'Kau kuat ke nak hadap benda ni?' - Khai Bahar tidak halang adik jadi penyanyi, akui bimbang dengan cabaran industri hiburan
BUKAN semua abang sanggup melihat adik sendiri menempuh dunia yang pernah mengajar mereka pelbagai pahit manis.
Lebih-lebih lagi apabila industri hiburan bukan sekadar menjanjikan glamor, sebaliknya turut menuntut kekuatan mental, disiplin dan kebijaksanaan membawa diri.
"Kau kuat ke nak hadap benda ni?" Itulah soalan pertama yang terpacul daripada penyanyi popular, Khai Bahar, apabila adik perempuannya, Kyra Bahar meluahkan hasrat untuk mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi.
Bagi Khai, pengalaman yang dilalui sepanjang bergelar anak seni membuatkan dia tidak mahu adiknya melangkah tanpa benar-benar memahami realiti sebenar dunia hiburan.
Hubungan mereka yang akrab seperti sahabat baik menjadikan pelantun lagu Bayang itu lebih terbuka untuk berkongsi pandangan, termasuk mengakui pada awalnya dia sendiri kurang yakin dengan keputusan adiknya untuk menyertai industri muzik.
"Kau boleh ke? Kau kuat ke? Saya bukan nak kata pengalaman dalam diri ini banyak sangat, tapi sedikit sebanyak adalah. Jadi saya tanya, dia kuat ke nak hadap benda ni?
"Jujurnya masa awal-awal dia nak masuk industri dan nak tandatangan kontrak dengan syarikat rakaman, saya sendiri rasa kurang yakin. Saya siap tanya dia, kau fikir betul-betul?
"Kalau untuk diri saya pun kadang-kadang rasa tak yakin, tapi kalau dia betul-betul nak, kena serius dan paling penting pandai bawa diri," katanya eksklusif kepada SinarPlus.

Namun, kebimbangan itu kini semakin reda apabila melihat perkembangan positif Kyra sejak mula aktif dalam bidang nyanyian.
Menurut Khai, sambutan yang diterima adiknya, terutama menerusi platform TikTok, memberi keyakinan bahawa Kyra semakin diterima peminat dan mampu membina nama sendiri.
"Alhamdulillah sekarang bila tengok dia buat persembahan di TikTok, masuk dalam industri dan penerimaan orang ramai pun sangat bagus dan baik. Bahkan, orang pun dah makin kenal dia," ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Khai tidak menolak kemungkinan untuk berkongsi pentas atau merakamkan lagu duet bersama adiknya jika diberikan peluang pada masa akan datang.
Bagaimanapun, penyanyi itu mengingatkan bahawa dunia hiburan hari ini jauh lebih mencabar berbanding dahulu, justeru seseorang artis perlu bijak menjaga diri dan tidak mudah hanyut dengan pengaruh sekeliling.

"Bagi saya, industri zaman sekarang ni sangat bahaya kalau kita tak pandai bawa diri. Itu sahaja yang penting, kena kuat, jaga diri sebaik mungkin dan pandai bawa diri.
"Apa pun jadi, kena hidup dengan cara yang baik," ringkas namun dengan penuh ketegasan.
Sebagai abang yang lebih dahulu menempuh perjalanan seni, Khai turut menitipkan pesanan yang dianggapnya paling penting buat Kyra, iaitu sentiasa meletakkan karya sebagai keutamaan dan tidak terlalu mengejar perhatian di media sosial.

"Nasihat saya kepada adik, kalau kau nak bernyanyi, kau fokus untuk bernyanyi. Jangan nak fokus dengan perkara tak penting, nak cari tweet atau hantar muat naik yang bukan-bukan.
"Perkongsian gaya hidup tu boleh, tapi biarlah benda yang mendatangkan maklum balas positif dan memberi inspirasi kepada orang lain.
"Benda-benda yang orang muak jangan buat. Fokus bernyanyi sebab kita nak jual lagu, orang nak kenal siapa kita dan lagu kita macam mana.
"Bila orang suka karya kita, alhamdulillah, itulah rezeki kita."

Khai berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-40 jenama mi segera Korea, SHIN Ramyun.
Pada acara sama, Khai Bahar dan Wany Hasrita kembali bergandingan menerusi musim baharu drama pendek Impian Di Seoul. Siri tersebut membawa penonton mengikuti kisah yang lebih matang dengan mengetengahkan tema impian kerjaya, pencarian identiti diri serta cabaran kehidupan dalam era digital.
Turut mencuri perhatian ialah kemunculan watak baharu, Cidi lakonan Shahz Jaszle, yang mewarnai konflik hubungan Omar dan Hana.

Lebih menarik, penonton turut diberi peluang menentukan sendiri pengakhiran kisah cinta mereka melalui undian sepanjang siri itu disiarkan.
Sumber gambar: Instagram huumairaa_khaibahar_
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
