'Anugerah Biduan Negara? Kalau bagi terima, tak ada pun saya okey...' –Jamal Abdillah buka mulut isu bersara & harapan pada anak-anak
BUKAN calang-calang orang mampu bertahan selama puluhan tahun dan kekal relevan memegang takhta sebagai Raja Pop negara.
Pada usia 67 tahun, nama Datuk Jamal Abdillah sentiasa menjadi jaminan kepada kualiti vokal yang tiada tolok bandingnya.
Namun, nama beliau kembali menjadi bualan hangat baru-baru ini susulan kenyataannya yang seolah-olah memberi bayangan mahu mengundurkan diri daripada industri seni suara.
Menjawab spekulasi berkenaan, Jamal tampil memperbetulkan salah faham dan menyusun kembali naratif sebenar penjelasannya.
Menurut pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir ini, kenyataan pertamanya dahulu mengenai persaraan hanyalah sekadar usikan santai di atas pentas sewaktu membuat persembahan bersama penyanyi-penyanyi generasi muda (Gen Z).

Bagaimanapun, luahannya yang kedua yang dibuat baru-baru ini lahir daripada lubuk hati seorang seniman yang sangat mementingkan kualiti.
Jelasnya, beliau sendiri dapat merasakan penyampaian vokalnya sedikit menurun kebelakangan ini akibat jadual kerja yang terlalu padat sepanjang tahun lalu sehingga tidak memberi ruang langsung untuk 'vokal kod' beliau berehat.
"Saya perlu berubah. Saya perlu berehat selama dua bulan untuk betulkan balik otak suara saya. Kalau sekiranya masih macam itu juga, saya rasa lebih baik saya bersaralah.
"Peminat membayar bukan untuk melihat saya menyanyi dengan 'key' lagu yang diturunkan. Saya dah tak capai KPI dan tak dapat nak memuaskan hati penonton yang ada. Itu adalah tujuan utama saya, bukan mengejar populariti.
"Orang politik atau penyanyi ini sebenarnya tiada istilah bersara, dia akan sampai bila-bila menyanyi. Tetapi bila keadaan macam ini, saya rasa tak puas," kongsinya dengan jujur.

Menyentuh mengenai warisan legasi dalam dunia nyanyia, sebagai seorang bapa yang melihat anak-anaknya kini mengikut jejak langkah dalam bidang seni suara, Jamal mempunyai pendirian yang cukup tegas mengenai hala tuju pelapisnya itu.
Beliau mahu anak-anaknya membina nama atas usaha dan bakat sendiri tanpa bergantung kepada bayang-bayang nama besar yang dibawanya.
Bagi Jamal, asas yang kukuh dalam ilmu muzik jauh lebih penting berbanding mengejar glamor yang bersifat sementara.
"Saya sebenarnya inginkan anak-anak mencipta identiti dan karier mereka sendiri agar boleh bertahan sehingga bila-bila. Itu paling penting dan tambah lagi ilmu dalam bidang muzik ataupun dalam bidang nyanyian.
"Belajar lagi dan bentuk diri itu supaya dihormati dan tidak terlalu teruja dalam populariti agar mereka akan terus boleh bertapak di bidang seni suara.

"Nyanyian saya ini dari hati yang suci, bukan semata-mata kerana wang," katanya yang mengakui minat mendalam mengatasi segala-galanya.
Malah, ketegasan beliau mendidik anak-anak turut dibawa ke rumah terutamanya dalam mendepani cabaran dunia digital hari ini.
Bapa kepada tujuh cahaya mata itu beliau dan isteri sentiasa mengambil pendekatan memantau aktiviti harian anak-anak bagi memastikan mereka tidak hanyut dengan arus teknologi.
"Saya sendiri secara peribadi ingin anak saya tidak terlalu bebas dalam internet ataupun tengok video atau TV.
"Saya dan isteri selalu memantau agar mereka tidak tersasar daripada apa yang kita lakukan," tambahnya lagi.
Sekadar info, Jamal dan Zai Izzati mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017.
Mereka dikurniakan lima anak iaitu Nur Azura Yamani, 6, El Isaac Yamani, 5, Iskandar Rayyan Yamani, 3, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 2, dan Magdalena Yamani, setahun.
Penyanyi itu juga memiliki dua anak lelaki daripada perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 24, dan Ahmad Zaki Yamani, 20.
Tak kisah soal gelaran biduan
Bila menyentuh mengenai sumbangan besarnya kepada industri seni tanah air, ramai yang berpendapat sudah tiba masanya untuk Jamal diiktiraf dengan gelaran tertinggi seperti Anugerah Biduan Negara.
Menjawab mengenai perkara tersebut, bapa kepada penyanyi muda Osama dan Zaki Yamani itu mengambil pendekatan yang sangat merendah diri dan menyerahkan segalanya kepada rezeki.

Beliau menegaskan fokus utamanya ketika ini adalah untuk terus berkarya dan menghiburkan peminat setianya, bukannya mengejar pengiktirafan semata-mata.
"Kalau nak bagi saya, saya terima. Kalau tak ada pun, saya okey tak kisah. Saya tetap akan terus bernyanyi. Matlamat saya bernyanyi sebenarnya adalah untuk menghibur hati manusia yang ada di dunia.
"Orang ramai bila dengar lagu saya, mereka rasa tenang dan mahu dibawa lagi ke nostalgia yang dulu-dulu.
"Mengenai bidang lakonan pula, saya memang tidak akan terima lagi kerana tidak pandai berlakon dan tiada asas. Lakonan itu agak sukar bagi saya," jelasnya.
Menariknya, walaupun jadualnya padat termasuk baru selesai menjalani pembedahan kecil pada tekak, semangat Jamal tidak pernah luntur apabila beliau berkongsi bakal melangkah masuk ke studio rakaman tidak lama lagi untuk menyiapkan sebuah lagu 'single' terbaharu berkonsepkan ketuhanan demi membuktikan dedikasi tanpa hentinya buat industri muzik tempatan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui SinarPlus sewaktu rakaman program 'DJA Show: Siri Muzikal Aku Jamal: Suara Emas Digital' yang bakal bersiaran di TV2 bermula Julai ini.
Program 13 episod itu bukan sekadar mempamerkan kehebatan vokal Jamal, malah turut membawa misi murni mendidik masyarakat, khususnya warga tua dan ibu bapa, tentang bahaya ancaman siber dan taktik licik golongan 'scammer'.

Ia seiring pelaksanaan kempen kesedaran seperti Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus diperkukuh melalui pendekatan kandungan kreatif bagi memastikan mesej dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada masyarakat.
Melalui format bersiri, penonton disajikan dengan gabungan perkongsian pengalaman, nasihat praktikal serta persembahan muzik, menjadikan kandungan yang menghiburkan serta membawa pengajaran berkaitan penggunaan Internet secara selamat dan bertanggungjawab.

Program berkenaan bakal disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) di saluran TV2 selama 13 minggu berturut-turut bermula pada Julai depan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
