‘Syukur ALLAH pinjamkan Hasmah sebegitu lama...’ Luahan Tun Dr Mahathir undang sayu, warganet titip kata semangat

No Image Caption
A
A
A

PEMERGIAN isteri tercinta, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, pastinya meninggalkan ruang kosong yang sukar digambarkan buat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Di sebalik kesedihan yang masih dilalui, tokoh negarawan berusia 101 tahun itu berkongsi perkembangan dirinya selepas kehilangan teman hidup yang sekian lama berada di sisi.

Menerusi perkongsian terbaharu, Dr Mahathir memaklumkan masih belum pulih sepenuhnya untuk kembali menjalani rutin harian seperti biasa, termasuk menghadiri urusan di pejabat.

“Sehari dua ini saya cuba ke pejabat tetapi upaya masih belum begitu kuat,” katanya.

Dalam perkongsian sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menyempurnakan urusan pengebumian Allahyarhamah Hasmah, selain berterima kasih atas doa yang terus mengiringi pemergian isterinya.

No Image Caption

“Bagi pihak kesemua ahli keluarga, saya nak ambil kesempatan untuk ucap berbanyak terima kasih kepada semua yang membantu menyempurnakan urusan pengebumian Hasmah tempoh hari.

“Selain itu, saya amat terharu kerana doa yang tidak putus-putus dipanjangkan kepada isteri saya Hasmah sehingga sekarang, sama ada di pusara mahupun dari mana-mana sahaja,” ujarnya.

Luahan itu turut memperlihatkan bagaimana Dr Mahathir cuba menerima kehilangan insan yang menjadi pendamping hidupnya selama puluhan tahun dengan penuh kesabaran dan rasa syukur.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai pemergian isteri tercinta, beliau mengakui kesedihan yang dirasai begitu mendalam, namun pada masa sama mengingatkan dirinya untuk terus bersyukur atas tempoh kebersamaan yang dikurniakan ALLAH SWT.

“Ia mengingatkan saya, di dalam kesedihan yang begitu memedihkan, supaya saya terus bersyukur kepada ALLAH SWT kerana telah meminjamkan Hasmah sebegitu lama sehingga ke usia saya yang cuma masih tersisa sedikit sebanyak ini,” titipnya.

No Image Caption

Kata-kata tersebut mengundang rasa sayu, apatah lagi apabila mengenangkan perjalanan hidup pasangan itu yang telah membina rumah tangga sejak 1956.

Sepanjang kehidupan bersama, Allahyarham Hasmah bukan sahaja menjadi isteri dan ibu kepada keluarga mereka, malah turut menyaksikan perjalanan panjang Dr Mahathir dalam dunia perubatan, politik dan kepimpinan negara.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut memohon maaf sekiranya terdapat salam, lambaian atau ucapan takziah yang belum sempat dibalas sepanjang tempoh berdukacita ini.

“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk meminta maaf jika sepanjang tempoh ini ada salam yang tidak saya sambut, lambaian yang tidak saya balas serta ucapan takziah yang belum saya jawab.

“Terima kasih,” kongsinya.

Perkongsian berkenaan turut mengundang simpati warganet yang memahami bahawa kehilangan pasangan hidup selepas sekian lama bersama bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui.

Rata-rata menitipkan kata-kata semangat dan doa agar Dr Mahathir diberikan kekuatan, kesihatan serta ketabahan untuk melalui hari-hari mendatang tanpa insan yang selama ini setia di sisinya.

Sekadar info, Tun Dr Hasmah berkahwin dengan Tun Dr Mahathir di Kuala Lumpur pada tahun 1956 selepas setahun menamatkan latihan siswazah di Hospital Besar Kuala Lumpur.

70 tahun bersama melayari bahtera rumah tangga, mereka dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu tiga perempuan dan empat lelaki, selain 18 cucu dan seorang cicit.

Terdahulu Dr Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir pada 28 September lalu di Institut Jantung Negara pada usia 100 tahun.

Sumber: Threads

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang