'Bila ada anak baru faham maksud Hairul Azreen...'— Pekin Ibrahim kini letak keluarga keutamaan, nekad diet lepas ditegur Mona Allen
PERNAH menjadi antara pelakon yang cukup sibuk di lokasi penggambaran, kini keutamaan hidup Pekin Ibrahim sudah banyak berubah.
Jika dahulu kerjaya menjadi fokus utama, hari ini lelaki berusia 40-an itu mengakui keluarga berada di tempat paling atas dalam senarai kehidupannya.
Bagi Pekin atau nama sebenarnya, Mohd Iznan Ibrahim, kejayaan sebenar bukan sekadar memiliki kerjaya yang baik atau pendapatan yang lumayan, sebaliknya dapat melihat anak membesar dengan sihat, bijak dan menikmati kehidupan keluarga yang bahagia.
"Apa lagi kita nak rezeki yang ALLAH bagi selain ada duit, satu lagi ada family. Anak yang sihat, anak yang cerdik, family yang cukup segala benda.
"Kita tak minta jadi macam orang lain. Kita nak satu family bahagia pun, bagi saya itu dah rezeki yang sangat-sangat saya syukur," ujarnya.
Pelakon, pengarah, penulis skrip dan penerbit itu berkata, selepas bergelar suami dan bapa, cara dia melihat kehidupan juga berubah sepenuhnya.

"Dulu kerjaya dulu sebab belum kahwin. Sekarang saya letak keluarga first.
"Saya teringat kata-kata Hairul Azreen dulu, kenapa dia berhenti, sebab nak luangkan masa dengan anak.
"Bila saya sendiri dah ada anak, baru saya faham maksud dia," ungkap suami kesayangan pelakon Mona Allen.
Untuk rekod, Mona berkahwin dengan Pekin pada 7 Disember 2018.
Perubahan fizikal
Namun, di sebalik kebahagiaan meluangkan masa bersama keluarga, bapa kepada dua cahaya mata itu mengakui tidak sedar dirinya mengalami perubahan fizikal yang ketara sehingga berat badannya meningkat.
Katanya, ketika itu dia terlalu selesa berada di rumah bersama isteri dan anak selain tidak mengambil sebarang tawaran penggambaran.
"Saya tak sedar saya dah gemuk. Bila kita sendiri yang besar badan ni, kita tak rasa. Kita selesa duduk rumah dengan anak dan isteri. Masa itu pun saya memang tak ambil syuting, jadi makin besarlah badan," jelasnya lagi.
Teguran daripada isterinya, pada mulanya tidak begitu diendahkan. Namun, semuanya berubah apabila beberapa penerbit mula menghubunginya untuk menawarkan watak.
Ironinya, tawaran yang datang bukan membuatkan dia teruja, sebaliknya menimbulkan rasa bimbang.

"Bila penerbit telefon, saya jadi tak berani nak jumpa. Dalam kepala saya, mungkin dia ingat saya yang 10 tahun lepas.
"Mona pun cakap benda sama. Dia kata nanti bila jumpa, terkejut tengok saya dah gemuk," kongsinya.
Menurut Pekin, usia juga menjadi cabaran apabila proses menurunkan berat badan tidak lagi semudah ketika muda.
"Dulu masa umur 30-an ke bawah, nak kurus sekejap saja. Bila dah masuk 40-an, memang struggle sebab metabolisme badan dah lain.
"Saya tak nak terluka hati kalau akhirnya ditolak producer sebab keadaan fizikal. Sebab itu saya ambil keputusan untuk diet," jelasnya panjang lebar.
Lebih menyentuh hati, perjalanan menurunkan berat badan itu bukan dilakukan seorang diri. Di belakangnya ada seorang isteri yang sentiasa memberi sokongan tanpa jemu.
Pekin berkata, Mona memahami situasinya dan sanggup mengubah rutin harian demi memastikan dia terus bersemangat mencapai sasaran.
"Mona memang 100 peratus support. Dia gembira sebab dia nak saya kembali syuting. Masalahnya bukan tak ada offer, tapi saya sendiri tak berani ambil sebab sedar keadaan diri," dedah Pekin.
Tambahnya lagi, isterinya turut menjaga perasaannya sepanjang tempoh berdiet.

"Dekat rumah dia tak masak makanan yang boleh buat saya teringin. Kalau dia nak makan sedap-sedap pun, dia makan dekat luar.
"Dia tak makan depan saya sebab nak jaga hati saya," ujarnya lagi.
Bagi Pekin, usaha menurunkan berat badan bukan semata-mata soal penampilan, tetapi juga demi mengembalikan keyakinan diri untuk terus berkarya dalam bidang yang sudah sebati dengan kehidupannya, tanpa mengorbankan perkara paling berharga iaitu keluarga.
Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan Majlis Pelancaran Filem Jerat di sebuah hotel berhampiran Sepang, baru-baru ini.

Filem arahan pengarah berpengalaman, Roy Krishna itu dijangka hadir dengan gabungan elemen emosi, debaran dan ketegangan yang dibangunkan secara teliti bagi memberi pengalaman tontonan yang lebih mendalam kepada penonton tempatan.
Selain Pekin, filem berkenaan turut diterajui Aprena Manrose, Stacy, Captain Palani, Datuk Jalaluddin Hassan, Qamarina Lim serta Razib Salimin.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
