Jep Sepahtu kongsi bukti bayar zakat, rekod RM300,000 pada 2025 jadi perhatian – ‘Resit ini untuk dibuktikan, bukan dibanggakan’
SOAL rezeki dan tanggungjawab kepada orang lain menjadi perhatian pelawak dan bekas penyampai radio, Jep Sepahtu apabila dia tampil berkongsi rekod pembayaran zakat yang dibuatnya secara konsisten sejak beberapa tahun lalu.
Bukan mahu menunjuk jumlah yang dibayar, pemilik nama sebenar Mohd Nadzri Zainal Abidin menjelaskan, perkongsian tersebut dibuat sebagai bukti selepas timbul persoalan mengenai pembayaran zakat yang dilakukannya.
Antara yang dikongsikan ialah bayaran zakat berjumlah RM300,000 pada 2025, selain rekod pembayaran lain antara RM25,000 hingga RM300,000 bagi tempoh 2016 hingga 2025.

Menurut Jep, resit pembayaran itu bukan sesuatu yang perlu dibanggakan, sebaliknya sekadar bukti bahawa kewajipan berkenaan dilaksanakan.
“Resit ini untuk dibuktikan, bukan dibanggakan. Kalau sembang semua orang boleh sembang. Lagi-lagi sekarang zaman podcast, modal air liur sajalah.
“Alhamdulillah, rezeki yang ALLAH titipkan pada aku dengan izin ALLAH, aku turut berkongsi. Mana mungkin hak orang pula aku nak ambil,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya.

Dalam perkongsian sama, Jep turut menzahirkan penghargaan kepada sebuah stesen televisyen menerusi program Sepahtu Reunion serta Sinar yang menurutnya menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjayanya sepanjang tempoh berkenaan.
Perkongsian itu hadir ketika Jep sebelum ini meluahkan rasa ‘muak’ terhadap isu berkaitan persahabatan, selain meminta seorang individu supaya tidak menggunakan sentimen tersebut dalam urusan pemasaran dan publisiti.
Menerusi hantaran terdahulu, Jep turut memaklumkan bahawa dia sudah membuat permohonan maaf walaupun mendakwa pelbagai perkara pernah dilakukan individu berkenaan terhadapnya.

Dalam perkembangan terbaharu itu, Jep memilih untuk menjelaskan pendiriannya dengan berkongsi rekod yang boleh menjadi bukti, selain menyerahkan soal rezeki dan kewajipan tersebut kepada Allah SWT.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

