Haji usia 40 tahun doa hari lahir Lisa Surihani di Tanah Suci. 'Belajar surah al-Ahqaf, Rasulullah terima wahyu umur 40'
PERJALANAN ibadah haji pelakon Datin Lisa Surihani baru-baru ini menjadi inspirasi para peminat.
Selamat kembali ke tanah air pada Jumaat, isteri kepada Datuk Yusry Abdul Halim itu mendedahkan menjadi duyufurrahman pada musim haji tahun ini adalah doa yang dilafazkan ketika menunaikan umrah pada bulan Ramadan beberapa tahun lalu.
Pelakon Jangan Pandang Belakang Congkak itu juga mendedahkan keadaan Masjidil Haram yang padat ketika itu seolah-olah memberi gambaran suasana ibadah haji.
“Pada tahun 2022 kalau tak silap, saya ada mengerjakan umrah bersama dengan abang dan juga beberapa teman yang lain pada bulan Ramadan.
“Walaupun pada ketika itu belum lagi 10 malam terakhir tapi agak padat di sana, kira masih ramai orang dan dari situ kita macam dapat bayangan macam inilah jika kita mengerjakan ibadah haji dan terdetiklah untuk saya nak berdoa dan memohon doa agar saya dapat mengerjakan ibadah haji pada usia saya 40 tahun," kongsinya.

Memetik Gempak, lebih istimewa lagi ibu kepada tiga cahaya mata itu sempat menitipkan doa khusus sempena hari lahirnya di Tanah Suci.
“Masa itu sebenarnya hari jadi saya pada bulan Ramadan, dan saya juga belajar surah Al-Ahqaf, sebab saya rasa ia menjadi satu inspirasi sebab Rasulullah pun dapat wahyu masa umur 40.
"Jadi sedikit sebanyak ia mempengaruhi doa saya dan saya memohon agar saya dapat mengerjakan haji pada umur 40 bersama suami,” katanya.
Lisa juga mendedahkan membuat rayuan haji pada penghujung tahun lalu dan bersyukur apabila permohonannya diluluskan.
“Pada hujung tahun lepas saya buat rayuan dan alhamdulillah mendapat kelulusan. Rayuan ini ada beberapa peringkat dan prosedur yang perlu dilalui. Setiap peringkat perlu mendapat kelulusan sebelum boleh diteruskan.
“Jadi apabila rayuan pertama saya berjaya diluluskan, saya memang sangat bersyukur,” ujarnya.

Bagaimanapun, pemegang watak Ayu dalam Lagenda Budak Setan itu agak terkilan apabila Yusry tidak dapat menunaikan ibadah haji bersama pada tahun ini susulan rayuan visa tidak berjaya.
Pun begitu, Lisa tidak pernah putus berhenti berdoa agar berpeluang menunaikan ALLAH bersama suami tercinta pada masa akan datang.
“Kita hanya mampu merancang, ALLAHyang menentukan. Abang tidak dapat bersama saya kali ini untuk menunaikan haji.
"Insya-ALLAH saya banyak berdoa, saya berharap ini bukan haji terakhir saya. Jika diberi peluang lagi, saya berharap dapat kembali menunaikan haji bersama suami pula nanti,” katanya.
Selain Lisa, penyanyi Tomok dan isteri, Ayu Abas, Ezad Lazim dan isteri, Nor Azeana Ramli serta pelakon veteran, Mahmud Ali Bashah antara yang menjadi tetamu ALLAH pada musim haji baru-baru ini.
Sumber: Gempak
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
