Siti Nurhaliza dedah wajah semakin pulih, mahu berehat dan luang masa bersama anak-anak – ‘Syukur impian tercapai’

No Image Caption
A
A
A

INSIDEN terjatuh ketika latihan konsert meninggalkan kesan lebam pada wajah Datuk Seri Siti Nurhaliza, namun pengalaman itu tidak mematahkan semangat biduanita negara berkenaan untuk menjayakan persembahan yang cukup bermakna buat dirinya.

Selepas melalui detik mencemaskan ketika sesi latihan Konsert Tradisional Gema Bumantara, Siti berkongsi bahawa keadaan wajahnya semakin pulih tanpa sebarang komplikasi serius. Bagaimanapun, kesan lebam masih belum hilang sepenuhnya kerana kulitnya yang sensitif.

“Alhamdulillah, muka saya dah makin beransur pulih. Lebam sikit lagi nak hilang sebab kulit saya ini jenis sensitif. Kalau lebam biru itu ambil masa lama nak hilang.

“Tinggal lagi saya ada rasa tisu muka saya agak keras. Mungkin impak daripada hentakan yang kuat masa terjatuh. Untuk pemulihan, saya kena buat urutan,” katanya.

Siti berkongsi perkembangan itu ketika ditemui SinarPlus pada Majlis Tahlil Tun Hasmah di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, pada Rabu.

Menurut penyanyi berusia 47 tahun tersebut, sejurus kejadian berlaku, beliau terus mendapatkan pemeriksaan di hospital termasuk menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT scan) bagi memastikan tiada kecederaan serius.

No Image Caption

“Selepas saya jatuh, saya terus pergi hospital untuk buat CT scan. Alhamdulillah, tak ada apa-apa retak atau pendarahan dalaman.

"Cuma doktor ada beritahu memang ambil masa untuk hilang lebam dan tisu dekat muka saya memang luka,” ujarnya.

Syukur masih mampu menjayakan konsert

Meskipun mengalami kecederaan, pelantun lagu Cindai itu bersyukur kerana insiden berkenaan tidak menjejaskan keupayaannya untuk meneruskan persembahan sehingga selesai.

Baginya, kejadian itu menjadi pengalaman pertama terjatuh ketika membuat persiapan untuk sebuah konsert. Namun, beliau melihat keadaan yang dialami sebagai satu peringatan untuk lebih menghargai keselamatan diri, selain bersyukur kerana kecederaan yang berlaku tidak lebih parah.

No Image Caption

“Alhamdulillah, saya boleh lagi menyanyi dan menyelesaikan konsert saya. Saya rasa syukur pada ALLAH. Kalau tak mekap memang akan ada kesan lebam itu normal.

“Ini pertama kali saya jatuh untuk konsert. Tapi Alhamdulillah, ALLAH masih melindungi sayalah. Itu saja saya bersyukur sebab saya tak jatuh depan. Kalau jatuh depan, gigi saya patah, bibir pecah dan semua kan, lagi ambil masa untuk pulih,” katanya.

Bagi Siti, kejayaan Konsert Tradisional Gema Bumantara membawa makna tersendiri kerana beliau berpeluang merealisasikan impian untuk mengangkat muzik tradisional ke pentas stadium terbesar di Malaysia.

“Saya bersyukur sangat sebab sudah mencapai impian saya memartabatkan muzik tradisional dan di stadium terbesar di Malaysia,” jelasnya.

No Image Caption

Mahu berehat, fokus anak-anak

Selepas melalui jadual latihan dan persiapan konsert yang padat, Siti turut memberi bayangan bahawa beliau mahu mengambil sedikit masa untuk berehat sebelum mempertimbangkan kemungkinan penganjuran Gema Bumantara 2.0.

Mengulas permintaan peminat yang mungkin mengharapkan kesinambungan konsert itu, Siti secara berseloroh meminta ruang untuk berehat terlebih dahulu.

No Image Caption

“Bagi saya rehat sebentar. Tapi, kalau banyak permintaan kita akan fikirkan. Sebab masing-masing pun sibuk. Saya pun ambil masa untuk saya berehat. Sebab anak-anak pun saya banyak ambil masa mereka masa latihan, kan?

"Sekarang ini minggu peperiksaan anak saya. Jadi, nak banyakkan masa dengan Afiyah dan Afwa,” katanya.

No Image Caption

Dalam kesibukan memenuhi tuntutan kerjaya seni, masa bersama dua cahaya matanya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa, kini menjadi antara keutamaan penyanyi itu.

Terdahulu, Siti menerusi perkongsian di Instastory memaparkan kesan lebam pada wajahnya susulan insiden terjatuh ketika sesi raptai konsert berkenaan.

Rakaman video kejadian menunjukkan beliau melakukan aksi lompatan menggunakan prop kain panjang sebelum kakinya tersadung lalu menyebabkan dirinya terjatuh ke lantai. Insiden itu mengakibatkan luka kecil di bahagian tepi dan bawah mata serta lebam pada pipi kanan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang