'Diam-diam buat kerja'- Angkat suara tentang internet selamat, Fattah Amin pilih cara tenang sampaikan mesej henti buli siber tanpa sensasi

No Image Caption
A
A
A

DUNIA kini semakin ‘hidup’ di hujung jari, kita sering terlupa satu perkara penting, setiap perkongsian ada kesannya.

Bukan sekadar menaip dan menekan butang ‘post’, tetapi ia membentuk cara kita berfikir, berinteraksi dan menilai orang lain.

Jika tidak dikawal, ruang digital boleh menjadi tempat paling bising… tetapi kosong daripada adab.

Atas kesedaran itu, penyanyi dan pelakon Fattah Amin berkongsi satu momen bermakna apabila berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Fahmi Fadzil.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Amira Othman, sekali gus memperlihatkan sokongan padu daripada figura seni terhadap usaha memperkasakan Kempen Internet Selamat.

Bagi Fattah, pertemuan itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa mesej yang lebih besar, tentang tanggungjawab bersama dalam membentuk persekitaran digital yang lebih sihat.

“Sebagai individu yang turut berdepan realiti media sosial hari ini, saya percaya sudah tiba masanya kita semua memainkan peranan untuk menjadikan internet sebagai ruang yang lebih selamat, beradab dan penuh empati,” katanya.

Nada yang disampaikan cukup jelas, pengaruh yang dimiliki oleh selebriti bukan hanya untuk hiburan, tetapi juga sebagai jambatan kepada kesedaran masyarakat.

Malah, pemilik nama penuh, Abdul Fattah Mohd Amin itu menyifatkan penglibatan ini sebagai satu komitmen jangka panjang bersama industri dan pempengaruh lain.

No Image Caption

“Ini bukan hanya tentang saya, tetapi tentang tanggungjawab kita bersama demi kebaikan masyarakat dan generasi akan datang,” ujarnya lagi dengan penuh rendah diri.

Menariknya, perkongsian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi positif daripada warganet yang mengikuti perkembangan bapa kepada Nur Fatima Aisya di media sosial.

Hentikan fitnah dan cyber bully

Rata-rata melihat perubahan dan pendekatan Fattah sebagai sesuatu yang matang serta memberi inspirasi.

Antara komen yang mencuri perhatian:

“Dulu Fattah selalu berdiri dekat belakang, now Fattah always berdiri di depanThank you AO… angkat martabat FA as a husband…”

“Terima kasih banglong kaklong yang sentiasa membawa diri dengan baik, menunjukkan adab dan akhlak yang baik… semoga kita semua boleh jadi orang baik dan hentikan fitnah serta cyber bully…”

“Tahniah dan syabas Kementerian Komunikasi kerana memilih ikon yang tepat untuk kempen ini! Semoga mereka berdua dirahmati Allah selalu…”

No Image Caption

“Yes… good move. Always jadi inspirasi kepada orang-orang baik… congratulations Fattah dan isteri…”

“Diam-diam bergerak buat kerja ikut saluran betul… bukan ‘pung pang pung pang’ guna akaun palsu.”

Reaksi ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa masyarakat sebenarnya dahagakan contoh yang baik — bukan sekadar populariti, tetapi nilai dan teladan.

Dalam dunia yang semakin terbuka tanpa sempadan ini, mungkin sudah tiba masanya kita menilai semula peranan diri.

Adakah kita sekadar pengguna, atau penyumbang kepada suasana yang lebih positif?

Seperti yang disampaikan, mesejnya cukup mudah tetapi mendalam, gunakan internet dengan bijak, sebarkan kebaikan, dan hentikan budaya buli siber sebelum ia menjadi norma.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang