abang & adik sehidup semati, maut kemalangan dalam perjalanan pulang ke asrama. 'Pergi dalam perjalanan menuntut ilmu'

No Image Caption
A
A
A

PERJALANAN pulang ke asrama yang menjadi rutin mingguan bertukar menjadi detik paling menyayat hati buat sebuah keluarga apabila dua beradik dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya, petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang di Lebuh Raya Utara Selatan, motosikal jenis Honda RS dinaiki pasangan adik-beradik itu dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berhenti di lorong kecemasan di Lebuhraya PLUS Sungai Petani menghala ke Bertam, berhampiran Sungai Muda.

Mangsa, Luqman Nulrois, 18, dan adiknya, Siti Nurzulaikha Mohammad Shukor, 17, masing-masing merupakan pelajar di Kolej Vokasional Nibong Tebal dikatakan dalam perjalanan pulang ke asrama di dari rumah di Guar Chempedak, Kedah.

Siti Nurzulaikha membonceng motosikal berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala si abang, Luqman Nulrois menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas akibat kecederaan parah.

No Image Caption

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu,  motosikal ditunggang mangsa dipercayai telah merempuh kenderaan jenis Toyota Vellfire yang semasa itu berhenti di lorong kecemasan dipercayai akibat masalah tayar belakang.

Bedah siasat ke atas mayat dua beradik tersebut akan dijalankan di Hospital Kepala Batas, pada pagi esok.

Pilu kehilangan dua pelajar sekali gus, pihak Kolej Vokasional Nibong Tebal menerusi laman sosial Facebook menitipkan ucapan takziah buat keluarga dan berharap pemergian kedua-duanya dalam keadaan syahid.

“Ya ALLAH, ampunilah dia dan rahmatilah dia. Sejahterakanlah, maafkanlah segala kesalahannya serta kurniakankan limpah rahmat dan kesejahteraan ke atasnya. Semoga kedua-duanya beristirahat dengan aman. Syahid. Insya-ALLAH,” kongsinya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Difahamkan, Luqman Nulrois ialah Exco Kolej Kediaman (2007-20026) manakala Siti Nurzulaikha pelajar Program Pengurusan Perniagaan (2009-2026).

Sementara itu, seorang guru, Tengku Memy Nazhafifa menyifatkan  pelajar 1DVM CTP dan 2SVM BPP itu murid yang baik.

"Kedua mereka anak murid cikgu yang baik. Pergi dalam keadaan baik, pada bulan yang baik. 

"Semoga ALLAH tempatkan dua beradik ini dalam kalangan orang beriman. Moga buat ayah dan ibu yang kehilangan putera serta puterinya serentak diberikan kekuatan," titipnya.

Difahamkan kedua-dua jenazah akan dikebumikan di Kampung Teroi, Guar Chempedak, Kedah.

No Image Caption

Warga maya tidak dapat menahan pilu mendoakan kesejahteraan Allahyarham yang pergi dalam keadaan mulia demi menuntut ilmu.

"Meninggal dunia ketika menuntut ilmu dikira syahid. Semoga ALLAH tempatkan Allahyarham dalam kalangan orang yang beriman

"Arwah Ika baik sangat, senyum tak pernah lepas. Semoga arwah Ika dan abangnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman."

"Cara ALLAH ambil seperti dua beradik ini sangat rapat. Moga ALLAH kuatkan keluarga menempuh pemulangan dua anak syurga ini. Semoga mereka syahid dan ALLAH jaga sehingga ke alam barzakh."

"Sedihnya! Dugaan untuk ibu bapa arwah yang hilang dua orang anak dalam sekelip mata, moga tabah dan kuat serta arwah kedua-duanya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman."

Sumber: TikTok, Facebook 1, 2, 3

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang