Ezad akui tiada jalan pintas buat artis tunai haji, sebak bergelar tetamu ALLAH - 'Merambu air mata bila ingat banyak dosa...'
SIAPA tidak kenal dengan Ezad Lazim? Suaranya yang mendayu-dayu sering menghiburkan kita di corong radio.
Namun di sebalik gemerlap dunia seni, penyanyi popular ini mengakui perjalanan untuk menjadi tetamu ALLAH menuntut kesabaran yang sangat tinggi.
Tiada jalan pintas buat seorang selebriti kerana Ezad juga seperti kita semua, perlu melalui proses mendisiplinkan diri menabung sejak bangku sekolah hasil kempen para guru, mendaftar, dan berkali-kali membuat rayuan sebelum dipilih menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
"Sebenarnya, keinginan mengerjakan haji itu memang dah lama. Kalau ikutkan, kita sebelumnya juga buat permohonan, buat rayuan tapi orang kata rezeki itu tak sampai, yang 'tak rapat' lagi.
"Alhamdulillah, tahun ini tak disangka-sangkalah. Saya rasa rezeki ini bermula daripada isteri sayalah. Dia yang dulu dapat tawaran, jadi saya pun buat rayuan juga pasal itu.
"Tapi yang dapat dulu dia, pasal itu saya rasa macam... Ya ALLAH, dapat tak saya ini nak tunaikan haji bersama sebab keinginan itu memang dari dulu lagi," luah Ezad membuka cerita.

Rentetan daripada itu, Ezad tidak hanya duduk diam. Mengikut segala prosedur yang ditetapkan, dia terus mengambil inisiatif mengikuti kursus haji walaupun belum terpilih pada awalnya sebagai tanda persediaan dan tanggungjawab.
Baginya, kita perlu menunjukkan kesungguhan dan bertanya kepada mereka yang berpengalaman, bukannya sekadar menyimpan dan menunggu tanpa usaha.
Malah, kisah-kisah anak muda dan orang biasa yang berjaya ke Tanah Suci sering dijadikan motivasi untuknya terus melangkah.
"Jadi, kita ikut prosedur yang ditetapkan, kita menyimpan dalam Tabung Haji, kita buat rayuan, kita buat macam-macam juga macam mereka di luar sana.
"Alhamdulillahlah, isteri saya kalau ikutkan, tahun dia memang dah akan dapat dalam tahun depan. Tapi oleh kerana rayuan yang dia buat pada tahun ini, rezeki dia terpilih untuk tahun ini.
"Jadi, saya pun dalam masa yang sama masih terus buat rayuan untuk minta jadi dia punya mahramlah. Sebenarnya, alhamdulillah dengan prosedur yang ada dan kita punya usaha, maka terpilih tahun ini," kongsinya lagi tentang aturan indah bergelar mahram.
Detik mendapat khabar gembira itu diakui Ezad sebagai satu perasaan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata, malah segala memori lalu kembali terimbas dalam fikiran.
Penyanyi kelahiran Kedah itu sangat tersentuh kerana impian bertahun-tahun untuk menunaikan rukun Islam kelima bersama pasangan tercinta akhirnya dimakbulkan.
Pelantun lagu Demi Cinta itu sedar, bukan semua pasangan berpeluang pergi bersama-sama, ada yang terpaksa pergi sendirian atas faktor rezeki dan kuota.
"Jadi, jiwa itu rasa macam tak dapat diungkapkan dengan kata-kata lah. Bersyukur sangat bila akhirnya terpilih menjadi tetamu untuk haji tahun ini.
"Saya tak tahu nak cakap macam mana, sebenarnya dia rasa macam sedih pun ada, macam-macam yang terimbas dalam fikiran saya. Maknanya apa yang kita doa, apa yang kita minta dan hajat selama ini, alhamdulillah tahun ini saya capai.
"Sebenarnya, syukur yang tak terhinggalah yang saya panjatkan kepada Ilahi. Paling saya tersentuh sekali bila saya dan isteri dapat menunaikan haji bersama-sama sebab kalau kita tengok, ada juga mungkin yang cuba nak pergi bersama pasangan suami isteri tapi tak sampai makbulnya, ada yang boleh pergi isterinya saja atau suaminya saja.
"Alhamdulillahlah rezeki saya dapat menunaikan haji bersama dengan isteri saya. Maknanya, kami punya impian, cita-cita dan hajat selama ini alhamdulillah ditunaikan," katanya dengan nada penuh sebak.

Doa senjata paling kuat
Bagi Ezad, menjejakkan kaki ke Baitullah benar-benar meruntuhkan ego dirinya sebagai seorang manusia.
Dia turut mengimbau kembali pesanan isterinya ketika mereka menunaikan umrah dahulu supaya tidak putus-putus berdoa di depan Kaabah.
Doa itulah yang dianggapnya sebagai senjata paling kuat buat umat Islam jika dilakukan dengan penuh keikhlasan.
Setiap kali berdiri menghadap Kaabah, air matanya pasti akan gugur dengan sendiri tanpa dapat dibendung lagi.
"Saya tak boleh kata apa, memang dari dulu lagilah kalau saya datang ke Tanah Suci, saya tak boleh nak kawal emosi setiap kali berdoa di depan Kaabah.
"Kadang-kadang pun dah cuba macam itu, cubalah tak nak nangis, tapi tak boleh. Memang air mata itu akan gugur dengan sendiri.

"Bila tengok video pun yang lalu-lalang tentang macam mana mereka yang berdoa di Tanah Suci, yang memohon keampunan, yang macam-macam hajat diminta... yang paling nampak ialah kitalah manusia kan?
"Kita memang tak lepas daripada melakukan pelbagai dosa. Jadi, bila masa kita memohon ampun itu, kalau dengan keikhlasan memang saya pasti akan terjurai air matalah. Memang tak boleh nak kawal," ujarnya jujur mengakui rapuhnya jiwa di hadapan Pencipta.
Perasaan itu menjadi berkali-kali ganda lebih sayu apabila mengenangkan saat pertama kali beliau menatap kiblat umat Islam itu dalam kunjungan kali ini.
Baginya, aura dan lambaian Tanah Suci sentiasa memberikan impak yang sangat berbeza kepada emosi seorang hamba.

"Tambah paling terasa sebenarnya ialah perasaan bila kita datang ke Tanah Suci ini, aura dia sangat berbeza. Memang sebelum-sebelum ini pun kalau datang, kita masih lagi menitiskan air mata.
"Tapi, untuk yang kali pertama menatap Kaabah memohon keampunan masa berdoa untuk haji ini, detik itulah yang paling tak boleh dilupakan. Itu yang merambu air mata. Banyak dosa kita.
"Semoga ALLAH ampunkan semua dosa kita. Dengan berkat Tanah Suci ini, mudah-mudahan apa yang kita lakukan, apa yang kita katakan dan apa yang kita doakan mendapat keberkatan serta makbul, insya-ALLAH," pintanya penuh harapan.
Biarpun pada mulanya timbul rasa bimbang terpaksa meninggalkan anak-anak yang masih kecil di bawah jagaan keluarga di tanah air, Ezad menyerahkan seluruh jiwa dan raganya lewat rasa tawakal yang tinggi.

Bapa kepada sepasang cahaya mata itu yakin, memandangkan mereka datang sebagai tetamu ALLAH, maka kepada-NYA jugalah segala urusan keluarga diserahkan untuk dijaga.
Malah, dia turut mengambil peluang berdoa agar kerjaya seninya terus diberkati dan mampu memberi impak positif.
Kongsinya, ALLAH sudah meminjamkan suara dan kudrat untuknya menjadi penyanyi, jadi dia berazam untuk mengimbangkan anugerah itu dengan menyampaikan lagu-lagu yang memiliki lirik positif serta bermesejkan kebaikan kepada masyarakat selepas ini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
