'Bila ALLAH bagi sakit, jangan bersangka buruk' – Safura Yaacob kongsi kanser suami merebak ke paru-paru, mohon titip doa buat Sahronizam
UJIAN buat pasangan selebriti, penyanyi Safura Yaacob dan suami, Sahronizam Noor nampaknya masih belum berakhir.
Di sebalik ketabahan yang dipamerkan, pelantun lagu Sedalam Mana Cintamu berkongsi suaminya itu terpaksa menangguhkan pembedahan kedua selepas pemeriksaan perubatan menunjukkan perkembangan yang membimbangkan.
Terbaharu, Safura memaklumkan bahawa pembedahan kedua yang sepatutnya dijalani suaminya terpaksa ditangguhkan selepas pemeriksaan CT Scan mendedahkan berita yang agak meruntun hati.
Sel kanser tulang rawan yang dihidapi Sahronizam dikesan mula menunjukkan tanda-tanda tersebar ke bahagian paru-paru.
"Semalam sebenarnya dia ditahan di wad dan sepatutnya Isnin ini buat pembedahan yang kedua sebab bila buat Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) balik, ada sedikit sel kanser tersebar ke paru-paru," kongsi Safura dengan tenang.
Memetik Gempak, Safura turut berkongsi segala persiapan awal termasuk pembelian peralatan khas bernilai lebih RM700 sudah pun dilakukan sebelum dimaklumkan mengenai penangguhan tersebut.

"Kita akan berbincang sekali lagi dengan pakar nak tahu sama ada pembedahan ini diteruskan atau ada rawatan lain," tambahnya lagi.
Melihatkan keadaan fizikal suaminya, ramai yang mungkin tidak menyangka aktor itu sebenarnya sedang bertarung dengan kanser tahap tiga yang sangat agresif.
Menurut Safura, Sahronizam menunjukkan perkembangan yang sangat positif dan kekal kuat meskipun doktor terpaksa mengambil tindakan drastik memotong sebahagian tulang belikat yang terjejas.
"Keadaan dia sangat okey, kuat dan positif. Kalau kalian tengok dia macam sihat tapi sebenarnya menghidap kanser tulang rawan tahap tiga.
"Doktor kata kanser dia sangat agresif. Tulang belikat dia ada timbul dan doktor terpaksa potong separuh bahagian yang kena sebab takut merebak ke atas," ujarnya lagi menceritakan prosedur sukar yang terpaksa dilalui suaminya.
Mengimbau kembali detik awal suaminya jatuh sakit, Safura tidak berselindung mengakui dirinya amat terkesan sehingga berat badannya pernah menyusut mendadak daripada 62 kilogram sehingga mencecah 50 kilogram.
Namun, dia memilih untuk tidak terus hanyut dalam kebimbangan dan meletakkan seluruh kepercayaan kepada ketentuan takdir. Baginya, setiap ujian yang hadir adalah peluang untuk membersihkan diri dan memohon kesabaran daripada Yang Maha Esa.
Safura berkata demikian ketika ditemui di konsert minggu keempat Talk To My Manager musim kedua (TTMM2),

"Ikutkan masa awal-awal abang masuk hospital, berat badan saya turun. Sebenarnya kita minta dengan ALLAH. Minta dengan orang tak ada apa-apa.
"Semoga ALLAH bagi kita kesabaran, ujian ini untuk ALLAH bersihkan diri kita. Lama DIA bagi sihat, bila ALLAH bagi sakit jangan bersangka buruk. Saya sangat positif," jelasnya penuh reda.
Sahronizam sebelum ini disahkan menghidap kanser tersebut pada tahun lalu selepas mengalami sakit belakang yang serius dan telah pun menjalani pembedahan membuang tumor pada Oktober tahun lalu.
Doa peminat pastinya mengiringi perjuangan pasangan ini agar urusan rawatan Sahronizam dipermudahkan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

