‘Arwah mahu kumpul cuti, teman saya berpantang...’ Ibu hamil 7 bulan luluh suami maut dalam tragedi pelantar minyak

No Image Caption
A
A
A

DETIK 1 Jun ini sepatutnya menjadi hari yang paling dinantikan buat Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri.

Traikh tersebut dia bakal menyambut kepulangan suami tercinta, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, ke rumah mereka di Bukit Setongkol, Kuantan.

Malangnya, takdir mendahului segalanya apabila bapa muda berusia 28 tahun itu disahkan terkorban dalam satu tragedi maut di sebuah pelantar minyak di perairan Terengganu, yang turut meragut dua lagi nyawa rakan sekerjanya.

No Image Caption

Mengimbas kembali momen sebelum tragedi hitam itu berlaku, Nurkhaeryna berkongsi bahawa kali terakhir dia berhubung dengan arwah suaminya adalah menerusi aplikasi WhatsApp pada jam 7 pagi hari kejadian.

Tiada siapa menyangka, perbualan ringkas itu menjadi titipan terakhir daripada seorang suami yang sangat teruja untuk memulakan fasa keibubapaan bersama-sama.

"Dia selalu beritahu dia mahu kumpul cuti untuk menemani saya sepanjang berpantang selepas melahirkan anak nanti," luah Nurkhaeryna saat ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

No Image Caption

Suami terlibat kemalangan

Khabar duka itu mula singgah dalam hidupnya sekitar jam 4 petang apabila wakil syarikat memaklumkan suaminya terlibat dalam kemalangan.

Bagaimanapun, naluri seorang isteri kuat mengatakan ada sesuatu yang lebih buruk berlaku, dan ia akhirnya terjawab selepas dia menghubungi rakan-rakan sekerja arwah.

"Wakil syarikat cuma beritahu suami terlibat dalam kemalangan, namun saya mendapat tahu dia sudah ‘tiada’ setelah menghubungi rakan-rakannya," katanya lagi.

No Image Caption

Untuk rekod, ​arwah Muhammad Faezuan yang baharu menyertai syarikat tersebut pada Mac lalu dilaporkan mempunyai pengalaman luas dalam bidang offshore sejak tahun 2019

Difahamkan, insiden yang meragut nyawa Muhammad Faezuan Hakim dan rakan-rakannya itu dipercayai berpunca apabila tali atau cangkuk yang dipasang pada bot penyelamat tiba-tiba tercabut ketika mereka sedang menjalani latihan pemindahan kecemasan.

Insiden itu menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut.

Sumber: Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang