Shiha Zikir kongsi kisah bangkit semula menerusi Mula, dekat dengan realiti kehidupan
Ada masanya dalam hidup, kita terasa seperti sedang berjalan dalam gelap. Impian yang pernah dikejar seakan semakin jauh, keyakinan diri mula goyah dan langkah yang dahulunya penuh semangat bertukar perlahan kerana dibelenggu rasa takut untuk bermula semula. Namun, di sebalik setiap kejatuhan, sentiasa ada ruang untuk bangkit dan mencipta lembaran baharu.
Perasaan itulah yang cuba diterjemahkan oleh penyanyi berbakat, Shiha Zikir menerusi single terbaharunya berjudul Mula. Lebih istimewa, karya tersebut dihasilkan bersama penulis dan pempengaruh, Hafizul Faiz, menerusi kerjasama antara Shiha Zikir Empire dan Sony Music Malaysia.
Berbeza daripada kebanyakan lagu balada yang sering berkisar tentang kisah percintaan atau luka perasaan, Mula hadir dengan mesej yang lebih dekat dengan realiti kehidupan. Ia berbicara tentang harapan, keberanian dan kekuatan untuk melangkah semula selepas melalui episod sukar dalam hidup.

Menurut Shiha, lagu tersebut bukan sekadar karya muzik biasa, sebaliknya lahir daripada pengalaman dan emosi yang pernah dirasai ramai orang.
“Lagu ini bukan tentang cinta. Ia tentang kehidupan. Tentang bagaimana setiap orang pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan ada ketika berasa takut untuk memulakan sesuatu yang baharu. Kadang-kadang, satu langkah kecil itu mampu mengubah seluruh perjalanan hidup kita,” katanya.
Buku pertama
Keistimewaan Mula turut terserlah menerusi proses pembikinan lirik yang ditulis sendiri oleh Shiha bersama Hafizul. Setiap bait yang dihasilkan lahir daripada pengalaman, pemerhatian dan perjalanan hidup yang pernah mereka tempuhi, sekali gus menjadikan lagu itu lebih jujur serta mudah menyentuh hati pendengar.
Dengan sentuhan komposer Hafiz Hamidun, Mula disusun dalam nuansa balada moden yang minimalis namun sarat emosi. Pendekatan tersebut memberi ruang kepada mesej lagu untuk benar-benar sampai dan meninggalkan kesan kepada mereka yang mendengarnya.
Bagi Hafizul pula, lagu itu dihasilkan khusus buat mereka yang sedang berusaha mencari semula kekuatan dalam diri.
“Kadang-kadang orang bukan tidak mempunyai impian. Mereka cuma takut untuk bermula. Lagu ini kami hasilkan untuk mereka yang sedang belajar mempercayai diri sendiri semula,” ujarnya.

Menariknya, pelancaran Mula bukan hanya terhad kepada dunia muzik. Ia turut menjadi judul kepada buku pertama Shiha yang bakal dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026, menjadikan karya tersebut lebih bermakna sebagai simbol perjalanan baharu dalam kerjayanya.
Single Mula boleh didengari di semua platform digital bermula 5 Jun 2026, manakala video muzik rasminya dilancarkan pada tarikh yang sama menerusi saluran YouTube Shiha Zikir Empire. Video berkenaan dijangka tampil dengan visual sinematik yang menggambarkan perjalanan emosi, harapan dan keberanian untuk mencipta permulaan baharu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

