'Dia pesan supaya saya kuat' – Umairah reda Amad pilih tinggal dengan ayah, dedikasi 'Hujung Indah' tanda usah putus asa

No Image Caption
A
A
A

KEHILANGAN peneman setia yang sering menjadi pengusik tegar di dalam rumah pastinya meninggalkan impak emosi yang mendalam buat penyanyi remaja, Umairah.

Mengakui dirinya agak terkejut dengan keputusan drastik adiknya, Amad Dayyan yang kini memilih untuk berpindah ke Kuantan, Pahang bagi meneruskan persekolahan dan menetap bersama bapa mereka, Saiful Anuar.

Gadis berusia 15 tahun itu bagaimanapun reda dengan fasa baharu tersebut. Detik penghijrahan itu berlaku tanpa disedari ketika dia sedang berada di asrama, namun akur bahawa setiap aturan kehidupan sudah ditentukan oleh-NYA.

"ALLAH sudah menentukan semuanya. Saya sendiri terkejut. Ketika itu saya berada di asrama, tiba-tiba saya mendapat tahu dia sudah berpindah.

"Tetapi sebelum dia berpindah ke Kuantan, dia sempat berjumpa saya dan pesan supaya saya kuat," katanya mengimbas kembali momen sayu sebelum perpisahan jarak jauh itu berlaku.

No Image Caption

Sebagai seorang kakak,Umairah yang mesra disapa Umai mendedahkan, hubungan mereka berdua terjalin erat sebelum ini.

Sehinggakan dia menjadikan Amad sebagai tempat rujukan utama untuk meluahkan rasa dan membincangkan pelbagai perkara, memandangkan adik-adik yang lain masih kecil.

Kehilangan figura seorang adik yang gemar mengusik dan menceriakan suasana bilik setiap kali mereka meluangkan masa bersama menyanyi di rumah melahirkan satu perasaan asing yang sukar digambarkan buat pelantun lagu Hujung Indah ini.

"Apa yang saya rindu, dia suka mengusik. Saya pula jenis yang suka duduk di dalam bilik. Dia selalu datang mengganggu saya dan kami menyanyi bersama-sama.

"Semua orang tahu, kalau ada persembahan atau siaran langsung, kami biasanya bersama. Jadi, apabila dia sudah tiada bersama saya di rumah, saya rasa seperti ada kekosongan.

"Rumah terasa sunyi juga. Bukanlah terlalu sunyi kerana masih ada adik-adik yang lebih kecil. Tetapi bagi saya, ia terasa berbeza kerana sebelum ini dialah yang selalu mengusik saya," kongsinya jujur tentang perubahan emosi yang dilaluinya sepanjang ketiadaan adik lelakinya itu.

No Image Caption

Mahukan lebih kebebasan

Melihat perkara itu dari sudut pandang yang lebih matang, Umairah menyedari bahawa setiap anak lelaki yang sedang meniti usia remaja sememangnya memerlukan ruang kebebasan yang lebih luas untuk meneroka potensi diri serta membesar mengikut acuan tersendiri.

Biarpun terpaksa menahan rindu yang sarat, dia gembira melihat adiknya bahagia memulakan kehidupan baharu di sana, sambil mengesahkan bahawa mereka berdua akan terus kerap berhubung dan merancang untuk saling melawat sekiranya cuti sekolah tiba.

"Dia pilih untuk tinggal bersama ayah, jadi dia nampak gembira. Yang menderita ialah kakaknya (sebab rindu)," seloroh Umai sambil menyapu air mata sebak.

No Image Caption

Sebagai kakak, Umai mengakui reda dan menyokong apa jua yang diinginkan oleh Amad.

"Nak buat macam mana, biarlah dia membesar dengan cara sendiri. Anak lelaki dan perempuan membesar dengan cara yang berbeza.

"Apabila lelaki semakin dewasa, mereka mahukan lebih kebebasan. Mereka mahu mencuba pelbagai perkara dan kadang kala memberontak. Itu perkara biasa," ujarnya lagi.

Beralih kepada  dunia kerjaya sebagai anak seni,  penyanyi remaja berbakat besar itu baru-baru ini tampil dengan single solo keduanya yang berjudul Hujung Indah.

Lagu berentak balada buah tangan komposer tersohor, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh itu masih mengekalkan pesona remaja pemilik nama sebenar Ummi Umairah Saiful Anuar yang baru berusia 15 tahun ini.

Meluahkan rasa tentang proses di sebalik tabir, anak saudara kepada biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui cabaran besar yang terpaksa dilalui sepanjang menyempurnakan runut bunyi berkenaan. 

Manakala proses rakaman pula terpaksa dilakukan sebanyak tiga kali berikutan masalah kesihatan yang tidak mengizinkan pada awalnya.

“Lagu ini sebenarnya agak mencabar. Bila Mak Rozie beri saya dengar, tertanya-tanya bolehkah saya merakamkan lagu ini kerana ada banyak nada tinggi. 

"Tiga kali saya masuk studio untuk proses rakaman. Kali pertama saya tak sihat. Kali kedua kesihatan saya semakin teruk. Kali ketiga barulah okey. 

"Lagu ini banyak versi sebenarnya. Versi pertama lain dan paling baharu pun lain. Waktu pertama kali rakam, ‘key’ lagu ini lebih tinggi. 

"Tetapi bila Mak Iti dengar, dia minta turunkan ‘key’, lembutkan lagi cara nyanyian supaya saya selesa nak bawa sesuai dengan usia,” katanya mesra.

No Image Caption

Menariknya, di sebalik bait-bait lirik Hujung Indah yang sarat dengan emosi duka dan kebangkitan, Umairah mempunyai cara tersendiri untuk menterjemahkan penghayatan tersebut. 

Memandangkan dirinya masih hijau dan belum pernah melalui fasa alam percintaan, dia memilih untuk meletakkan bayangan adik tersayang, Amad bagi menghidupkan jiwa lagu tersebut.

“Lagu ini mengenai kisah kebangkitan setelah dilukai. Bila saya baca lirik, sedikit sebanyak ada kena mengena dengan saya. Tetapi bukan tentang cinta. 

"Malah, lagu ini juga mengingatkan saya kepada  Amad. Saya tak tahu kenapa, tetapi setiap kali saya menyanyi, pasti teringatkan dia. 

"Seperti yang semua tahu, Amad lalui pelbagai perkara sejak program Talk To My Manager lagi. Jadi saya nampak perjalanan Amad bila dia down. Bila suara pecah pun dia down juga. Dia dah tak dapat nak menyanyi dengan puas. 

"Sepanjang perjalanan itu saya selalu berada dengan dia. Jadi, lagu ini saya tujukan untuk dia dan berharap dia tidak berputus asa walau apa pun yang terjadi,” jelasnya panjang lebar.

Anak sulung daripada empat beradik tersebut tutut meletakkan harapan yang cukup tinggi agar Hujung Indah mampu membawa langkahnya sehingga ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) suatu hari nanti. 

Berada di bawah naungan label SN Legacy Sdn. Bhd. dengan kerjasama Universal Music Malaysia, lagu ini turut dipilih sebagai lagu tema rasmi untuk drama Bidadari Tanpa Syurga yang bakal bersiaran di platform penstriman Viu Malaysia.

Seolah-olah mendapat durian runtuh, perancangan seni Umairah tidak terhenti di situ sahaja apabila dia kini sedang dalam fasa persediaan untuk melahirkan album mini sulung tidak lama lagi. 

No Image Caption

Peluang keemasan yang diberikan oleh Siti Nurhaliza disifatkan sebagai satu ganjaran paling bermakna sepanjang pembabitannya dalam dunia seni sejak kecil.

“Terkejut juga bila Mak Iti beritahu nak buat album mini untuk saya. Saya rasa macam masih terlalu awal tetapi ini semua rezeki. Segala penat lelah saya menyanyi daripada kecil, akhirnya membuahkan hasil dengan penerbitan album mini ini. 

"Secara peribadi, ini satu kepuasan kepada saya sebagai seorang penyanyi. Album ini akan memuatkan tujuh lagu termasuk yang dialih kepada bahasa Mandarin. 

"Selain balada, ada genre lain juga. Sudah ada beberapa lagu yang siap dirakam. Cuma belum dikeluarkan lagi,” kongsinya lagi. 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang