Kejayaan Ara Aziz raih perhatian, Puteri Lily kongsi tip didik anak – 'Bila jadi ibu, kita pun kena gigih'

No Image Caption
A
A
A

KEJAYAAN anak dalam pelajaran sering menjadi kebanggaan ibu bapa. Namun di sebalik pencapaian itu, ada usaha, pengorbanan dan sokongan berterusan yang menjadi pendorong utama mereka untuk terus melangkah.

Begitu juga kisah pelakon Puteri Lily Lokman apabila anak perempuannya, Ara Aziz, bakal melanjutkan pengajian peringkat asasi di Manipal University College Malaysia selepas menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) tahun lalu.

Pencapaian itu mendapat perhatian ramai sehingga ada yang meminta Puteri Lily berkongsi tip bagaimana dia membimbing Ara sehingga berjaya dalam pelajaran.

Menurut Puteri Lily, dia tidak mempunyai formula khusus, sebaliknya percaya sokongan dan kesungguhan ibu bapa memainkan peranan penting dalam perkembangan anak-anak.

No Image Caption

“Ramai yang tanya tentang perkara ini. Bukan tak mahu berkongsi, tetapi saya sendiri rasa perjalanan Ara masih jauh. Namun perkara asasnya, ibu bapa perlu gigih dan menjadi sistem sokongan paling kuat buat anak.

“Bila balik kerja dalam keadaan penat, tetap perlu luangkan masa menemani anak belajar di rumah. Kalau anak bertanya soalan, cuba bantu jawab atau cari jalan untuk terangkan kepadanya,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Tambahnya, sebagai ibu bapa, ada kalanya perlu membuat pengorbanan termasuk mengutamakan keperluan anak berbanding perancangan lain.

“Kadang-kadang sanggup batalkan rancangan hujung minggu kerana anak ada kelas tambahan. Walaupun terdetik rasa mahu biarkan sahaja, kita kena fikir semula apa yang terbaik untuk mereka.

“Kalau anak mula berputus asa atau hilang semangat untuk belajar, jangan terus marah. Sebaliknya, bantu mereka faham kenapa mereka perlu berusaha dan apa manfaatnya pada masa depan,” ujarnya.

Puteri Lily turut berkongsi bahawa dia cuba memberi gambaran tentang kepentingan pendidikan kepada Ara dengan cara yang mudah difahami, termasuk berkongsi contoh kehidupan dan impian yang boleh dicapai melalui usaha.

No Image Caption

Sementara itu, seorang pengikut turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila mengakui pernah berusaha membantu anak walaupun perlu mencari jawapan sendiri.

“Saya pun dulu sedaya upaya menjawab soalan anak walaupun terpaksa cari di Google. Sokong dia sepenuhnya, duduk sebelah buat kerja dan pantau kerja sekolah. Tahniah untuk Ara,” tulisnya.

Kaedah terbaik bantu anak

Mengulas perkara itu, Puteri Lily berkata, menjadi ibu juga menuntut dirinya untuk terus belajar dan mencari kaedah terbaik bagi membantu anak.

“Kalau dia tanya, terus saya cari jalan. Lepas itu saya cuba cari kaedah bagaimana nak buat dia ingat formula atau faham sesuatu perkara. Kalau perlu, kita cari guru untuk bantu secara lebih dekat.

No Image Caption

“Bila jadi ibu, kita pun kena gigih. Kadang-kadang kita belajar semula perkara yang pernah dipelajari zaman sekolah dulu,” katanya.

Perkongsian Puteri Lily itu mengingatkan bahawa kejayaan anak bukan sekadar tentang keputusan akademik, tetapi turut dipengaruhi oleh kehadiran ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan, perhatian dan kepercayaan.

Sekadar info, Puteri Lily pernah berkahwin dengan pengarah filem yang juga pelakon, Aziz M Osman, 63, pada 6 Jun 2010, namun bercerai pada 2023.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang