Lebih empat dekad dalam dunia seni, Zulkifli Ismail buktikan usia bukan penghalang, tamat sarjana dengan CGPA 4.0
Lebih empat dekad bergelar anak seni, Zulkifli Ismail buktikan usia bukan penghalang untuk terus menimba ilmu.
Kesibukan di lokasi penggambaran dan cabaran kesihatan tidak mematahkan semangat pelakon veteran itu untuk mengejar cita-cita akademik sehingga berjaya meraih keputusan cemerlang, CGPA 4.0 dalam pengajian Sarjana Pengajian Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Kejayaan tersebut pastinya cukup bermakna buat pelakon yang sinonim dengan watak Superintenden Razlan dalam drama kepolisan Gerak Khas itu, apatah lagi selepas perlu membahagikan masa antara kerjaya seni dengan komitmen sebagai seorang pelajar.
Menerusi perkongsian di Facebook pada Sabtu, Zulkifli meluahkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan pengajian meskipun berdepan jadual kerja yang padat serta sedikit gangguan kesihatan.

“Alhamdulillah. Selesai dengan selesa. Dalam kesibukan menjalani penggambaran dan sedikit gangguan kesihatan, saya berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pengajian Persembahan di UPSI.
“Insya-ALLAH konvokesyen pada penghujung November,” katanya.
Pencapaian itu bukan sekadar kejayaan memperoleh keputusan akademik yang membanggakan, malah memperlihatkan kesungguhan Zulkifli untuk terus mengembangkan pengetahuan dalam bidang yang sudah sekian lama menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
Mana tidaknya, selepas lebih 40 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, beliau masih mempunyai keinginan untuk mendalami ilmu seni persembahan secara formal.
Perkongsian tersebut turut mengundang reaksi positif peminat yang menyifatkan kejayaannya sebagai inspirasi, khususnya kepada mereka yang menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian tetapi sering berdepan kekangan usia, masa dan tanggungjawab kerjaya.

Untuk rekod, Zulkifli pernah berkongsi hasrat menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Pengajian Persembahan di UPSI pada April 2025.
Kini, kejayaan menamatkan pengajian dengan CGPA 4.0 menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan hidupnya.
Ternyata, semangat menuntut ilmu tidak seharusnya terhenti apabila seseorang sudah mempunyai kerjaya atau mencapai usia tertentu. Sebaliknya, selagi ada kemahuan, peluang untuk belajar dan memperbaiki diri sentiasa terbuka.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
