A. Aida kongsi detik ICU yang ubah hidup, nasihat ustaz & permintaan anak jadi dorongan berhijab – 'Seminggu tak tidur malam'
SETIAP perjalanan hidup ada titik permulaan yang tersendiri.
Bagi pengarah dan pelakon, A. Aida, pengalaman hampir kehilangan nyawa membuka matanya kepada satu transformasi rohani yang mendalam apabila mengambil keputusan untuk berhijab.
Menurut A. Aida, keputusan itu timbul selepas beliau mengalami detik genting di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Doktor sudah maklumkan kepada anak saya supaya panggil keluarga terdekat dan lakukan sembahyang hajat serta bacaan yassin. Katanya, peluang saya tipis.
Kalau hidup pun, kemungkinan saya akan jadi seperti ‘sayur’.
'Saya tak akan ingat apa-apa,” ujarnya.
Ketika itu, beliau terlantar dan hampir hilang kesedaran.
Namun, kehadiran Ustaz Izhar Ariff memberi impak besar.
“Ayat pertama ustaz, dia minta saya pakai tudung. Hati saya terus tersedar.
"Sepanjang sebulan pemulihan, kata-kata itu tak pernah lekang dari fikiran saya,” katanya memetik laporan Astro Gempak.

Selain dorongan rohani, kata-kata anak keduanya turut menjadi penyuntik motivasi.
“Seminggu sebelum Ramadan, anak kedua saya bertanya, ‘Mama tak nak pakai tudung ke?’ Itu buat saya tersentak.
"Saya sampai tak tidur malam seminggu memikirkan hal itu. Dengan umur saya sekarang, rasanya memang masa yang tepat untuk berhijab.
"Ini bukan keputusan mudah, tetapi ia terasa betul,” jelasnya lagi.
Bermula Ramadan, A. Aida mengambil semula tudung-tudung lama dan mula memakainya, sambil anak-anaknya turut berkongsi kegembiraan dengan perubahan tersebut.
“Mereka gembira, saya gembira,” tambahnya.
Sebelum ini, A. Aida pernah rebah semasa menjalani fisioterapi selepas pembedahan lutut, sehingga terpaksa ditidurkan.
Pengalaman itu bagaimanapun menjadi titik tolak kepada kesedaran diri dan langkah hijrah dalam hidupnya.
Perjalanan A. Aida membuktikan bahawa kadang-kadang, detik paling sukar dalam hidup boleh membuka jalan kepada transformasi rohani yang paling bermakna.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

