‘Saya menyesal…’ — Zaki Yamani perjelas salah faham komen nyanyian ayah, jawab isu tiru suara & umum projek raya bersama Merrah

No Image Caption
A
A
A

KADANGKALA, satu ayat yang terlepas tanpa niat buruk boleh menjadi pelajaran paling besar dalam hidup seseorang. 

Itulah yang dilalui penyanyi muda, Zaki Yamani, apabila kenyataannya mengenai nyanyian bapanya, Raja Pop tanah air Datuk Jamal Abdillah, tiba-tiba menjadi bualan hangat dan mengundang pelbagai tafsiran netizen.

Segalanya berlaku pantas, daripada sekadar perkongsian jujur, bertukar menjadi kontroversi yang membuatkan dirinya dinilai dari pelbagai sudut sebagai anak, artis dan individu yang sedang membina identiti sendiri dalam industri hiburan.

Tanpa berselindung, Zaki memilih untuk mengakui kesilapan tersebut.

“Saya memang menyesal,” katanya jujur.

Menurutnya, kenyataan yang pernah disalah erti kononnya dia mengatakan nyanyian ayahnya ‘tak sedap’ sebenarnya keluar tanpa susunan kata yang tepat sehingga kedengaran kurang manis.

Hakikatnya, Zaki tidak pernah mempertikaikan bakat seni bapanya yang sudah terbukti puluhan tahun dalam industri hiburan.

“Semua orang tahu ayah saya memang menyanyi sedap. Cuma waktu itu saya buat perbandingan pada lagu tertentu sahaja,” jelasnya.

Bagi Zaki, insiden tersebut menjadi cerminan kesilapan spontan seorang anak muda yang terlalu jujur tanpa memikirkan implikasi kata-kata di ruang awam.

“Saya fikir lain, cakap lain,” tambahnya.

No Image Caption

Di sebalik isu viral itu, pemilik nama penuh Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah turut berkongsi sisi santainya bersama penyanyi muda Merrah, anak kepada Datuk Awie.

Hubungan mereka bermula secara santai, sekadar lepak, berbual dan berkongsi minat muzik sebelum tercetus idea menghasilkan video mengajuk gaya ayah masing-masing.

“Kami jumpa, lepak, borak… dari situ tercetus video pertama. Tapi sebenarnya video yang saya post tahun ini ialah rakaman tahun lepas,” katanya.

Menariknya, Zaki sendiri pada awalnya berasa ragu-ragu untuk memuat naik video tersebut.

“Takut ayah tengok. Takut ayah Merrah tengok,” ujarnya sambil ketawa.

Namun selepas menerima reaksi positif daripada peminat yang menganggap mereka berdua kelihatan comel dan menghiburkan, mereka meneruskan perkongsian video dengan satu prinsip jelas, gurauan tetap ada batasnya.

“Kalau lebih, penampau pula. Jadi kami pastikan tak terlebih,” selorohnya.

Pengalaman viral sebelum ini nyata memberi kesan besar kepada Zaki. 

Anak hasil perkahwinan kedua Jamal Abdillah bersama Fatimatuzahra Samad itu mengakui kini lebih berhati-hati dalam setiap kandungan yang dikongsikan di media sosial.

“Saya tahu saya ada terlebih sikit masa itu. Jadi video-video seterusnya saya lebih kawal. Saya cuba ajuk cara nyanyi atau gaya atas pentas, tapi tak main cakap lepas lagi,” katanya.

Walaupun isu tersebut hangat diperkatakan, hubungan mereka sebagai anak dan ayah tetap baik seperti biasa.

Namun satu momen cukup meninggalkan kesan mendalam buat dirinya, apabila menerima mesej WhatsApp daripada bapanya selepas kontroversi itu tular.

“Ayah saya susah nak agak dia marah atau tidak. Itu yang lagi seram,” katanya berseloroh.

Mesej tersebut bukan teguran panjang atau kata-kata keras, sebaliknya hanya gambar-gambar lama mereka bersama sebagai anak dan ayah.

Tanpa sebarang amarah, Zaki memahami maksud tersirat di sebalik kiriman itu.

Saat itulah dia sedar, menjadi anak kepada figura besar seperti Jamal Abdillah menuntut tahap penjagaan kata-kata yang jauh lebih tinggi.

No Image Caption

Belajar tentang adab

Bagi Zaki, perjalanan sebagai anak seni bukan sekadar tentang pentas, lagu atau populariti. Ia turut melibatkan proses pembelajaran tentang adab, tanggungjawab dan cara membawa diri di hadapan khalayak.

Dia tidak menafikan sifat spontan sebagai anak muda kadangkala membuatkan dirinya terleka. Namun pengalaman tersebut menjadi titik perubahan dalam cara dia melihat dunia hiburan.

Kini, setiap gurauan lebih berpada-pada dan setiap perkongsian difikirkan kesannya terlebih dahulu.

Keberanian mengaku kesilapan, katanya, adalah langkah penting untuk menjadi lebih matang.

“Saya tak nak orang fikir saya kurang ajar. Itu paling saya takut,” katanya tegas.

Dalam perkembangan lain, Zaki dan Merrah tampil dengan projek lagu  raya terbaharu yang dijangka mencuri perhatian peminat.

Menariknya, karya tersebut diinspirasikan daripada era 1980-an dan 1990-an, zaman kegemilangan muzik yang sarat dengan melodi malar segar.

“Sesuatu yang orang akan terkejut,” katanya penuh teruja.

Menurut Zaki, projek itu bukan sekadar kolaborasi santai, tetapi juga penghargaan kepada generasi terdahulu, khususnya peminat yang membesar dengan lagu-lagu ayah mereka.

“Saya rasa peminat ayah kami akan terhibur dan terkenang balik masa dulu-dulu.”

Idea tersebut tercetus secara spontan apabila dia menghubungi Merrah untuk menghasilkan lagu raya bersama.

“Call saja, tanya nak buat lagu raya tak? Dia terus onz,” katanya sambil ketawa.

Suara sama atau sekadar persepsi?

Sejak mula bergelar penyanyi, nama Zaki hampir tidak pernah terlepas daripada perbandingan dengan bapanya. Ada yang mengatakan suara mereka seiras, ada juga yang menganggap dia sekadar bayangan kepada legenda tersebut.

Namun bagi Zaki, persepsi itu datang daripada kebiasaan pendengar terhadap aura seorang ikon muzik.

No Image Caption

“Suara sama macam ayah? Saya tak pernah mengaku hal tersebut. Baik saya mahupun Merrah, kami berdua tidak sama suara dengan ayah masing-masing.

“Sehingga kini orang yang kata suara kami sama kemudian kecam. Apa pointnya?

“Kalau saya anak dia, mungkin ada tona suara yang hampir sama dengan ayah. Bila nyanyi lagu dia, orang rasa pernah dengar bunyi itu sebelum ini.

“Kalau saya sendiri tahu suara saya bagaimana, bagi saya itu cuma persepsi pendengar. Jadi saya tiada komen,” jelasnya.

Bagi Zaki Yamani, perjalanan sebagai anak seni masih panjang. 

Namun satu perkara pasti, pengalaman viral yang pernah dilalui bukan lagi luka, sebaliknya pelajaran berharga tentang hormat, komunikasi dan kematangan dalam membina identiti sendiri di bawah bayang nama besar seorang legenda.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang