‘Kena adil, baru hidup tenang’ -Tinggi, tegap & elak asma sebab Sheikh Muszaphar latih 6 anak jadi perenang sejak kecil

No Image Caption
A
A
A

PENDEKATAN angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan isteri, Datin Dr Halina Yunos dalam mendidik anak-anak sering kali meraih pujian warganet. Di samping mengutamakan kecemerlangan akademik, bapa kepada tujuh cahaya mata ini amat menitikberatkan aktiviti kecergasan sejak anak-anaknya masih kecil.

Bagi beliau, sukan bukan sekadar pengisi masa lapang tetapi pelaburan jangka panjang demi perkembangan fizikal dan mental mereka. Antara sukan yang menjadi pilihan utama keluarga ini ialah sukan renang.

Baru-baru ini, beliau berkongsi keterujaannya apabila anak kembarnya, Eusoff dan Emelia, yang berusia lima tahun bakal menyertai pertandingan renang pertama mereka di Bukit Jalil.

Menerusi hantaran di laman Instagram, Dr Sheikh Muszaphar sempat memuat naik video memaparkan beliau sedang melatih pasangan kembar tersebut melakukan teknik jump start.

No Image Caption

Sambil berseloroh menyifatkan situasi itu sebagai 'Deja Vu' dan satu kitaran yang tidak pernah berakhir, beliau menjelaskan rutin melatih anak-anak berenang ini telah bermula sejak anak sulungnya lagi.

"Rasa macam Deja Vu, memang satu kitaran. Buat perkara yang sama dekat anak-anak.

"Dulu Bella, kemudian Tasha. Selepas itu giliran Adam dan Noah dan sekarang Eusoff serta Emelia pula.

"Nanti giliran Muhammad. Memang takkan habis," kongsinya.

Artikel Berkaitan:

Bekas doktor pakar bedah itu juga menambah, sebagai seorang bapa, beliau mahu memastikan setiap anak diberikan peluang dan perhatian yang sama rata dalam apa jua bidang.

"Penting sangat setiap anak diberi peluang yang sama supaya besar nanti daddy tak dipersalahkan. Kena adil buat semua, baru hidup tenang," kongsinya lagi.

Kenapa sukan renang jadi pilihan?

Menjawab pertanyaan warganet tentang mengapa memilih sukan renang untuk anak-anaknya, Dr. Sheikh Muszaphar yang juga merupakan seorang bekas perenang mendedahkan tiga impak positif sukan air itu.

Katanya, berenang mampu mencegah penyakit asma, postur badan yang ideal dan membantu tumbesaran anak-anak untuk memiliki bentuk badan yang tinggi dan tegap.

Selain itu sukan renang juga memiliki risiko kecederaan yang rendah.

No Image Caption

"Faktor daya apungan air mengurangkan impak dan tekanan pada sendi serta otot, sekali gus meminimumkan risiko kecederaan berbanding sukan sentuhan yang lain.

"Sebagai seorang perenang, sudah menjadi lumrah untuk anak-anak mengikut jejak langkah yang sama," katanya.

Pada hari pertandingan 17th Novice Swim Meet 2026, Eusoff dan Emelia menyertai dua kategori iaitu gaya bebas dan kuak dada.

"Daddy yang terlebih teruja. Sangat bangga dengan kamu berdua. Teruskan usaha kalian. Tak lama lagi kalian berdua akan jadi macam abang dan kakak juga.

Ujar Dr Sheikh Muszaphar, memandangkan pertandingan berkenaan adalah yang pertama untuk si kembar, kemenangan bukanlah fokus utama tetapi sebagai platform menyemai nilai-nilai murni.

"Daddy bangga dengan mereka. Memandangkan ini pertandingan pertama mereka, matlamat utamanya adalah untuk membina keyakinan diri mereka, keinginan untuk bersaing, perasaan ingin menang, meletakkan lebih usaha untuk berlatih bersungguh-sungguh, keazaman dan kecekalan diri, kekuatan mental dan sikap tidak mudah mengaku kalah.

"Perlahan-lahan tetapi pasti, sifat-sifat ini akan membantu mereka dalam jangka masa panjang," katanya.

Terdahulu, anak keduanya Sophea Natasha kerana terpilih mengikuti Program Pembangunan Sukan Bakat Olimpik 2025/2026 dalam sukan berkenaan.

Sekadar info, Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina mendirikan rumah pada 10 Oktober 2010.

Pekahwinan mereka diserikan dengan kehadiran tujuh cahaya mata termasuk iaitu Sophea Isabella, Sophea Natasha, dua pasang kembar iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah, Sheikh Eusoff serta Sophea Emelia dan putera bongsu Sheikh Muhammad.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang