Miliki banyak bakat terpendam, Anna Aljuffrey belum bersedia jadi pelakon
"NAMPAK gaya seperti pembaca berita."
Demikian seloroh penyampai radio yang namanya kini sedang meningkat naik, Anna Aljuffrey tentang busana yang disarungnya.
Pernyataan ringkas beliau itu lantas mencetuskan nuansa gelak tawa tatkala sesi fotografi mahu dimulakan di Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini
Tidak dinafikan, kepetahannya berbicara di samping memiliki personaliti menarik mudah mencuri perhatian sesiapa yang cuba mendekati. Kreativiti yang mudah melahirkan lelucon ringan, cepat sahaja membuatkan mereka di sekeliling ‘melekat‘ dengannya.
Bukan sekadar berbakat di corong radio, malah wanita berusia 31 tahun itu juga mampu meniupkan ‘roh‘ dalam menghidupkan watak. Meskipun berperanan sebagai watak pembantu dalam naskhah khas Aidilfitri Suria FM, namun keberkesanan karakter antagonisnya bersama DJ Lin meninggalkan kesan dalam ingatan penonton.
Jika dihitung jumlah kemunculannya, memang sedikit, tetapi impak watak beliau menjadikan kisah tersebut sarat dengan air mata. Ditanya sama ada menaruh minat untuk terlibat dalam bidang lakonan atau tidak, Anna memilih untuk mendiamkan diri seketika sebelum meluah kata.
“Sebelum ini saya pernah sahaja berlakon untuk konten dalam talian, tetapi ini pertama kali terlibat dengan produksi penggambaran berskala besar. Sejujurnya memang seronok dan satu pengalaman menarik. Bagaimanapun, ia belum cukup untuk menambat hati," tutur pemilik lengkap nama Syarifah Nur Farhana Syed Talib.
BACA JUGA Nampak elegan di depan TV, tapi jeans dan Converse tetap jadi pilihan Azaria Tagaya!
Kagum
Selaras dengan itu, beliau pantas melanjutkan cerita mengenai pengalamannya dalam karya Dodol Tak Bergula. Tidak hanya membariskan kesemua penyampai radio, telefilem itu turut menampilkan aktres Wan Maimunah sebagai Mak Leha.
Umum tentu tahu kehebatan pelakon veteran itu ketika menterjemahkan watak lebih-lebih lagi babak air mata. Boleh dikatakan beliau tidak pernah gagal ‘mengheret‘ emosi penonton agar turut menangis bersama.
Kelebihan tersebut turut membuatkan Anna mengagumi Wan Maimunah dan berusaha mencedok ilmu daripada wanita berusia lebih setengah abad itu.
“Sewaktu sedang berlatih dialog bersama DJ Lin, ketika itu ibu (Wan Maimunah) ada bersama. Pesannya, berlakon itu perlu lahir dari hati. Kadangkala bila terlupa giliran dialog, saya mengerling lihat skrip.
“Ibu kemudian marah dan menasihatkan agar jangan terlalu berdialog mengikut skrip. Sebaliknya, (berdialog sendiri) tanpa mengikut skrip, asalkan tidak lari daripada jalan cerita," katanya.
Pun demikian, akui Anna, beliau tidak fikir bidang lakonan boleh menjadi salah satu prospek kerjayanya.
“Saya seorang yang tidak sabar untuk menunggu apatah lagi bersabar di set untuk tempoh yang lama. Pilihan (kerjaya) saya lebih kepada aturan jadual mengikut masa yang telah ditetapkan," katanya.
Setelah sekian lama berkhidmat sebagai penyampai radio telah menjadikan Anna seorang yang patuh dengan masa.
Masakan tidak, bermula pada jam 6 hingga 10 pagi, beliau sudah bersedia untuk segmen Suria Pagi Show pada setiap Sabtu dan Ahad.
“Sudah semestinya, saya perlu tiba lebih awal di tempat kerja. Saya sudah terbiasa dengan gaya kerja begitu.
“Bukan itu sahaja, saya turut mengendalikan program Go Shop yang jadualnya juga sudah ditentukan sejak awal. Bayangkan jika berlaku kelewatan, tentu sahaja ia memberi kesan kepada banyak pihak," katanya.
Kepelbagaian
Lama kami bersembang dan akhirnya Anna mendedahkan bahawa menjadi penyampai radio juga bukanlah cita-citanya.
Sebenarnya, sejak kecil beliau sudah menaruh hati untuk menjadi pengacara rancangan televisyen popular TV3, Nona kerana sangat mengagumi Puan Sri Normala Samsudin.
“Sejak sekolah lagi cikgu tanya apa cita-cita bila dewasa, saya akan menjawab ingin menjadi pengacara Nona. Pada saya, Puan Sri Normala memiliki ciri-ciri wanita yang lemah-lembut, bijak, berkarisma dan berketerampilan. Lontaran suaranya juga sedap didengar," jelasnya seraya ketawa.
Setelah habis pujian setinggi gunung terhadap figura itu, Anna pantas bercerita mengenai impian beliau akhirnya terlaksana, meskipun bukan sebagai pengacara.
Bersama stesen televisyen TV3 sejak menjalani latihan amali, beliau kemudian diserap masuk sebagai wartawan penyiaran program Nona sekitar tahun 2014/2015 sebelum beralih ke program lain seperti Safiya dan Sis.
BACA JUGA Tetep teruskan kerjaya sebagai penyanyi rap, Zizi Kirana teruja bakal rai Syawal dengan suami
“Waktu itu saya dapat mempelajari pelbagai benda baharu seperti menulis skrip, teknik fotografi, videografi dan suntingan rakaman. Sewaktu program Sis, saya bernaung di bawah Ezzah Aziz Fawzy yang juga antara pengacara kegemaran saya," katanya.
Seorang yang mahukan kepelbagaian, Anna turut menyertai pertandingan pencarian bakat Projek Radio Hot FM. Berjaya mendapat tempat kedua, tawaran untuk menjadi penyampai pada waktu itu terpaksa diketepikan kerana terikat dengan program televisyen.
Bagi menggilap bakatnya, beliau memberanikan diri menyertai pertandingan Ikon Siarawan 2016 terbitan RTM.
“Segala ilmu sebagai pembaca berita, suara latar (voice over) dan wartawan penyiaran disimpan rapi sehinggalah saya memulakan kerjaya sebagai penyampai radio THR Gegar, Permata Pantai Timur pada bulan Mei tahun yang sama sebelum menyertai Suria FM. Itulah dia!," katanya seperti menarik nafas kelegaan.
Obses air putih
Pada petang itu, perbualan kami sedikit panjang dan macam-macam cerita yang diperdengarkan kepada penulis.
Seperti biasa, soalan mengenai kesihatan dan kecantikan diajukan memandangkan kerjayanya membuatkan beliau ‘jatuh‘ dalam kategori selebriti.
Justeru, penampilan haruslah sentiasa terjaga rapi lebih-lebih lagi bila wajah kerap muncul di kaca televisyen.
Tidak mengambil masa berkongsi petua, Anna berkata, minum air putih antara amalan untuk mengekalkan kesihatan.
Mengenai pemakanan pula, Anna tiada sebarang pantang larang, apatah lagi cerewet. Makanan berat seperti stik dan nasi bukan jadi satu masalah besar kepadanya untuk terus konsisten dengan berat badan ideal kini.
“Penjagaan bentuk badan penting kerana pakaian yang disediakan pihak wardrobe Go Shop. Jadi, saya perlu jaga badan kerana nanti susah pihak mereka mendapatkan pakaian.
“Tentu saja saya juga ingin kelihatan cantik di depan kamera. Disebabkan itu bentuk fizikal perlu dijaga begitu juga dengan kesihatan kulit wajah," tuturnya lembut.
BACA JUGA Bukan kejar publisiti, Nur Liyana bangga bergaya busana Murut Nabai di rantau orang
Seperkara, Anna turut melakukan senaman kardio secara indoor dan seboleh-bolehnya mengelak melakukan aktiviti fizikal di kawasan terbuka.
Bukan apa, beritahu personaliti itu, beliau memiliki kulit wajah yang sensitif dan mudah breakout. Dek kerana itu juga dirinya lebih senang mengelak mengenakan solekan kecuali perlu sahaja.
“Dahulu saya tidak terlalu serius menjaga kulit wajah dan hanya mencuci muka saja meskipun mengenakan solekan. Setelah bekerja di depan televisyen, saya mula belajar untuk bersihkan muka secara teratur termasuk memakai toner dan pelembap.
“Setiap dua minggu sekali saya akan mendapat rawatan kulit wajah kerana saya mudah mengalami jerawat kecil jika berasa stres.
“Sekiranya terlalu penat, saya bersihkan wajah dan memakai topeng muka sebelum tidur dan kurangkan memakai produk kosmetik berminyak. Jika dulu saya tak kuasa, sekarang sudah kena rajin," terangnya panjang lebar seraya ketawa.
Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang