Titik terendah Mia Ahmad anak disahkan tahun High-Functioning Autism. 'Turning point kembali kepada ALLAH'

No Image Caption
A
A
A

PELAKON, Mia Ahmad, tampil berkongsi pengalaman menyentuh hati membesarkan anak sulungnya, Sayf Issa, yang disahkan menghidap autisme berfungsi tinggi (high-functioning autism).

Pemilik nama Samiha Ahmad Baderi, 37, mendedahkan ia adalah fasa awal yang cukup mencabar buat permata sulungnya yang akan genap tujuh tahun 28 September ini.

"Tahun pertama, saya masih tercari-cari rentak… menyesuaikan diri sebagai seorang ibu baharu. Banyak cubaan dan kesilapan; pelbagai cara dicuba. Mainan bertimbun di hadapan Issa, lengkap dengan pakaian berjenama dan pada waktu itu, saya sangka itulah yang terbaik untuknya.

"Masuk tahun kedua, itulah saat paling mencemaskan. Ketika itulah saya mula perasan tanda-tanda perkembangan yang lambat. Paling ketara, Issa perlahan-lahan hilang tumpuan dan tidak lagi membuat hubungan mata. 

"Dia tidak menyahut apabila dipanggil, kerap terjaga pada waktu malam, menangis setiap kali terdengar bunyi kuat dan mengambil masa yang lama untuk bertenang... Semakin hari, semakin banyak isu deria mula kelihatan," ujarnya.

Mia Ahmad mengakui saat paling sukar dalam hidupnya adalah apabila doktor mengesahkan anak sulungnya, Issa, menghidap autisme.

Pelakon drama Mr Boss, Miss Stalker itu turut berkongsi bahawa ketika itu, dia dilanda rasa gagal sebagai seorang ibu dan merasakan segala usaha yang dilakukan selama ini seperti tidak membuahkan hasil.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Hati saya mula berkecamuk apabila segala usaha terasa seakan-akan sia-sia sehinggalah pada satu hari, Issa disahkan menghidap High-Functioning Autism. Saat itu merupakan titik paling rendah dalam hidup saya. Saya sangka saya mampu mengawal segalanya… terlupa bahawa ALLAH, Al-Malik, DIA Pemilik mutlak seluruh langit dan bumi.

"Namun, di situlah juga bermulanya turning point saya untuk kembali kepada ALLAH SWT, mengakui kelemahan diri, merendahkan ego dan melepaskan rasa memiliki yang bukan hak saya.

"Apabila saya menoleh semula ke belakang, tujuh tahun lalu… kini saya amat bersyukur atas 'bungkusan hadiah' daripada ALLAH yang telah membentuk saya menjadi insan seperti hari ini," kongsinya.

Tujuh tahun selepas melalui detik sukar itu, Mia kini melihat ujian tersebut sebagai satu anugerah yang telah membentuk dirinya menjadi seorang insan yang lebih kuat dan sabar.

Dalam masa yang sama, ibu kepada empat cahaya mata ini turut menitipkan kata-kata semangat kepada ibu bapa yang dikurniakan anak istimewa, agar mereka tidak merasa keseorangan dalam perjalanan tersebut.

"Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mula berkongsi sedikit sebanyak tentang perjalanan Issa sebagai seorang anak autisme dengan harapan dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

"Saban waktu, saya menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa dan kenalan, bagaimana saya mula mengesan tanda-tanda autisme pada Issa?Di mana dan bagaimana untuk mendapatkan diagnosis?Rawatan atau terapi apa yang sesuai dan banyak lagi soalan yang berkaitan.

No Image Caption

"Penting untuk saya nyatakan di sini,sedikit disclaimer: Autisme adalah satu spektrum yang sangat luas. Seorang individu yang didiagnosis sebagai autistik mungkin mempunyai ciri dan keperluan yang sangat berbeza daripada individu autistik yang lain. Jadi, jangan sesekali membuat perbandingan.

"Perjalanan setiap anak autisme itu unik. Mereka ada kelebihan dan kekuatan mereka yang tersendiri. Paling utama, autisme bukan penyakit. Ia adalah satu kelainan upaya (neurodivergence) yang menjadikan seseorang itu berbeza, bukan kurang," titipnya.

Isteri kepada bekas penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan, itu menegaskan kepada ibu bapa agar bertindak awal sekiranya melihat kelainan pada anak.

"Issa disahkan menghidap autisme ringan (mild autism) ketika usianya tiga tahun. Namun sebenarnya, ada tempat yang boleh mengesan tanda-tanda awal seawal usia 18 bulan atau lebih awal.

"Nasihat saya buat ibu bapa yang mungkin sedang memerhati kelainan pada anak — jangan nafikan dan yang paling penting, jangan terlalu overthinking atau membuat diagnosis sendiri. 

"Ambil langkah yang betul dan dapatkan nasihat daripada pakar seperti ahli pediatrik atau psikologi kanak-kanak. Semakin awal intervensi dimulakan, besar peluang untuk mereka berkembang dengan lebih baik.

"Autisme adalah spektrum yang sangat luas. Setiap individu yang didiagnosis berada di titik berbeza dalam spektrum ini. Tiada satu pun perjalanan yang serupa. Yang penting, kita faham anak dan menyokong keperluan mereka dan sentiasa terbuka untuk belajar.

Sekadar info, Mia dan Izham mendirikan rumah tangga pada 13 Januari 2017 dan sudah dikurniakan empat cahaya mata.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang