JANJI temu bersama penulis lirik yang baru memecah dominasi dalam sebuah pertandingan berprestij dipermudahkan.

Dua hari sebelum sesi penggambaran, penulis menghantar pesanan WhatsApp kepada Norfazlina Hishamuddin atau nama penanya, Fazleena dengan menyatakan hasrat untuk mewawancaranya. Beliau terus bersetuju.

Kami kira, figura yang berbakat besar itu perlu diketengahkan, sementelah publisiti mengenainya tidak begitu meluas.

Fazleena hadir dengan cahaya mata sulung yang nampak malu-malu pada awalnya. Namun, lama-kelamaan boleh bermesra dan mudah tersenyum seperti sang ibu.

Selepas ditatarias oleh jurusolek, Ayang Kamell, penulis berbual santai sementara menantikan kedatangan jurufoto. Daripada bersembang hal biasa-biasa, perbualan terus melencong ke arah zon kerjaya dan kehidupan rumah tangga beliau.

Sebenarnya, meskipun bukan bertaraf selebriti popular, nama Fazleena merupakan sosok yang cukup disegani dalam komuniti seni teater tempatan. Selain berlakon, tuan punya badan giat mengarah beberapa naskhah berkualiti.

Ledakan nama wanita itu memuncak apabila lagu Pelukan Angkasa nyanyian Shila Amzah dan kumpulan SOG menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-36 pada awal tahun ini.

Baca ni ‘Menu simple, nasi tetap makan.’ Maintain cantik bergaya walau punya anak ramai, ini rupanya rahsia adik Che Ta tampil langsing

Menghadam bait-bait puitis yang dinukil anak kelahiran Selangor itu sungguh mencengkam kalbu. Setiap frasa memberi maksud tersirat. Semasa berbicara dengannya pun, penulis terpesona dengan setiap perkataan yang terpacul daripada mulutnya.

ANUGERAH & REZEKI

Ditanya bagaimana bakat seni mengalir dalam tubuh badannya, Fazleena seperti sudah bersedia untuk menjawab pertanyaan yang diutarakan.
Kata beliau: “Kecenderungan saya dalam bidang kesenian dan penulisan sudah bermula sejak kecil lagi. Sebab itu saya memilih kursus Sarjana Muda Sains Sosial sewaktu melanjutkan pengajian di universiti.

“Ketika itulah, saya berpeluang belajar tentang penulisan, drama dan teater termasuklah berlakon, mengarah, menulis skrip dan juga produksi.“

Kebolehan Fazleena kemudian dihidu oleh beberapa pihak yang memintanya untuk menulis.

“Secara kebetulan juga, ayah saya pada ketika itu mahu menghasilkan video korporat dan saya diminta untuk menulis skrip,“ katanya yang turut aktif dalam bidang pengiklanan, produksi drama dan lapangan pengacaraan.

Fazleena terus dibanjiri dengan rezeki apabila ditawarkan oleh pihak penerbitan untuk menghasilkan buku pula. Setakat ini, sudah empat buah karya yang sudah dicetak atas namanya.

Paling mencuri perhatian pastinya naskhah yang berjudul Seksi Ovari dan terkini, Kembara Di India.
Kekreatifan yang dikurniakan YANG MAHA ESA terus mendorong wanita prolifik itu menumpahkan idea menulis genre berkonsepkan travelog, antologi, cerpen dan beberapa jurnal berkualiti.

Melihat lambakan kekreatifan yang dimiliki empunya diri, tanya penulis, mana satu yang menjadi fokus utamanya?

Ungkap beliau: “Sehingga kini, saya tidak spesifikkan mana satu yang perlu dibuat. Saya memilih untuk berada dalam kategori mandiri atau bebas tanpa terikat dengan mana-mana pihak. Saya selesa dengan situasi sebegini dan kegiatan seni saya sejak dulu memang dilakukan secara underground.“

Akui Fazleena yang turut digelar Ratu Indie, sebelum ini ada juga orang bertanya mengapa dirinya tidak mahu membina nama dan mencipta populariti dalam arus perdana? Jawapan ibu kepada seorang anak itu memang padu.

“Saya katakan kepada mereka bahawa setiap orang sudah tertulis rezeki masing-masing. Saya tak pernah pun cuba paksa diri untuk dikenali atau terpampang di kaca televisyen,“ ujarnya memasak kata.

Pun begitu, tegas Fazleena, setiap tanggungjawab tidak kira dalam bidang teater, mahupun penulisan lirik atau lakonan akan dilakukan secara bersungguh-sungguh, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Sambung tuan punya badan lagi, soal populariti sudah jatuh nombor dua atau tiga. Kebebasan berkarya adalah paling signifikan baginya.

“Dengan cara ini, saya bebas untuk berkolaboratif dengan ramai orang, baik daripada bidang indie mahupun arus perdana,“ ujarnya yang turut mengendalikan bengkel mengajar kanak-kanak yang berminat dalam dunia teater.

Berada di sampingnya, penulis tidak mahu melepaskan peluang berbicara tentang tuah lagu Pelukan Angkasa. Ya, pada saat beberapa karya lain dilambung bakal menakluk pentas, tiba-tiba sentuhan sebuah karya ‘keras‘ hasil kreativitinya bersama komposer Raja Nazrin Shah diiktiraf yang paling unggul.

Jujur kata Fazleena, saat itu emosinya berselerak. Namun, perasaan gembira, terharu dan sebak lebih menguasai diri.

“Bila kemenangan diumumkan, saya terus mengimbau perjalanan saya yang sudah mencecah 20 tahun bermula sejak era universiti. Memang penuh berliku dan pancaroba.

“Saya berasakan pilihan yang saya buat selama ini memang tepat. Bagaimanapun, anugerah tersebut bukan petanda saya bagus, cuma saya anggap itulah hasil yang cukup indah yang saya peroleh selepas lebih dua dekad lamanya,“ tuturnya.

Pun demikian, ujar wanita penuh falsafah itu, kejayaan berkenaan bukan tiket untuk bermegah. Dirinya sama seperti dulu. Tiada apa yang berubah.

“Cuma sekarang, saya sudah ada portfolio yang saya boleh letak nilai di situ apabila ada pihak yang ingin berkolaboratif. Saya juga anggap pencapaian itu telah mewujudkan satu potensi lebih besar untuk saya dikenali di luar sana,“ ungkapnya.

Ah! Sudah adat manusia, ada sahaja yang mahu dipertikaikan. Belum lagi fajar menyingsing sehari selepas dijulang, timbul kontroversi kononnya lirik lagu Pelukan Angkasa menyimpang dan tergelincir daripada akidah.

Iklan

Ketika hal itu dibangkitkan semula, Fazleena mengukir senyuman kecil.

“Saya tidak marah, jauh sekali terguris atau kecil hati. Sebaliknya, saya berterima kasih kerana mereka sudi untuk mengulas bait-bait karya ini. Itulah indahnya seni.

“Di sebalik impak negatif dan kontroversi, Pelukan Angkasa menjadi topik perbincangan yang meluas. Sedikit sebanyak saya rasa bangga dan gembira kerja saya menjadi bahan kupasan. Saya menyifatkan ia sesuatu yang baik,“ katanya.

PENGORBANAN TANPA BATASAN 

Profil personaliti berkenaan terus diselongkar. Kali ini, sisi dirinya sebagai isteri dan ibu kepada seorang cahaya mata perempuan yang namanya cukup klasik, Kesuma Hati Amar, 1, diminta untuk diceritakan.

“Alhamdulillah sehingga kini, perjalanan karier dan rumah tangga seiring. Istimewanya apabila memiliki pasangan yang memahami jiwa dan kerjaya yang memudahkan segala urusan.

Sebelum ini suami bekerja sebagai jurutera, tetapi kini menjadi penulis untuk filem dan drama.

“Memang dari zaman sebelum kahwin sehingga dikurniakan anak, suami sudah tahu kecintaan saya dalam bidang seni. Jika saya perlukan masa untuk siapkan sesuatu kerja, suami yang akan ambil alih uruskan anak. Demikian juga kalau saya keluar malam untuk latihan teater, suami tidak menentang dan beri kebebasan untuk saya terus berkarya kerana saya juga berbuat demikian apabila dia ada kerja luar,“ ungkap isteri kesayangan Amar Amir Ithnin itu lagi.

Kepada penulis, Fazleena memberitahu, Kesuma Hati hadir dalam hidup mereka agak lewat iaitu selepas lapan tahun berkahwin. Kasih dan sayang pasangan itu kepada puteri kesayangan melebihi seluas lautan yang terbentang gah.

Iklan

“Kami sepakat untuk menguruskannya sendiri tanpa hantar ke pusat asuhan. Pada masa sama, saya mahu melihat sendiri Kesuma membesar. Mungkin umurnya sudah meningkat sedikit, barulah kami akan hantar ke pusat asuhan,“ ujarnya yang kadangkala meminta bantuan ahli keluarga menjaga permata hati beliau.

Dari hati yang terdalam, ungkap Fazleena, dirinya bukanlah orang terbaik berkongsi tip tentang hal anak memandangkan baru setahun jagung bergelar ibu. Namun, ada sesuatu yang ingin beliau katakan.

“Saya selalu cakap dengan kawan-kawan, bergelar ibu tidak bermakna kita kena meninggalkan cita-cita dan impian kita. Saya percaya, jika mahu lihat anak membesar, kita pun sama-sama kena berkembang.

“Jika kita terpaksa meninggalkan cita-cita dan hasrat hidup, itu tidak adil namanya. Mungkin ada yang anggap saya pentingkan diri sendiri, tetapi kita takkan gembira uruskan anak-anak kalau dalaman kita sendiri tidak gembira.

“Saya suka bekerja dan itu tidak mengurangkan nilai dan kasih sayang saya terhadap anak. Cuma bagaimana cara kita membahagikan masa itu yang penting. Saya sendiri terpaksa korbankan masa tidur dua hingga tiga pagi untuk menulis,“ ungkapnya dengan nada paling jujur.

Beliau kemudiannya menambah, perlu ada kesungguhan dan kesamarataan dalam meneruskan visi hidup dan membesarkan zuriat.

Sebagai langkah permulaan, Fazleena sentiasa membawa zuriatnya pergi ke tempat kerja.

“Saya mahu Kesuma lihat sendiri bagaimana ibunya mencari duit. Apabila dia sudah besar nanti, Kesuma akan tahu yang dirinya tidak perlu tinggalkan kerjaya hanya untuk menjadi seorang ibu,“ katanya yang menjadikan Nurul Izzah sebagai idola beliau.

Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.