25 tahun dalam industri, Shila Amzah syukur temui kebebasan diri - 'Apa yang berlaku membentuk siapa saya hari ini, Ubai jadi kekuatan'

No Image Caption
A
A
A

"HUBUNGAN boleh menjadi titik terendah, tetapi pada masa sama juga boleh mengangkat saya ke titik tertinggi." 

Itulah pengakuan paling jujur daripada penyanyi bersuara emas, Shila Amzah, apabila membuka bicara tentang perjalanan hidup yang tidak pernah sunyi daripada ujian.

Membesar di bawah sorotan dunia hiburan sejak usia muda bukan sesuatu yang mudah. Setiap langkah, keputusan dan perubahan dalam hidupnya sering menjadi perhatian umum hingga ada ketika beliau merasakan ruang untuk menjadi dirinya sendiri begitu terbatas.

Bagi Shila, hubungan dengan insan di sekeliling menjadi antara ujian terbesar yang membentuk dirinya hari ini.

"Selain hubungan percintaan, hubungan dengan ibu bapa dan hubungan dengan media.

"Saya boleh kata hubungan itu adalah perkara utama yang membawa saya ke titik paling rendah, tetapi dalam masa yang sama juga menjadi sebab saya berada di titik tertinggi dalam kerjaya," katanya.

No Image Caption

Pun begitu, segala pengalaman pahit yang pernah dilalui tidak pernah mematahkan semangatnya. Sebaliknya, setiap episod kehidupan menjadi proses pembelajaran yang menjadikan dirinya lebih matang, lebih tenang dan lebih menghargai kehidupan.

Kini, selepas 25 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni, Shila menyifatkan fasa yang sedang dilaluinya sebagai hadiah paling bermakna buat dirinya. Buat pertama kali, beliau benar-benar merasai kebebasan untuk menentukan arah hidup tanpa rasa terikat.

"Saya rasa inilah masanya untuk saya memberi ruang kepada diri sendiri terus belajar. Sejujurnya, pada tahun ke-25 ini saya sangat menghargainya kerana akhirnya saya ada 100 peratus kebebasan.

"Inilah kebebasan yang saya impikan selama ini. Kebebasan untuk bersuara, membuat keputusan besar dalam hidup dan menentukan hala tuju kerjaya sendiri.

"Saya sangat bersyukur kerana semua yang berlaku sebelum ini akhirnya membentuk siapa saya pada hari ini," ujarnya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui, membesar di hadapan mata masyarakat bukan sesuatu yang mudah. 

Ketika orang lain melalui proses pendewasaan secara normal, beliau pula terpaksa belajar mengenali diri dalam keadaan setiap tindak-tanduk menjadi perhatian ramai.

No Image Caption

"Saya boleh katakan dulu saya tidak benar-benar merasai kebebasan kerana membesar di bawah perhatian khalayak bukan sesuatu yang mudah.

"Saya percaya perkara yang sama turut dirasai oleh anak-anak artis lain," katanya.

Shila turut mengakui kisah peribadinya yang sering menjadi perhatian, termasuk kegagalan rumah tangga pertama, sedikit sebanyak memberi kesan kepada perjalanan hidupnya. 

Namun, daripada pengalaman itulah beliau belajar untuk bangkit dan menerima setiap aturan takdir dengan hati yang lebih terbuka.

Mencari keseimbangan

Hari ini, kehidupannya kembali disinari kebahagiaan bersama suami tercinta, Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli atau Ubai. 

Kehadiran anak lelaki, Seth Uwais dan puteri kesayangan, Rhea Akira, melengkapkan kebahagiaan yang pernah disangkanya sukar untuk dikecapi.

Meniti usia dan pengalaman, Shila berharap kisah jatuh bangunnya mampu menjadi panduan buat anak-anak seni lain agar lebih bijak mencari keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi.

No Image Caption

"Saya berharap apa yang pernah berlaku kepada saya boleh menjadi pengajaran buat artis-artis lain supaya kita belajar mencari keseimbangan.

"Bagi saya, keseimbangan itu sangat penting. Kisah hidup saya sudah menjadi tatapan umum, jadi saya tidak kisah jika ia boleh dijadikan contoh tentang apa yang patut dan tidak patut dilakukan," katanya.

Di sebalik segala pencapaian yang diraih hari ini, Shila tidak menafikan insan yang paling banyak menjadi kekuatannya ialah Ubai. Malah, dia sempat berseloroh mengenang perbezaan fasa kehidupan mereka sebelum dipertemukan sebagai suami isteri.

"Ubai adalah orang yang paling banyak memberi dorongan dan sokongan. Waktu saya berada di kemuncak kerjaya suatu ketika dahulu, dia sebenarnya masih bersekolah," katanya sambil ketawa.

No Image Caption

Kini, mereka sama-sama melakar impian baharu sebagai pasangan dan rakan seperjuangan. Bukan sekadar menjadi suami, Ubai juga individu yang sentiasa memahami dunia seni yang dilalui Shila, malah sering membantu memberikan pandangan terhadap kandungan yang dihasilkannya.

"Saya sangat bersyukur kerana apa sahaja yang berlaku, dia sentiasa memahami. Dia rajin membantu menjadi editor kandungan saya.

"Bukan mudah untuk orang di luar memahami apa yang saya lalui dan setiap proses dalam kerjaya ini. Sebab itu saya sangat menghargai perjalanan yang telah kami lalui bersama dan saya teruja menantikan apa lagi yang akan kami bina pada masa depan," katanya.

25 tahun bersama

Seiring dengan fasa baharu dalam hidupnya, Shila bakal meraikan perjalanan 25 tahun dalam industri muzik menerusi konsert istimewa “KITA – 25 Tahun Bersama” yang akan berlangsung pada 15 Ogos 2026,  di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Konsert itu hadir sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan seninya yang panjang, selain meraikan sokongan peminat yang sentiasa bersama sejak awal pembabitannya dalam dunia hiburan.

No Image Caption

Bagi Shila, pentas tersebut bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi ruang untuk mengimbas kembali pelbagai kenangan yang hadir sepanjang bergelar anak seni.

"Konsert ‘KITA – 25 Tahun Bersama’ bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 saya dalam industri muzik, tetapi lebih kepada menghargai setiap insan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.

"Saya percaya setiap lagu yang pernah saya nyanyikan mempunyai cerita tersendiri dan saya mahu menghidupkan semula semua kenangan itu bersama peminat yang sentiasa berada di sisi saya sejak hari pertama," katanya.

Menerusi konsert berkenaan, Shila bakal mempersembahkan sekitar 40 buah lagu merangkumi karya Melayu, Mandarin dan Inggeris yang mencerminkan pelbagai era kerjayanya. Selain persembahan solo, malam istimewa itu turut menampilkan beberapa segmen khas seperti tribut Sudirman, tribut Michael Jackson serta kolaborasi bersama barisan artis jemputan antaranya DJ Fuzz, Balan Kashmir, Kidd Santhe, Mimy Fly dan Hael Husaini.

No Image Caption

Buat Shila, peluang berkongsi pentas bersama rakan-rakan seperjuangan menjadi satu lagi momen bermakna dalam perjalanan seninya.

"Saya sangat teruja dapat berkongsi pentas dengan rakan-rakan artis yang saya hormati kerana mereka mempunyai identiti dan kekuatan tersendiri.

"Saya percaya gabungan ini akan menjadikan ‘KITA – 25 Tahun Bersama’ lebih istimewa dan saya berharap semua yang hadir akan pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan," katanya.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang