SUSUK tubuh wanita bergelar isteri dan ibu bernama Bella Astilah ini cukup kental jiwanya itu. Tabah dan kuat semangat biarpun seantero Malaysia memperkata tentang kisah rumah tangganya.

Seolah-olah menonton drama, hakikatnya itu adalah jalan cerita kisah hidupnya yang tidak seindah diimpikan.

Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya gerimis muncul di tengah hari. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Namun, siapa yang mengenali, pasti jatuh kagum melihat kekuatan yang ada dalam dirinya.

Tubuh yang kecil itu cukup kental orangnya. Masakan tidaknya, biarpun sejuta dugaan terpaksa dilalui, namun senyuman tak pernah lekang di bibir.

bella astilahNamun hanya TUHAN yang tahu apa yang berada dalam kolam hatinya. Betapa sulitnya menjadi sekuat Dayang Ara Nabellah Awang Astillah. Apatah lagi sejak kemelut di muara kasih melanda ibu kepada sepasang cahaya mata itu.

Ironinya, empunya diri terus melangkah tanpa menoleh ke belakang. Keberadaan SinarPlus dalam satu sesi berbuka puasa bersama tuan punya badan baru-baru ini, kami mencuba nasib mengajukan permintaan menjadikan empunya diri yang mesra disapa Bella sebagai penghias muka hadapan.

Sedikit mukadimah awal tentang wanita besi tersebut. Bella dan Aliff Aziz berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3. Pasangan tersebut sebelum itu pernah bercerai pada 16 Mei 2019 namun kembali rujuk ketika dalam tempoh edah.

Terbaharu, Bella yang berasal dari Sabah, telah permohonan cerai daripada suaminya itu kerana tiada persefahaman dan ‘mawaddah’ (cinta dan kasih sayang), mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Namun, Aliff enggan menceraikan isterinya itu atas alasan demi anak-anak.

bella 3

Kuat demi anak

Letak ke tepi seketika akan kisah rumah tangga beliau yang belum menemui titik noktah, tuan punya badan mengakui hanya mahu fokus kepada kerjaya dan anak-anaknya.

“Sejujurnya, tidak pernah terlintas di fikiran akan sampai ke tahap ini. Sememangnya saya sudah cukup penat dengan apa yang berlaku. Namun, saya reda dan perlu kuat. Saya mahu anak-anak ada famili yang lengkap, sebab itu saya sanggup berkorban,” ujar wanita bertubuh kecil molek itu lagi.

Sempat penulis ajukan pertanyaan dari mana beliau memperoleh kekuatan yang cukup besar dalam menghadapi dugaan hebat tersebut.

bellaIni jawapan empunya diri: “Anak-anak adalah sumber kekuatan yang membuatkan saya mampu melangkah ke hadapan. Terima kasih juga kepada ibu bapa dan adik saya serta orang sekeliling yang tidak putus-putus memberi sokongan dan menitipkan doa buat kami.

“Melihat wajah mereka ( anak-anak) membuatkan jiwa saya kembali tenang. Walaupun masih kecil, namun mereka seolah-olah memahami terutama sekali anak sulung saya, Ayden. Mungkin kerana itu, dia banyak mengikut perangai saya,” ungkap Bella yang melahirkan rasa syukur dan terharu kerana dikurniakan ahli keluarga yang sangat memahami dan sentiasa membantunya menguruskan anak-anak.

Memandangkan gelodak jiwa masih belum reda sepenuhnya, justeru lebaran kali ini tidak seindah dahulu.

Justeru, tidak banyak yang sempat beliau kongsikan tentang sambutan Syawal tahun ini. Manakan tidak, hentaman ‘ribut’ yang melanda diri dan keluarga membuatkan empunya diri tidak betah untuk memikirkan keseronokan berhari raya seperti insan yang lain.

Justeru, awal-awal lagi Bella memohon pengertian agar diberi ruang dalam berkongsi cerita.

Baca ni ‘Dia cari nak manja-manja, anak mummy yang kuat.’ Peluk erat Bella Astillah, aksi Mas Idayu undang sebak

bella 1

Sedar akan situasi dirinya yang masih dalam proses perbicaraan, maka penulis akur dan menghormati permintaan tersebut.

Akui pelantun lagu Diari Ramadhan itu, fokus hanya untuk anak-anak sahaja.

“Tahun ini kami beraya di Kuala Lumpur sepertimana tahun lepas. Jadi, boleh dikatakan sambutan raya kali ini biasa sahaja. Lagipun saya sibuk dengan bisnes dan ada buka reruai untuk jualan biskut raya.

“Istimewanya, biskut yang saya keluarkan bukannya di kilang sebaliknya semua dibuat sendiri daripada adunan hinggalah kepada proses pembungkusan. Penat memang penat, namun saya bersyukur kerana tak menang tangan dengan tempahan daripada orang ramai, ujarnya.

Ditanya tentang sambutan rumah terbuka, Bella mengakui ada berbuat demikian. “Soal rumah terbuka, kalau diikutkan memang ada buat sebelum ini. Biasanya menu yang menjadi pilihan adalah ayam masak merah, ketupat, rendang dan sebagainya,” ungkap beliau yang bakal berangkat ke China bagi memenuhi jemputan sebagai jurucakap sebuah jenama kereta selain turut bergelar duta produk kecantikan jenama Kitsui.

Baca juga ‘Kakak sayang adik dunia akhirat.’ Bella Astillah genap 30 tahun, ucapan Adira menyentuh hati

bella astilah 1

Gemar bersama keluarga

Melayangkan persoalan mengenai ‘rezeki terpijak’ yang beliau terima tidak putus-putus, wanita berumur 30 tahun itu hanya mampu menitipkan rasa terharu dan ucapan terima kasih kepada mereka yang banyak membantunya.

“ALLAH sebaik-baik perancang dan kepada DIA saya meletakkan sepenuh kepercayaan. Doakan yang baik-baik buat diri saya dan anak-anak,” ujar pelakon drama Aku Tanpa Cintamu itu ringkas namun penuh bermakna.

Sesi temu bual tersebut kemudiannya beralih kepada adiknya, Didi Astilah yang setia menemani Bella.

Pemilik nama sebenar, Dayang Nazilah Awang Astillah ibarat ‘bayang-bayang’ buat kakak kesayangannya itu. Jujur wanita berkulit putih itu mengakui sanggup melupakan seketika keseronokan diri demi memberi tumpuan kepada insan tersayangnya itu.

Iklan

“Saya sudah terbiasa berada di sisi kak Bella selama ini. Tidak dinafikan, macam-macam dugaan dia hadapi, namun tahun ini sangat besar buat dirinya. Sebab itu saya sanggup abaikan segala-galanya untuk beri tumpuan dan berada di sisi setiap kali dia perlukan kami.

“Saya tak mahu biarkan dirinya duduk sendirian dan kesunyian walaupun hakikatnya kami sekeluarga memang tinggal bersama termasuk ibu dan ayah,” ulas Didi yang juga seorang pelakon dan penyanyi.

Baca lagi ‘Ini jalan terbaik, cinta tak seharusnya memiliki.’ Bella Astillah nekad berpisah dengan Aliff Aziz

bella astilah 2

Ditebak akan sisi peribadi kakak kesayangannya itu, akui wanita berumur 27 tahun itu, Bella seorang yang seorang yang suka berkumpul ramai-ramai selain membawa keluarga bercuti.

“Baru-baru ini kak Bella bawa anak-anak dan keluarga bercuti dan jalan-jalan di Pulau Pinang. Malah, ada ketikanya walaupun muka penat baru pulang dari kerja, namun dia tak sampai hati nak tolak permintaan anak-anak yang mengajak keluar. Mungkin kerana mereka bosan duduk di rumah sahaja.

“Tanpa hiraukan penampilan dirinya dengan mekap tebal sebab baru pulang shooting, disarungkan baju t-shirt besar dan selipar biasa sambil meminta saya menemaninya untuk bawa anak-anak keluar. Walaupun setakat keluar bermain-main, sudah mampu mengembalikan kegembiraan anak-anaknya,” dedah Didi lagi.

Jika difikirkan kembali, bukan calang-calang wanita yang mampu mengharungi ujian seperti mana diri Bella lalui. Justeru, sebagai adik, beliau hanya mampu menitipkan doa semoga kakaknya itu terus kuat.

“Setiap dugaan yang dia dapat mesti boleh diharunginya. Saya tahu, dia (Bella) mampu melakukannya. Insya-ALLAH dia seorang wanita yang kuat dan tabah,”ungkapnya.

Enggan wanita itu larut dalam kesedihan, penulis ajukan pula akan soal sambutan hari raya.

Baca juga Video ibu Bella Astillah runtun hati warga maya. ‘Jika lelaki menyakitimu, pulanglah ke pangkuan keluarga’

Iklan

bella astilah 3

Kata Didi, rutin sebelum ini mereka akan pulang ke Kota Kinabalu memandangkan tidak ramai saudara-mara di Kuala Lumpur. Beliau senada dengan Bella yang mengakui persiapan raya kali ini ini serba sederhana.

“Sebelum ini setiap kali beraya kami akan beli baju raya yang sama. Selain itu, mama akan memasak dan air tangannya memang selalu ditagih.

Contohnya, kalau raya pertama kawan-kawan kak Bella yang datang, raya kedua kawan saya pula.

“Memang mama rajin memasak dan itu satu kemestian saban tahun. Ada satu menu masakan yang wajib disediakan oleh mama iaitu udang masak lemak diraja. Selain itu, ada juga menu lain seperti nasi impit, rendang sebagainya.

“Manakala raya kedua pula, mama akan sediakan masakan ala barat. Sebut sahaja apa jua menu, memang mama pandai masak,” ungkap Didi lagi sebelum menutup perbualan bersama penulis.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat! 

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!