'Sebak depan mata…' – Kisah dua beradik hidap hydrocephalus sentuh hati Dr Taufiq Johari, ambil Rayhan & Mateen jadi anak angkat
BARU-baru ini, keprihatinan Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari meraih perhatian ramai apabila tampil menyantuni dua kanak-kanak istimewa, Rayhan dan Mateen.
Kedua-dua adik kecil itu sedang berjuang dengan penyakit hydrocephalus, satu keadaan yang bukan sahaja mencabar dari segi kesihatan, malah memberi tekanan emosi dan kewangan kepada keluarga.

Apa yang lebih menyentuh hati, Dr Taufiq tidak sekadar menyampaikan bantuan, sebaliknya turun sendiri ke Sungai Petani untuk melihat dengan lebih dekat realiti kehidupan yang dilalui oleh keluarga tersebut.
"Ujian yang amat besar buat adik Rayhan dan Mateen serta keluarga. Kisah penderitaan mereka yang menghidap hydrocephalus telah mendapat perhatian saya beberapa minggu yang lepas.
"Sebelum ini, bantuan telah disalurkan dan Ahad lalu, saya sendiri hadir menziarahi mereka di Sungai Petani. Sebak apabila melihat sendiri keadaan mereka," ujarnya.
Dedah beliau, kisah kanak-kanak tersebut didengari sendiri ketika membuat lawatan ke rumah keluarga tersebut.

"Pihak saya telah menyerahkan sedikit sumbangan dan insya-ALLAH, saya akan menaja keperluan-keperluan Rayhan dan Mateen selepas ini.
"Rayhan dan Mateen kini anak angkat saya. Doakan yang baik-baik, semoga keluarga ini terus kuat," jelas beliau lagi.
Sekadar makluman, hydrocephalus bukan penyakit biasa. Ia memerlukan rawatan berterusan, pemantauan rapi dan kos yang tidak sedikit.

Dalam banyak kes, ibu bapa perlu mengorbankan masa, tenaga dan kerjaya demi memastikan anak-anak mendapat penjagaan terbaik.
Lawatan Dr. Taufiq membuka mata ramai bahawa di sebalik statistik dan laporan, ada kisah manusia yang perlukan perhatian lebih daripada sekadar simpati.

Mengangkat Rayhan dan Mateen sebagai anak angkat bukan satu keputusan kecil. Ia melambangkan komitmen jangka panjang, satu bentuk tanggungjawab yang melangkaui tugas rasmi.
Lebih daripada itu, ia memberi harapan, bukan sahaja kepada keluarga tersebut, tetapi juga kepada masyarakat bahawa masih ada ruang untuk nilai kemanusiaan berkembang dalam dunia moden.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
