Tagline ‘Seganlah nak makan, nak rasa-rasa saja’ ubah hidup Onedha, bangkit selepas kehilangan kaki bina kejayaan sebagai usahawan
SEBUT sahaja tagline “Seganlah nak makan, nak rasa-rasa saja”, pasti ramai membayangkan wajah ceria seorang lelaki yang tidak lokek berkongsi pengalaman mencuba makanan di media sosial.
Namun, di sebalik gaya bersahaja dan senyuman yang sering menghiasi kandungan TikTok, tersimpan kisah perjuangan seorang insan yang pernah melalui fasa sukar dalam hidup.
Onedha atau nama sebenarnya Abdullah Affandi tidak pernah menyangka ayat spontan ketika membuat ulasan makanan mampu membawa perubahan besar sehingga namanya dikenali ramai.
Bermula sebagai gurauan kecil, tagline tersebut akhirnya menjadi identiti yang begitu dekat dengan dirinya.
Lebih bermakna, populariti yang diraih bukan sekadar membuatkan dirinya dikenali, malah membuka peluang lebih luas buat perniagaan yang dibina dengan usaha sendiri.
Bagi lelaki berusia 46 tahun itu, kejayaan tersebut idak hadir dengan mudah. Ia terhasil daripada pengalaman panjang membina perniagaan, berdepan cabaran dan terus berusaha walaupun pernah kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan.
Menurut Onedha, sebelum dikenali menerusi media sosial, kehidupannya hanyalah seorang peniaga yang bekerja keras mencari rezeki setiap hari.
“Saya berniaga sehari-hari macam biasa saja. Tak ada orang kenal sangat. Memang semuanya bermula dari bawah,” katanya ketika ditemu bual SinarPlus.
Segalanya berubah apabila satu video ulasan makanan yang dibuat secara santai mula mendapat perhatian ramai.
Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu pada awalnya hanya mahu berkongsi pengalaman menikmati hidangan tanpa menyangka gaya penyampaiannya bakal mencuri perhatian.
Video tersebut tular di TikTok dan secara tidak langsung memberi impak besar kepada perniagaan kedai makan miliknya apabila semakin ramai pelanggan dari luar datang berkunjung.
“Tak sangka video itu boleh pergi jauh. Dari situ, hari-hari saya buat kandungan berkaitan makanan. Orang mula kenal saya dan mereka juga suka makanan yang dikongsikan. Itu menjadi bonus kepada perniagaan saya,” ujarnya.

Ujian kehilangan kaki
Di sebalik kejayaan yang dikecapi hari ini, Onedha pernah berdepan detik paling mencabar apabila kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan jalan raya hampir 23 tahun lalu.
Sebelum kejadian itu, dia membantu ibunya berniaga selain melakukan kerja andaman. Selepas kemalangan, dia perlu membina semula kehidupan dan mencari kekuatan untuk meneruskan perjalanan.
Dia pernah bekerja secara kontrak di sebuah syarikat swasta sebelum kembali memilih bidang perniagaan sebagai sumber rezeki utama.
Bagi Onedha, kehilangan tersebut bukan alasan untuk menyerah kalah, sebaliknya menjadi titik perubahan yang menjadikan dirinya lebih kuat.
“Bila saya tak ada kaki, usaha saya jadi lebih daripada sebelum ini. Saya mula fikir bagaimana nak teruskan hidup dan buktikan diri masih mampu berdikari.
“Saya kena bangun, melangkah dan bekerja lebih gigih. Alhamdulillah, sampai sekarang saya masih boleh memandu dan uruskan kehidupan sendiri,” katanya.
Semangat itu akhirnya membawa perubahan besar. Manakan tidak, dahulu dia menguruskan semuanya seorang diri kini berjaya membina perniagaan dengan sokongan 34 orang staf.
Walaupun namanya semakin dikenali, dia tidak terkecuali berdepan pelbagai komen daripada netizen. Ada yang menyokong, namun tidak kurang juga yang mengkritik.
“Memang ada komen yang boleh buat kita terasa hati. Tapi saya kena letakkan semua itu ke tepi dan teruskan usaha,” katanya.
Bagi Onedha, sokongan ibunya menjadi kekuatan terbesar sepanjang perjalanan hidupnya.
“Mak adalah tulang belakang saya. Bila saya susah, dia yang banyak bagi semangat dan selalu ajar saya supaya jangan fikir sangat apa orang kata,” ujarnya yang menyimpan impian membina sebuah homestay.
Pesannya buat mereka yang masih takut untuk mencuba, terutama golongan orang kurang upaya, jangan jadikan kekurangan sebagai penghalang.

“Jangan terlalu mengharapkan simpati orang lain. Cuba usaha ikut kemampuan kita. Yang penting, kuatkan diri dan terus bergerak ke hadapan kerana kita sendiri yang perlu bina masa depan.”
Baginya, kejayaan sebenar bukan tentang kesempurnaan, tetapi keberanian untuk terus bangkit walaupun pernah diuji.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
