'Alhamdulillah akhirnya dapat menuntut hak sebagai ayah' - Adam Shahz luah rasa syukur dapat hak melawat dan bermalam dengan anak perempuan

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS tiga tahun berdepan dengan konflik yang seolah-olah tiada titik noktah, pelakon Adam Shahz akhirnya menarik nafas lega.

Baru-baru ini, kemelut tuntutan hak penjagaan anak bersama bekas isterinya, Fatin Afeefa, selesai secara rasmi di mahkamah.

Tempoh yang panjang dan memenatkan itu ternyata berbaloi buat dirinya demi memastikan ikatan kasih sayang antara seorang bapa dan anak perempuan mereka, Ivy Herra Sophia, tetap terpelihara dengan baik.

Meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga melalui laman Instagram miliknya, Adam menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai satu anugerah yang amat bermakna selepas segala pengorbanan masa dan emosi.

"Alhamdulillah, dengan izin-NYA. Setelah beberapa tahun turun naik, akhirnya saya dapat menuntut hak saya sebagai ayah.

"Hak melawat dan bermalam," kongsi Adam yang jelas menggambarkan kelegaannya.

Pelakon drama Juvana itu juga mendedahkan, proses tersebut bukanlah mudah apabila permohonan asalnya tidak dipersetujui.

No Image Caption

"Walaupun pada mulanya saya kemukakan pindaan untuk memberi sepenuhnya hak jagaan anak tidak dipersetujui pihak defendan.

"Terima kasih ALLAH dan tidak lupa pada peguam puan Yana Sihar yang mewakili saya," tulisnya lagi bagi menghargai pihak yang kuat menyokong di belakangnya.

Luahan tulus daripada pelakon berkenaan bukan sahaja menyentuh hati peminat, malah ruangan komen hantaran tersebut dihujani dengan pelbagai reaksi positif dan kata-kata semangat daripada warganet.

Rata-rata netizen memuji kesungguhan Adam yang sanggup mengetepikan segala ego dan penat lelah demi menjalankan tanggungjawabnya, berbeza dengan segelintir situasi di luar sana di mana anak-anak diabaikan selepas ibu bapa mengambil keputusan untuk berpisah.

"Alhamdulillah, untung dia ada ayah yang masih ingat dan peduli pada dia walaupun ibu ayah dia dah berpisah. Ada dekat luar tu bapak dia langsung tak peduli dekat anak, nak jumpa apatahlagi," tulis salah seorang pengikutnya di ruangan komen.

Kisah perjuangan Adam ini turut membuka mata serta mencetuskan emosi dalam kalangan pengikutnya yang berdepan nasib berbeza. Ada warganet yang menyifatkan anak perempuannya itu sangat bertuah kerana memiliki bapa yang sanggup berjuang demi zuriat sendiri.

"Alhamdulillah untung masih ada ayah yang fight nak berjumpa dengan anaknya. Macam kita ni dari kecil sampai ke tua ada ayah dulu pun macam anak yatim," titip netizen lain yang tersentuh melihat keakraban dua beranak ini.

No Image Caption

Malah, situasi ini juga membuatkan segelintir ibu tunggal mengimpikan nasib yang sama agar anak-anak mereka tidak terputus kasih sayang daripada seorang bapa kandung.

"Alhamdulillah masih nak berjumpa anak. Saya ni kalau boleh minta dia hak bermalam anak saya, ambil anak saya. Setahun lebih tak ada jumpa anak, hampir lupa anak saya pada bapak kandung dia. Jaga sebaik mungkin peluang yang ada Allah beri," ujar netizen lain dengan penuh harapan.

Pengakhiran yang harmoni ini pastinya memberi sinar baharu buat Adam dalam mencorakkan masa depan yang lebih bahagia, sekali gus membuktikan bahawa kasih seorang ayah itu sememangnya tiada sempadan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang