'Dia macam baby untuk saya' - Zubir Khan nervous bakal bergelar suami, sedia pimpin bakal isteri mualaf
BARU-baru ini video memaparkan penyanyi Zubir Khan bersama tunang tersayang memakai persalinan pengantin menjadi perhatian ramai.
Rupanya pelantun Yennode Macha dan tunangnya, Dr Heama Maleni Balasubramaniam sedang menghitung detik menuju hari bahagia.
Ketika dihubungi SinarPlus, Zubir mengakui debaran semakin terasa menjelang tarikh pernikahan pada 31 Julai ini. Manakan tidak, bahtera rumah tangga yang bakal dibina juga bakal menyaksikannya untuk bergelar suami buat Dr Heama yang berstatus mualaf.
Membuka cerita mengenai persiapannya, penyanyi berusia 26 tahun itu mengakui perasaan gementar tetap ada biarpun fizikal dan mentalnya kini sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
"Perasaan nervous tu mesti ada, siapa je tak nervous time nak kawin sebab dia perasaan macam bercampur... ada rasa takut, happy dan sedih. Tiga-tiga perasaan ada tapi nervous tu confirm ada!
"Persediaan dah sebulan dah nak dekat. Macam mental fizikal tu alhamdulillah tengah okay. Nak kata dah sedia tu memang dah sedia sebab dah sampai umur nak kawin kan. Macam saya 26 tahun, rasa dah stabil dan mental pun okay untuk jadi suami," katanya.

Bermula dengan DM Instagram
Bercakap mengenai detik awal perkenalan, Zubir mendedahkan dia dan tunangnya sebenarnya sudah lama saling mengikuti di laman sosial sebelum hubungan itu mekar menjadi ikatan cinta.
"Bab kenal tu memang sudah lama, sejak 2024 lagi. Masa tu saya pernah ajak dia berlakon dekat salah satu muzik video saya, lagu Deepavali Sudah Mari, tapi ketika itu dia busy dengan pelajaran dan ada exam. Lepas tu memang tak dapat contact.
"Sampai tahun 2025, hati saya tergerak bila dia post story di Instagram. Saya pun menegur. Dari situ start borak, saling mengenali dan bercinta. Sampai satu masa, saya decide tak mahu bercinta lama-lama. Takut kalau lama-lama pun tak ada jodoh tak guna juga. Baik awalkan" jelasnya lagi.

Bakal isteri mualaf dan pemegang Phd
Mengulas mengenai latar belakang bakal isterinya yang merupakan seorang berketurunan India, Zubir mengesahkan wanita pilihannya itu kini sudah pun bergelar mualaf sejak April lalu.
"Jodoh, ajal dan maut semua di tangan ALLAH. Kita tak tahu perancangan kita, tapi ALLAH sudah susun laluan hidup kita. Alhamdulillah keluarga saya suka bakal isteri.
"Saya tidak pernah memaksanya memeluk Islam. Dia sendiri tahu kalau nak kawin dengan saya kena masuk Islam dan menerima agama ini dengan hati terbuka," luahnya.
Biarpun tunangnya Dr Heama memegang ijazah doktor falsafah dan mempunyai jurang profesion yang berbeza, Zubir bersyukur kerana wanita itu sentiasa menjadi penyokong kuat karier muziknya.
"Dia yang akan hidup dengan saya sampai bila-bila. Family mungkin bagi cadangan kenapa tak kahwin orang pekerjaan lain, tapi dia tak pernah halang saya menyanyi. Dia terima saya seadanya.
"Malah baru-baru ni masa saya shoot lagu Puna Kutti, dia sendiri yang tolong pilihkan heroin untuk muzik video tu. Dia memang supporter nombor satu saya, selalu push dan tegur saya pasal lagu. Paling penting, dia terima saya," tambah Zubir.
'Dia baby untuk saya'
Memandangkan bakal isterinya merupakan seorang mualaf yang baru memeluk Islam beberapa bulan lalu, Zubir menganggap tanggungjawab mengajar dan membimbing isterinya perlu dilakukan secara berhikmah serta penuh kesabaran.
"Saya rasa dia macam baby untuk saya. Kenapa saya cakap baby? Sebab baby baru lahir tak tahu apa-apa... tak tahu agama, keturunan atau bahasa apa. Orang baru masuk Islam pun umpama baby juga.
"Bukan terus boleh berjalan, kena ambil masa tiga hingga empat tahun baru start berjalan, makan dan bercakap pelan-pelan kita ajar. Sama juga macam dia, baru bulan April baru-baru ini memeluk Islam. Saya tengah slow-slow mengajar semua benda," ujarnya.
Zubir turut tidak meletakkan tekanan berlebihan kepada bakal isterinya tetapi mahu segalanya dilakukan secara bertahap.
"Ada jugak netizen kata dia kena buat ni, buat tu... saya faham. Tapi saya kena ajar dia slow-slow, tak boleh paksa. Saya faham Islam pun tak pernah paksa sesiapa. Dia pun setuju untuk belajar perlahan-lahan dan banyak benda yang dia sudah mula berubah.
"Cuma mungkin orang tak tahu apa yang kita lalui. Sebenarnya saya okay and tiada apa-apa masalah. Dia pun setuju untuk belajar slow-slow semua benda," katanya mengakhiri perbualan.
Sekadar rekod, Zubir dan Heama terdahulu melangsungkan pertunangan pada April.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
