'Siapa awak dahului segala berita? Fitnah ganggu emosi kami' - Keluarga Irene Sofiya rayu henti spekulasi, beri amaran tindakan undang-undang
PEMERGIAN tragis remaja, Irene Sofiya Mohd Kharool Faisal, 16, memberikan kesan emosi yang hebat kepada ahli keluarga.
Baru-baru ini, ibu saudara Allahyarham, Siti Nur Farhana Khyar meminta orang ramai agar berhenti membuat spekulasi dan menjaga sensitiviti keluarga.
"Saya selaku ibu saudara Irene Sofiya memohon semua agar berhenti membuat spekulasi, sebar cerita tidak sahih dan tidak betul. Tolonglah hormati kami di keluarga arwah ni.
"Saya sebagai ibu saudara pun tidak berani komen berkaitan kes anak buah saya ini. Walau saya tahu cerita, saya pun tidak berani membuka cerita kepada awam kerana tidak mahu mengganggu kes siasatan polis.
"Sekarang ni, suspek masih dalam reman untuk dibicara. Keputusan post-mortem pun belum keluar lagi. Siapa awak nak mendahului segala berita? Adalah awak ahli keluarga kami? Tolonglah, hentikan sebar fitnah. Setiap apa (yang tidak benar) disebarkan, arwah mungkin akan dapat pahala, awak dapat apa?" tutur Siti Nur Farhana.

Dalam pada itu, dia turut meminta agar orang ramai tidak membuka aib suspek dan menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.
"Kami ahli keluarga mangsa pun tak ada sampai membuka aib suspek. Awak pula siapa nak buka gambar suspek kepada awam? Sedangkan emak dan kakak saya beritahu, jika ibu bapa suspek datang pun kami terima dengan hati terbuka sebagai tetamu.
"Memanglah kami reda, tapi bukannya bermaksud bila kami menerima begitu sahaja dan membiarkan pesalah bebas. Apa-apa pun, muka pengadilanlah yang akan tetapkan semua tu," kongsinya lagi
Dalam masa yang sama, Siti Nur Farhana sebak mengakui mereka sekeluarga amat terkesan dengan pemergian Irene Sofiya, sementelah remaja itu dijaga keluarga sejak berusia sembilan tahun.
"Kami manusia biasa dan (kes Irene Sofiya) adalah asbab kematian. Kesnya penuh tragis. Kami bela Irene Sofiya sejak kematian ibunya, memang kami amat terkesan dengan kematiannya
"Kepada warganet, tolong hormati ahli keluarga Allahyarham. Benda ni tak berlaku kepada awak.

"Kalau rasa komen awak tidak mendatangkan faedah, lebih baik senyap. Kami sekeluarga ni tak perlukan simpati. Kalau rasa komen yang tak bersahsiah tu boleh membantu kami, tak ada masalah. Tapi komen, posting dan fitnah yang awak sebarkan tu mengganggu emosi kami sekeluarga.
"Jadi tolonglah, tolong hormati kami sebagai ahli keluarga arwah ni. Hentikan komen dan spekulasi yang tak betul. Jangan ganggu siasatan polis.
"Kalau nak tahu dan follow rapat, ikuti saluran-saluran berita yang tepat.
"Saya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan undang-undang kepada anda yang buat spekulasi dan menyebarkan perkara tidak betul.
"Sejujurnya, dia sudah bahagia di sana. Janganlah awak pula yang dapat dosa dan masuk neraka dengan perbuatan kepada arwah dan memfitnah keluarga kami," tuturnya dalam sebak.
Allahyarham terdahulu ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran dar#h di dewan sekolah pada kira-kira 5.50 petang.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis kemudian menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sekitar Yong Peng kira-kira 7 malam pada hari sama sebelum memperoleh perintah reman selama enam hari hingga 9 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
