'Tak jaga mata, jaga perut' – Zain Saidin titip pesanan buat Ammar sebelum kahwin, dedah rahsia hubungan erat dengan anak tiri
BERGELAR bapa bukan sekadar soal pertalian darah, tetapi tentang kasih sayang, kepercayaan dan tanggungjawab yang dibina dari hari ke hari.
Bagi pelakon Zain Saidin, perjalanan hidupnya ternyata penuh dengan fasa yang tidak pernah disangka.
Bermula sebagai 'bapa segera' kepada dua anak Rozita Che Wan, kini dia pula melangkah ke satu lagi episod baharu apabila bergelar bapa mentua selepas anak tirinya, Ammar Effendy, selamat mendirikan rumah tangga.
Berkongsi keterujaannya, Zain mengakui dia bersyukur dapat melalui pengalaman yang cukup bermakna itu bersama keluarga yang dibinanya sejak lebih sedekad lalu.
"Saya syukur mula-mula jadi bapak segera, sekarang dah jadi bapak mentua segera juga. Alhamdulillah, syukurlah. Memang best," katanya sambil tersenyum.

Menurut Zain, melihat Ammar berkahwin pada usia 30 tahun mengimbau kembali perjalanan hidupnya sendiri yang mendirikan rumah tangga ketika berusia 29 tahun.
Malah, sebelum berkahwin, Ammar juga pernah bertanyakan pengalaman dan persediaannya sebagai seorang suami.
Diminta berkongsi tip mahupun nasihat sebagai bapa buat anak tirinya yang bakal melangkah ke alam perkahwinan, Zain berkongsi pengalaman hidup yang dimiliki serta menitipkan doa agar rumah tangga anak tirinya itu sentiasa dipenuhi keberkatan.
"Saya cuba beri nasihat yang terbaik berdasarkan pengalaman yang ada. Saya doakan yang terbaik untuk Ammar dan isterinya.
"Nasihat saya mudah sahaja, tak jaga mata, jaga perut. sebagai suami kena pandai jaga hati isteri. Kalau boleh jaga makan minum dan ambil berat tentang pasangan, insya-ALLAH rumah tangga akan lebih bahagia," ujarnya.
Dalam masa sama, Zain turut berkongsi bagaimana isterinya, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, begitu menyayangi menantu sulung mereka.
Bercerita mengenai hubungannya dengan Ammar dan adiknya, Aniq Ezzra, Zain mengakui dia tidak pernah membezakan layanan terhadap anak tiri dan anak kandung.
Sejak mengenali Che Ta, Ammar baharu berusia tiga tahun manakala Aniq baru setahun, justeru dia membesar bersama mereka dan melalui setiap fasa kehidupan sebagai seorang ayah.
"Saya tahu saya bukan saja kena ambil hati mak dia, tetapi kena ambil hati anak-anak juga. Bagi saya, bila anak-anak boleh terima kita, semuanya jadi lebih mudah.
"Ammar masa kecil dah mula nak kenal dunia remaja, jadi saya banyak kongsi macam mana nak hormat perempuan, bercakap dengan baik dan jadi seorang gentleman," katanya.

Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai cara dia membesarkan anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana, Zain mengakui pendekatannya sedikit berbeza.
Jika Amar dan Aniq kini sudah dewasa dan berdikari, Aaisyah pula sentiasa menjadi perhatian kerana merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga.
"Dengan Aaisyah ni lain sikit. Anak perempuan pula tu. Memang kena jaga rapatlah," katanya sambil tertawa.
Bagi Zain, setiap anak mempunyai cara didikan yang berbeza mengikut usia dan keperluan masing-masing.

Namun, prinsip yang sentiasa dipegangnya tetap sama iaitu menjadi seorang ayah yang sentiasa hadir memberi sokongan, berkongsi pengalaman hidup dan memastikan setiap anak membesar dengan nilai hormat, kasih sayang serta tanggungjawab terhadap keluarga.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
