ORANGNYA berbudi bahasa, ramah, kacak dan berbakat. Empat kriteria itu mewakili diri Daniel Fong Weng Chuan,  seorang selebriti yang semakin mendapat tempat dalam industri seni tanah air.

Berusia 30 tahun, Daniel yang juga seorang penyanyi tampil ke Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor untuk sesi penggambaran Cover SinarPlus sempena sambutan Hari Natal baru-baru ini.

Pelantun lagu Sing Me Home itu hadir berseorangan. Dia kelihatan tenang dan seperti sudah bersedia untuk menjawab apa juga soalan yang bakal dikemukakan.

Seperti kata jurufoto, Asril Aswandi Shukor, dia mudah membidik gambar Daniel setiap ketika.

Daniel Fong

Baca ni As’ad Motawh kongsi cerita jatuh bangun kerjaya. Hasil usaha dan kerja keras, kehidupannya berubah

“Tak perlu susah-susah, Daniel dah tahu apa yang perlu dilakukan, pandai bergaya dan tak perlu diarah berlebihan.

“Hasil gambarnya memang terbaik,“ demikian kata Asril Aswandi.

Kami meneruskan perbualan dengan berbicara tentang sambutan Krismas, graduan Universiti Monash itu berkata, meskipun keluarganya merupakan penganut agama Buddha, itu bukan penghalang bagi mereka untuk meraikan perayaan yang cukup dinanti-nantikan.

“Ayah saya seorang ahli perniagaan yang cukup sibuk. Hanya Tahun Baharu Cina dan Krismas sahaja masa yang ada untuk nya meluangkan masa bersama keluarga. Sebab itu, kami memilih untuk bercuti pada saat penting ini. Itulah rutin yang kami sekeluarga praktikkan sejak bertahun-tahun lamanya.

“Krismas merupakan hari kami bergembira. Pada waktu pagi, semua akan bersembahyang di kuil dahulu. Kemudian, makan makanan bufet yang terdiri daripada pelbagai sajian yang enak. Aktiviti makan-makan amat menyeronokkan buat kami satu famili,“ ujarnya yang memilih Pulau Pinang sebagai lokasi pilihan untuk berlibur.

daniel fong 1

Tutur Daniel, pada perayaan Krismas adalah masa terbaik membina hubungan erat dengan ayah tersayang.

Bukan bapanya sahaja yang mempunyai banyak urusan perlu diselesaikan, malah Daniel juga tidak kurang hebatnya. Jadi, masa itu amat bernilai bagi mereka.

“Jika hari biasa, saya sibuk dengan penggambaran. Sejak dahulu dan walau sudah bergelar artis, saya akan ambil masa dua hingga tiga hari untuk bercuti.

“Setakat ini memang tidak pernah sambut sendirian dan sentiasa bersama famili. Seperkara, saya merupakan anak tunggal dalam keluarga, saya lebih rapat dengan ibu. Masa Krismaslah, kami tiga beranak kuatkan ikatan kekeluargaan,“ ungkapnya lagi.

Baca juga ‘Saya bukan playboy, cuma tak cukup matang untuk jadi suami kepada dua isteri’. Iman Zulkarnain mahu lebih berhati-hati

Rezeki

Dalam industri seni Melayu, nama Daniel sebenarnya baru sahaja dikenali ramai.
Namun, apabila ditebak, rupa-rupanya empunya diri sudah bergelar pelakon sejak berusia 18 tahun lagi.

Pada awalnya dia mencuba nasib menyertai uji bakat dalam bidang iklan komersial tetapi nasib tidak menyebelahinya.

“Tidak terlalu kecewa kerana selepas itu saya buat kerja sampingan sebagai model dan pada masa sama saya ambil Advanced Level.

“Kemudian saya dapat tawaran berlakon sitcom Cina. Namun, perjalanan dalam bidang seni terpaksa ditangguhkan seketika kerana saya terbang ke Australia untuk menyambung pengajian dalam bidang ekonomi,“ katanya.

daniel fong 2

Usai meraih segulung ijazah, Daniel diterima bekerja di sebuah syarikat korporat, di samping sekali-sekala dipelawa membintangi iklan komersial.

“Sejak itu saya berasakan bibit cinta dalam dunia lakonan semakin menebal. Saya terharu kerana pilihan dalam bidang seni tidak dibantah oleh ibu dan ayah. Mungkin disebabkan saya sudah memenuhi keinginan mereka untuk merangkul ijazah dalam bidang ekonomi,“ ujarnya berkongsi cerita.

Kisah hidup Daniel memang berwarna-warni. Sambil tersenyum, menurut Daniel, tanpa disangka dia ditawarkan memasuki pertandingan Super Idol 4 yang memerlukan dirinya terbang ke China.

Melihat ia satu peluang yang menarik, personaliti tersebut mengucapkan selamat tinggal kepada dunia korporat.

Keputusan itu berbaloi apabila dia berjaya mendapat kontrak selama 10 tahun sebagai artis, namun dengan syarat perlu menetap di Shanghai.

“Memandangkan umur saya ketika itu mencecah 25 tahun, saya fikir saya agak tua untuk itu semua. Lagipun, saya anak tunggal, takkan nak tinggalkan keluarga.

“Ketika itu juga wabak Covid-19 melanda dunia sehingga saya hampir meninggalkan dunia seni disebabkan banyak agenda yang direncana terpaksa ditangguhkan,“ kongsinya.

Saat berasakan diri berada di titik terendah, tidak semena-mena Daniel menerima satu mesej melalui Instagram yang telah merombak takdirnya.

Dia menerima tawaran membintangi drama bersiri Derhaka Cinta Jebat untuk siaran RTM pada 2020.

Bermula detik itu, kerjaya lakonan Daniel semakin bercambah apabila banyak rumah produksi melamarnya sebagai pelakon untuk siaran stesen TV seperti Awesome TV, SukeTV dan Astro.

Baca lagi ‘Lelaki yang kuat & hebat itu seorang penyabar.’ Teruja bergelar bapa, Ikmal Amry mahu miliki anak ramai

daniel fong 3

Karakter antagonis

Sebagai seorang berbangsa Tionghua, Daniel tidak terlepas daripada isu kurang fasih berbahasa Melayu.

Hal tersebut diakui oleh tuan punya badan. Pun demikian, disebabkan dikelilingi oleh rakan-rakan berbangsa Melayu termasuk pengurusnya, kelemahan itu semakin hari dapat ditangani dengan baik.

“Memang agak bergelut pada awal penglibatan saya. Ada yang menyindir kata ‘kenapa terima tawaran berlakon (drama Melayu) kalau tak fasih?‘

“Namun, saya abaikan kata-kata itu dan terus berusaha. Biasalah, dah menjadi lumrah, bukan semua orang boleh terima diri kita seadanya. Saya sentiasa anggap semua konotasi negatif yang dilemparkan sebagai pembakar semangat,“ katanya.

Iklan

Disebabkan nilai positif yang diterapkan itulah karier Daniel semakin rancak. Daripada watak sampingan, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berjaya menggalas watak utama.

Jika diperhalusi, kebanyakan watak yang dibawakannya lebih kepada genre cinta, romantis dan kasih sayang.

Menyedari hakikat tersebut, selebriti itu memberitahu SinarPlus, dia mahu menjayakan karakter berbeza, sekali gus mencabar kebolehannya menggalas watak antagonis pula.

“Kata orang rezeki jangan ditolak, setiap kali menerima tawaran waima watak pembantu pun, saya terima dan bersyukur. Ia sekurang-kurangnya dapat membantu memperbaiki mutu lakonan dan bahasa Melayu saya.

“Namun, besar harapan saya jika dapat watak psiko, lasak iaitu lebih kepada seni mempertahankan diri,“ katanya yang turut berharap kembali aktif dalam dunia nyanyian suatu hari nanti.

daniel fong 5

Baca lagi ‘Nak Ecah lalui momen sebagai kanak-kanak lain.’ Zain Saidin tak galakkan Aaisyah bekerja, tidak mahu membesar terlalu cepat

Darah kacukan

Sekali pandang, rupa paras Daniel saling tidak tumpah seperti pelakon dari Korea. Dia mengangguk tanda setuju sambil menguntum senyuman.

Justeru, ditanya tentang persepsi benarkah wajah tampan dan cantik adalah sandaran utama seseorang boleh berjaya dalam dunia seni?

Tidak mengambil banyak masa untuk menjawabnya, Daniel berkata: “Bagi saya, rupa paras adalah bonus untuk bertapak dalam bidang ini. Macam saya katakan tadi, ada yang sangka saya artis Korea dan ada juga kata saya pelakon Thailand. Namun, saya anggap itu kelebihan untuk memudahkan saya bertapak dalam dunia lakonan.“

Menurut Daniel lagi, dia adalah anak kacukan Mongolia di sebelah ibu dan Cina (bapa).

“Sebenarnya, saya tak tahu tentang itu (darah kacukan) kerana ibu dan ayah tidak pernah berbicara hal tersebut. Semuanya terdedah ketika datuk sebelah ibu saya berkongsi info tersebut. Rentetan itu, saya turut membuat ujian darah untuk memastikan kesahihannya,“ ujarnya.

Iklan

Baca juga ‘Tak perlu cipta helah raih perhatian.’ Jadi diri sendiri & anggap kerja ibadah, resipi Alif Satar sifar kontroversi

Bintang drama Hijrah Jannah itu turut diajak berbual tentang fesyen. Kata tuan punya badan, dia lebih senang memilih konsep busana oversize persis gaya selebriti Korea.

daniel fong 4

“Seluar jenis baggy ditambah dengan beberapa aksesori memang menjadi gaya saya kini,“ katanya.

Memiliki kulit sebening kaca, Daniel mengakui, dia ialah seorang lelaki yang sangat mementingkan penjagaan wajah dan penampilan.

“Saya suka mencuba produk yang sesuai dengan kulit wajah saya. Pada masa sama, saya juga rajin ke gimnasium, spa atau salun. Namun, paling penting bagi saya adalah mengamalkan pemakanan sihat,“ kongsinya yang sebelum ini pernah mendapat tawaran duta produk sukan di Shanghai.

Menutup perbualan, pemuda berketinggian 182 sentimeter itu turut dilontarkan persoalan mengenai perbandingan segelintir pihak akan dirinya dengan pelakon Sean Lee dan Alvin Chong.

Sambil memandang tepat ke satu sudut, Daniel berkata, dia menerima kenyataan tersebut dengan hati terbuka tanpa ada rasa sentap, apatah lagi kecewa.

“Sejak awal memasuki dunia seni, saya kagum melihat kejayaan mereka (Alvin dan Sean) yang berjaya mencipta nama dalam industri seni Melayu. Sedikit sebanyak ia menjadi inspirasi untuk saya mengikut jejak langkah kedua-duanya.

“Soal perbandingan itu saya lihat semakin menghilang kerana peminat mulai sedar dan nampak bakat serta kelebihan yang ada dalam diri saya. Pada masa sama, saya juga terharu dianggap sebagai pelapis kepada kawan-kawan saya,“ ujarnya

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang