DALAM diam tak diam, sudah masuk minggu ke-2 umat Islam meraikan Aidilfitri. Apa yang pasti, masing-masing meninggalkan pengalaman yang menceriakan dan akan disimpan selamanya dalam kotak memori.

Mana tidaknya, ini kali pertama selepas dua tahun kita tidak dapat pulang ke kampung meraikan Syawal.

Begitu juga halnya dengan influencer, usahawan dan pendakwah selebriti, Aisyah Hijanah.
Kehadiran si kecil, Khadeejah Hijanah Mohd Hazalif yang sudah berusia setahun memeriahkan lagi suasana lebaran yang diraikan baru-baru ini.

“Syukur, alhamdulillah, sambutan pada kali ini lebih terasa berbanding dua tahun sebelum ini. Apabila masing-masing dapat bersua muka, raya menjadi lebih seronok,“ katanya seusai sesi fotografi bersama SinarPlus di Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Seperti kita semua, pemilik nama yang cukup indah Aisyah Hijanah Azhari, 24, menyediakan pelbagai juadah. Antara yang menjadi pilihan mereka sekeluarga ialah rendang ayam, nasi lobak, lemang, kuah kacang dan nasi impit.

“Disebabkan saya dan ramai ahli keluarga termasuk saudara-mara menetap di sekitar Kuala Lumpur, jadi memasak beramai-ramai sudah menjadi aktiviti wajib kami setiap kali perayaan.

“Selepas itu, satu acara yang menjadi kemestian adalah merakamkan gambar kenangan. Memang gamatlah suasana, masing-masing tersenyum ceria,“ ceritanya.

Di antara Aisyah dan suaminya, Mohd Hazalif Mohd Hazani memang saling memahami. Mereka berdua sepakat tatkala menyentuh tentang giliran balik kampung pada tahun ini.
Kata influencer terkenal itu, pada sebelah pagi, keluarga kecilnya akan beraya di Kuala Lumpur. Kemudian menjelang petang, mereka akan bertolak ke kampung suaminya di Pulau Pinang.

Tidak peduli kecaman

Sudah resam seorang influencer, kamera sentiasa berada di sisinya ke mana jua destinasi yang dituju.

Mengiakan hal itu, sambil tersenyum Aisyah berkata, beliau seorang yang cenderung berkongsi detik-detik yang menggembirakan di laman sosialnya sama ada di laman Facebook, TikTok dan Instagram.

Lebaran juga antara momen yang tidak akan dibiarkan tanpa konten. Justeru, dari hari pertama hingga ketujuh Syawal, pelbagai pengisian menghiasai ‘dinding‘ media sosialnya.

Sesuai dengan posisi sebagai pendakwah, Ramadan pada bulan lalu diisi dengan kandungan berunsur Islamik. Ya, rasanya tidak ketinggalan untuk pembaca SinarPlus membelek kembali Instagramnya @aisyahhijanah dengan 1.1 juta pengikut yang sarat dengan informasi berguna.

Sebaik sahaja kami bercerita tentang dakwah, penulis mengambil kesempatan memperluaskan skop pertanyaan.

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia yang memilih bidang psikologi itu seakan sudah dapat menelah soalan penulis.

Tanpa perlu berkias, Aisyah mengakui, kadangkala beliau tersinggung dengan komen dan kritikan yang diberikan oleh warga maya terhadap beberapa video yang dimuat naik di laman sosial atau ketika bersembang secara langsung di TikTok.

Kebanyakan katanya, berkaitan dengan soal jawab berkaitan agama. Warga maya pernah mempertikaikan kenapa dirinya bertindak mengoles solekan pada wajahnya, sedangkan beliau berbuat demikian atas dasar kerja atau menghadiri acara rasmi.

Paling menjadi viral adalah sekitar tahun 2018 apabila wanita itu disifatkan lebih mementingkan video tutorial hijab daripada suaminya yang ingin bersolat.
Reaksi berlebihan netizen kemudian telah mendorong Mohd Hazalif atau Alif tampil menjelaskan situasi sebenar.

“Macam-macam, tetapi itu bukan tembok penghalang untuk saya terus memberi input yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Sebenarnya, memang satu cabaran untuk memuaskan hati semua pihak. Biasanya, saya akan cuba padam komen yang berbaur negatif supaya tidak mendorong orang lain untuk turut memberi kecaman kerana ia juga tak bagus untuk kesihatan mental.

“Kalau dulu memang saya akan pendam kalau terasa, tetapi kini saya lebih positif dan cuba tegas supaya orang hormat pada kita,“ katanya yang semakin matang berdepan dengan warganet yang selalu memburu kesalahan.

Surat untuk ayah

Noktahkan sahaja isu berkenaan. Satu perkara menarik yang ingin dikongsi SinarPlus tentangnya adalah mengenai portfolio beliau yang pelbagai.

Bukan sahaja bergelar seorang isteri, ibu, pendakwah dan penaung syarikat yang dibinanya, wanita muda itu juga berbakat dalam bidang penulisan.

Tidak lekang dengan senyuman, wanita hebat tersebut berkata, buku pertama yang dihasilkan bergandingan dengan suami tercinta bertajuk Biarku Lindung Mendungmu.

“Masih utuh dalam ingatan saya kenangan bersama arwah ayah. Ketika saya berusia tujuh tahun, saya suka menulis surat kepadanya. Disebabkan saya anak sulung, jadi sukar untuk saya luahkan perasaan yang terbuku kepada orang lain.

“Selepas mendirikan rumah tangga, saya tunjuk surat-surat lama itu kepada suami. Ketika itulah suami mencadangkan agar saya menulis novel berkenaan kehidupan yang saya harungi.

“Memang tak pernah terjangka rezeki daripada ALLAH SWT ini. Hampir 80,000 naskhah novel pertama kami terjual. Setiap kali kami tambah bilangan novel kami di pesta buku tidak lama dulu, hampir 2,500 buah buku habis (terjual),“ imbaunya.

Beritahu Aisyah yang pernah bercita-cita menjadi doktor, menulis waima sebuah karya, bukanlah sesuatu yang mudah. Paling signifikan, jalan penceritaan yang ingin dikisahkan mestilah dekat dengan hati pembaca.

Iklan

Ditanya bagaimana cara memperoleh ilham untuk menghasilkan karya bermutu, kongsi Aisyah, selalunya beliau akan berpindah tempat atau pergi ke hotel untuk mendapatkan suasana yang berlainan.

Serentak dengan itu, dirinya turut mendengar lagu-lagu syahdu yang didendangkan penyanyi dari Indonesia untuk mendapatkan bait-bait kata yang puitis. Formula itu boleh membuatkan ibu muda tersebut lebih ekspresif ketika menulis.

“Kalau menulis buku, biasanya saya hanya perlukan dua bulan untuk menulis, kemudian hanya tunggu untuk dicetak sahaja,“ katanya.

Pertaruhan terkini pemilik Hijanah Books ialah sebuah buku bertajuk You Are Amazing Than You Think yang buat julung kali ditulis dalam bahasa Inggeris.

You Are Amazing Than You Think mengisahkan bagaimana susun atur hidupnya dari segi pengurusan masa dalam mengurus bisnes dan keluarga.

“Sebenarnya, itu salah satu pertanyaan yang popular dalam kalangan pengikut saya,“ katanya.

Menjawab kemusykilan

Aisyah tidak hanya memikirkan dirinya sahaja, tetapi beliau seorang yang peka dengan nasib insan yang kurang bernasib baik.

Maka, wujudlah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Muslimah Care yang diasaskan untuk membantu golongan yang ditimpa kesusahan terutama kaum wanita.

“Satu perkara yang saya pegang dalam hidup adalah selagi kudrat saya masih kuat, saya akan memberi manfaat kepada komuniti dan masyarakat. Itu iltizam saya,“ katanya penuh semangat.

Iklan

Ungkap beliau, pelancaran Muslimah Care sebenarnya telah dipercepatkan susulan bencana banjir yang berlaku di negara ini baru-baru ini.

Selepas itu, banyak perancangan yang ingin dilakukan wanita penuh wawasan itu.

“Jika diizinkan-NYA, saya bercadang untuk menganjurkan kelas yang menjelaskan tentang darah haid, darah istihadah dan cara mandi wajib khas untuk wanita terutama remaja yang berusia antara 13 hingga 18 tahun,“ ujarnya.

Pendekatan yang ingin diimplemenkan, semuanya bersebab. Imbau Aisyah, ketika beliau berada di tingkatan tiga, soalan berkaitan dengan teknik mandi wajib kepada guru kelas.

Pun demikian, soalan berkenaan dipersoalkan kerana gurunya menganggap pertanyaan itu tidak logik untuk diketengahkan secara terbuka.

Pengalaman itulah yang mendorong Aisyah bersemangat untuk mengadakan kelas agar sesiapa sahaja mempunyai platform khusus untuk bertanya bab penting berkenaan tanpa perlu rasa segan-silu.

“Memandangkan kes Covid-19 masih belum reda lagi, saya merancang agar diadakan secara dalam talian sahaja. Ya, saya memang tidak suka membiarkan masa berlalu tanpa pengisian, ada sahaja ingin saya lakukan. Doakan apa yang saya aturkan berjalan dengan baik,“ kata pengasas jenama Hijanah Care dan Hijanah yang mengeluarkan produk seperti abaya dan tudung.

Baca juga Beli semua keperluan raya di bawah satu bumbung. Bazaar Ramadhan Rasa Kasih Aidilfitri sediakan semuanya

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI