'Dia tahu abangnya special' - Mia Ahmad sebak anak kedua bantu jaga abang autisme, perancangan ALLAH tidak pernah silap
"ALLAH tak pernah silap menyusun perancangan."
Demikian ungkapan yang menggambarkan perasaan pelakon, Mia Ahmad apabila menyaksikan ikatan kasih sayang yang terjalin indah antara anak keduanya, Iris dan anak sulung, Sayf Issa.
Meskipun pernah dibayangi rasa bimbang mengenai pembahagian kasih sayang terutama selepas Issa yang disahkan autisme, pemilik nama Samiha Ahmad Baderi, 38, itu tidak menyangka rupa-rupanya kehadiran Iris menjadi anugerah terbesar buat si abang.
Malah, puteri keduanya yang berusia tujuh tahun itu semakin membesar menjadi peneman Issa yang disahkan mengalami autisme berfungsi tinggi (high-functioning autism).
Mia yang memuat naik video Iris menyarungkan kasut kepada Issa mengakui empati anaknya itu didorong pemerhatian.

"Apabila saya mengetahui Issa autistik, ketakutan utama saya ialah “Macam mana kalau ada anak lain? Takut perhatian pada Issa akan berkurang tetapi ALLAH lebih mengetahui.
"Rupanya ALLAH hadirkan Iris bukan untuk mengambil perhatian daripada Issa tetapi untuk berjalan bersama.
"Sejak kecil, Iris selalu perhatikan kami, therapist dan semua intervention yang Issa lalui. Tanpa kami sedar, dia belajar sekali.
"Dia tolong Issa pakai kasut. Dia ingatkan Issa apa yang perlu dibuat. Dia pegang tangan Issa bila berjalan. Dia peka kalau Issa lari atau hilang daripada pandangan," titipnya.
Tidak sekadar itu, Mia turut memaklumkan anak perempuannya itu tetap prihatin tentang Issa ketika di sekolah.
Artikel berkaitan:

"Hari ini, bila mereka pergi sekolah bersama, Iris yang akan hantar abang dia sampai ke pintu kelas," kongsinya.
Mia ketika dihubungi SinarPlus tersentuh dengan kasih sayang murni yang lahir sendiri dalam diri Iris tanpa perlu dipaksa.
"Alhamdulillah. Saya rasa sangat bersyukur dan bertuah. ALLAH kurniakan Iris seorang anak yang sangat penyayang dan emotionally intelligent. Saya percaya anak-anak banyak belajar melalui apa yang mereka lihat setiap hari," kongsinya.
Malah, isteri kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Izham Tarmizi itu juga mengakui Iris cukup memahami abangnya walaupun baharu berusia tujuh tahun.
"Issa rasa selamat dengan Iris dan Iris antara orang yang dia percaya.
"Issa boleh berkomunikasi dengan Iris kerana dia juga menggunakan cara saya dan suami bercakap dengan Issa.
"Adik adik belum faham lagi. Iris mungkin sejak lahir sudah tahu dan tengok Issa macam mana kan. Dia tahu abang dia special," tuturnya.
Dalam pada itu, Mia juga mengakui tidak pernah meletakkan tanggungjawab itu pada Iris.
"Kasih sayang itu lahir sendiri dan saya percaya ALLAH tak pernah silap menyusun keluarga kami," titipnya lagi.
Warganet mengakui tersentuh dengan keprihatinan Iris dan berharap hubungan akrab antara mereka berkekalan selamanya. Tidak kurang yang berkongsi situasi yang sama berlaku dalam keluarga yang memiliki anak autistik.
"Aunty jadi saksi setiap hari nampak Iris jaga Issa. Pakaikan kasut, pimpin tangan ke kereta. Semoga Iris dan Issa sentiasa di dalam lindungan-NYA."
"Masya-ALLAH, moga ALLAH menjaga hubungan ini. Semoga Iris membesar dengan penuh kasih dan sayag kepada abang."
"Macam anak saya si adik perempuan lima tahun tolong abang autisme umur 10 tahun. Jalan always pegang tangan."
Sekadar info, Issa autisme ringan (mild autism) ketika usianya tiga tahun.
Mia dan Izham mendirikan rumah tangga pada 13 Januari 2017 dan dikurniakan empat cahaya mata berusia lapan hingga dua tahun.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
