MEMULAKAN kerja sebagai gadis di awan biru, Anim Ezati Rizki tidak menyangka tuah lebih menyebelahinya sebagai seorang pengacara dan selebriti televisyen.

Memasuki tahun kelapan sebagai hos, anak kelahiran Johor Bahru itu melahirkan rasa syukur kerana tindakan meletak jawatan sebagai pramugari adalah keputusan yang tepat.

anim

Biarpun memiliki kelulusan dalam Pengurusan Sumber Manusia (HR), namun beliau awal-awal lagi mengakui tidak betah untuk bekerja dalam pejabat.

“Saya jenis yang suka bekerja di luar (lapangan) dan bukan jenis yang cukup masa balik rumah. Waktu menyambung pengajian dahulu saya turut berniaga. Saya bukan jenis yang hanya fokus satu bidang semata-mata,” ujarnya yang mesra disapa Anim

Pun demikian kata beliau, bidang HR bukanlah semudah yang disangkakan kerana memerlukan dirinya berurusan dengan kelompok individu.

“Setahun saya mampu bertahan, cukup mencabar sebenarnya. Apabila mendapat peluang bekerja dalam syarikat penerbangan, saya terus terima. Empat tahun bertugas di awan biru, seorang rakan cadangkan supaya saya menyertai uji bakat pencarian hos.

“Waktu itu saya sekadar cuba nasib dan tidak sangka ada rezeki apabila terpilih,” ujar Anim yang nekad melakukan dua kerja pada satu masa dek kerana minat.

Baca ni ‘Terima kasih kahwin dengan saya, tahniah jadi pemenang.’ Farah Lee dedah detik awal kenal suami

anim

Kalau sudah rezeki takkan ke mana. Tugasan pertama yang dikendalikannya adalah sebagai hos Pitch Side Football sebelum akhirnya diberi peluang menjadi pengacara program Malaysia Hari Ini (MHI).

Sedar bidang pengacaraan memerlukan komitmen tinggi, wanita berusia 32 tahun itu mengambil keputusan berhenti sebagai pramugari pada April 2017.

Diusik dek persoalan adakah kerana kerjaya sebagai hos yang dilimpahi lampu glamor antara sebab beliau mengambil keputusan tersebut, dengan tegas Anim menolak tanggapan itu.

“Keputusan untuk berada dalam dunia pengacaraan bukan kerana mahu mengejar glamor, sebaliknya saya lebih kepada minat. Sebelum ini, saya sudah terdedah dengan dunia peragaan, ratu cantik, bahkan pernah dilantik sebagai media kru ketika bergelar pramugari.

“Justeru, glamor bukan sandaran utama saya dalam bidang ini. Cuma untuk bertapak kukuh dan kekal relevan dalam bidang ini memang memerlukan elemen tersebut (glamor),” ungkap beliau.

Tambah beliau lagi, hos terbaik adalah mereka yang mampu meraih perhatian penonton. Mahu tak mahu, seseorang pengacara itu perlu buat sesuatu bagi memastikan anda berhak berada dalam industri tersebut.

“Namun, tidaklah sampai menggunakan gimik yang tidak sepatutnya. Sejujurnya saya sendiri enggan tunduk dengan kuasa gimik yang keterlaluan. Saya tidak mahu memperbodohkan diri.

“Sebaliknya saya berpegang kepada prinsip kalau kita beri yang terbaik, orang akan nampak dan daripada situ bakat akan dihargai. Itu sudah memadai. Jika tidak, saya kena berusaha lebih lagi,” ujar Anim yang mengidolakan Oprah Winfrey.

Baca lagi‘Meriahnya, hari jadi macam hari raya. Suka tengok.’ Surprise sempena hari lahir, reaksi Ustaz Azhar Idrus bikin ramai terhibur!

Berbaik dengan bekas suami

Tutup tirai cerita kerjayanya, butir bicara kami mula menerjah ke ruang privasi hidupnya. Bagi yang mengenali dirinya pasti tahu status sebagai ibu tunggal yang disandang beliau.

Rumah tangga yang dibina bersama Mohd Fadli Sahudin pada 28 Disember 2019 hanya mampu bertahan selama dua tahun.

“Ya, saya ibu tunggal kepada seorang anak perempuan. Saya mempunyai seorang anak perempuan, Yara Alanna Khalsom,” luah Anim.

Kongsinya lagi, untuk memahamkan anaknya berkenaan hal kerjaya beliau yang sentiasa sibuk bukanlah sesuatu yang mudah. Apalah yang boleh difahami si kecil yang baru berusia empat tahun.

“Mujurlah bekas suami banyak membantu menjaga. Walaupun kami gagal sebagai suami isteri, namun beliau seorang ayah yang bertanggungjawab dan tidak culas dengan tugasnya itu.

“Selepas bercerai, hubungan kami tetap baik. Saya akui, tempoh penceraian untuk tahun pertama memang kritikal kerana sukar untuk kami mendapat kata sepakat. Masing-masing ada cara tersendiri untuk membesarkan anak,” ujar Anim yang memberitahu mendapat hak penjagaan sepenuhnya ke atas anaknya.

Baca juga‘Sama-sama sembuh daripada trauma, berpimpin tangan dengan papa.’ Perbualan Farah Lee & Maream bikin sebak!

anim

Lantaran itu, mereka mencari jalan tengah demi melihat zuriat mereka tidak terkesan dengan penceraian tersebut.

“Jangan ingat anak tidak depresi atau stres dengan apa yang berlaku . Justeru, salah seorang kena beralah. Kalau kita nak harapkan pihak sana lebih kurang, maka kita sendiri kena ‘buka jalan’ dan tunjukkan cara.

“Walau bagaimana sakit hati sekalipun, namun cuba tutup mata dan ingat tiada seorang bapa yang mahu sakitkan anak sendiri. Mereka pun nak tengok darah daging sendiri membesar bahagia dan berjaya,” luah pengacara program berbentuk kesihatan ‘Helo Doktor’ itu lagi.

Ungkap bekas pemenang Anugerah Bintang Olay 2017 itu lagi, sedar ia bukan sesuatu yang mudah, pada masa sama, beliau berpegang pada prinsip kalau mahu bahagiakan anak, ALLAH akan bantu.

anim

Lebih penting lagi, jangan sesekali cerita benda buruk tentang ayahnya, walau sakit hati macam mana sekalipun.

“Itu bapa dia, jangan sampai zuriat sendiri hilang rasa hormat, kasih dan sayang. Kita nak dia besar ada figura seorang ayah. Yang tak jadi dan tidak berjaya pertahankan rumah tangga itu kita, tapi jangan kerana hal tersebut, buat kita gagal menjadi ibu dan bapa kepada anak sendiri.

“Itulah yang saya pegang dan fokus pada pembesaran anak. Kelak, dia akan menilai siapa yang sebenarnya menyayanginya dan memilih salah seorang baik ibu atau ayah. Kerja kita buat yang terbaik dan jangan tanamkan benda-benda negatif dalam diri darah daging sendiri,” tegas Anim.

Baca juga Anak-anak rai resepsi Nad Zainal & Ungku Ismail jadi tumpuan ramai. ‘Majlis klasik, cantik & eksklusif. Sepadan.’

Keramahan pemilik nama sebenar Anim Ezati Rizki Md Khalid itu membuatkan perbualan kami kian rancak.

Kesihatan mental

Kepada tuan punya badan, penulis ajukan tentang penjagaan kecantikan dirinya.

Iklan

“Mungkin ada yang tahu, sebelum ini saya pernah menjalani rawatan bariatrik disebabkan masalah kesihatan yang dialami waktu itu. Dua tahun selepas kelahiran Khalsom, berat badan saya tidak mahu turun-turun. Saya juga didiagnos hati berlemak selain obesiti dan gerd yang teruk.

“Jadi, pakar syorkan rawatan bariatrik. Alhamdulillah sehingga kini tiada sebarang implikasi terhadap kesihatan diri saya,” ujarnya.

Ditanya kenapa memilih untuk berterus-terang mengenai rawatan tersebut, ini jawapan empunya diri:

anim

“Saya tak mahu orang anggap saya buat rawatan itu sebab nak kurus. Memang ada yang buat (bariatrik) namun tidak semua berjaya. Mendedahkan diri mula mengenali dunia kecantikan seawal usia 17 tahun apabila diri mula terjebak dengan barangan mekap.

“Pada saya, soal kecantikan ini cukup subjektif. Satu benda kita kena ingat, pastikan pilihan yang kita buat itu menggembirakan diri sendiri.

“Jaga dalaman terutama hati kita. Elak asyik tidak berpuas hati tentang pelbagai perkara kerana itu akan mengganggu mood anda, lebih-lebih lagi kaum wanita,” nasihatnya.

Baca lagi Pembedahan bariatrik, anak sulung viral, jus detoks buatan sendiri. Ziana Zain bicarakan hal itu dalam temu bual eksklusif SinarPlus

Pada masa sama, beliau menitipkan nasihat dalam menjaga kesihatan mental, lebih-lebih lagi pada zaman media sosial seperti sekarang.

“Tidak dinafikan, orang zaman sekarang berlumba-lumba nak tunjuk kecantikan, kemewahan dan lain-lain buat kita tercabar.

“Sebaiknya ukur baju di badan sendiri, jangan biarkan diri stres dan terganggu mental dengan hal sebegini kerana pada akhirnya kita memerlukan rawatan tanpa disedari.

“Hari ini anda lihat orang itu cantik atau bagus tapi esoknya akan muncul yang lebih baik lagi. Benda itu takkan habis atau berhenti di situ sahaja. “Malah yang terganggu adalah mental sendiri. Itu yang kita harus bantu terlebih dahulu dan hentikan sebelum terlambat,” nasihatnya.

Malah kata Anim, perkara tersebut berlaku di depan matanya yang membabitkan rakan-rakan terdekat.

Ujarnya lagi, ketaksuban terhadap benda-benda sedemikian membuatkan mereka tidak sedar diri mengalami gangguan mental.

Iklan

anim

 

Diminta berkongsi tip kecantikan, beliau yang mula mengenakan hijab sejak Disember 2018 rupa-rupanya penggemar jamu.

“Selain mengambil jamu, paling penting kena amalkan air putih secukupnya. Pada masa sama, jangan ada cita-cita untuk hentikan penuaan, cuma mungkin boleh lambatkan.

“Ini kerana benda itu (penuaan) akan jadi juga. Gembirakan diri anda dalam meniti usia tua. Terima, relaks dan pada saya itu merupakan salah satu momen istimewa yang perlu dihargai semua,” ungkap beliau sebelum menutup perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!