CANTIK manis, tinggi lampai dan cepat mesra orangnya. Sifat itu selari dengan personaliti beliau yang sebelum ini bergelar pengamal media.

Lancar berbicara, namun bait kata-kata Ahirine Ahirudin, 26, dibutirkan dengan penuh hati-hati. Barangkali tidak mahu tersalah bicara.

Limitasi masa pada waktu itu membuatkan penulis terus bertanya itu dan ini selepas beliau anggun menyarung busana pereka fesyen terkenal, Wan & Mary.

Ahirinie membuka mukadimah dengan bercerita tentang portfolio dirinya.
Bermula sebagai wartawan penyiaran, graduan Ijazah Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor itu kemudian beralih angin menjadi pelakon aksi dan lagak ngeri.

Tatkala mendengar transisi kerjaya yang terpacul dari mulut seorang gadis yang penuh dengan kesantunan itu, bermulalah limpahan soalan yang penulis lontarkan.

Namun terlebih dulu katanya, ketika menjadi orang media, beliau berpeluang untuk mendalami dunia automatif secara tidak langsung.

“Kebetulan pada waktu itu, saya sudah mula berjinak-jinak dengan aksi lagak ngeri, belajar bawa motor dan sebagainya. Bagi saya dan mungkin tidak pada mata orang lain, peralihan profesyen saya dari wartawan kepada pelakon lagak ngeri tiada banyak beza,“ katanya bersahaja.

LANGKAH KANAN
Kata Ahirine, meskipun dunia lakonan adalah cabang yang digemarinya, fokus utama haruslah kepada pelajaran dulu, sekali gus memenuhi visi dan misi keluarganya.

“Sebaik tamat pengajian, saya tak sangka peluang tiba-tiba terbuka luas dalam arena seni. Alhamdulillah, famili saya merestui apa yang saya pilih dan sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

“Apa yang saya boleh kongsikan, sebelum ini, kehidupan saya lebih banyak di rumah bersama nenek, bermain permainan online dan lain-lain hal. Saya juga tidak banyak melibatkan diri dalam sukan ataupun kegiatan kokurikulum di sekolah kerana tiada orang yang boleh hantar dan ambil saya dari sekolah,“ ceritanya tanpa berselindung.

Pun demikian, selepas menerjah alam kampus dan terpilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara, Ahirine berkata, beliau baru ‘mengenal hidup‘.

“Waktu itu, barulah saya berkawan, kemudian melibatkan diri dalam pentas lakonan dan macam-macam lagi yang saya cuba,“ ungkapnya.

Beritahu Ahirine, peluang pertama dalam dunia seni yang disambarnya adalah ketika menjadi pelakon aksi dan lagak ngeri filem Remp-it 2 arahan Farid Kamil.

“Siapa sangka, pada saat sudah menyatakan persetujuan, rupa-rupanya produksi memang sudah berniat untuk mengambil saya sebagai pelakon dalam naskhah tersebut.

“Ibarat orang yang mengantuk disorongkan bantal, saya menerima dengan hati terbuka kerana itulah yang saya idamkan selama ini. Lantas, tanpa berfikir panjang, saya terus setuju,“ ujarnya yang ketika itu masih lagi aktif menulis secara sambilan untuk portal automatif.

Perumpamaan lama yang menyebut, tuah ayam nampak pada kaki, tuah manusia siapa yang tahu sesuai menggambarkan takdir gadis jelita itu.

Belum pun sempat filem pertama lakonannya ditayangkan, beliau sudah mendapat tawaran membintangi filem Gadis Jolobu sebagai heroin, di samping pelakon terkenal lain seperti Datuk Hattan, Khir Rahman dan Joey Daud.

Watak yang digalas nyata cukup dekat dengan dirinya memandangkan terdapat babak-babak aksi yang perlu dipersembahkan.

“Ada yang bertanyakan bagaimana gadis bandar seperti saya dapat menjiwai watak anak kampung. Pada saya, itu bukan satu masalah. Sementelah, sejak kecil, saya dibesarkan oleh nenek dan terbiasa dengan kehidupan di desa.

“Cuma cabaran saya adalah dari segi dialek Negeri Sembilan. Bagi memantapkan diri, saya banyak mendengar lagu Datuk Hattan, bahkan beliau juga banyak membantu saya,“ kongsinya.

CABARAN TERBESAR
Kepada satu soalan, Ahirine mengakui, dirinya seorang yang sangat sukakan cabaran. Maka, tidak hairanlah beliau begitu kekar dalam melakukan aksi lasak dan lagak ngeri.

“Inilah ‘keghairahan’ saya sejak kecil lagi terutama dalam bab menunggang motor, tetapi itu tak bermakna saya suka merempit, sebaliknya guna saluran yang betul dengan memasuki trek. Pada kesempatan ini, ingin saya berpesan kepada anak muda di luar sana, pilihlah jalan betul sekiranya anda memang berminat dalam sukan permotoran,“ sarannya.

Penulis percaya, berada dalam lingkungan platform sebegitu, pastinya tuan punya badan pernah cedera atau memiliki parut di sana sini. Sambil membelai rambutnya dengan senyuman paling manis, Ahirine berkata, hal itu sudah pernah beberapa kali berlaku.

Antaranya beliau pernah mengalami retak pada tulang dada (minor) dua tahun lepas yang sehingga kini dapat dirasai impaknya.

“Sebagai langkah susulan, saya perlu membuat pemeriksaan lagi walau sepatutnya kecederaan tersebut sudah sembuh dalam tempoh enam bulan. Namun, nampaknya kesakitan masih terasa terutama ketika saya menarik nafas.

“Melihat keadaan itu, saya mengambil pendekatan untuk melakukan pemeriksaan seterusnya bagi mengetahui punca sebenar,“ ujarnya yang telah memperlahankan aktiviti perlumbaan motor dan kayuhan termasuk dalam seni bela diri, Muay Thai dan kickboxing.

Berkongsi pula rentetan pengalaman yang direntasnya sebagai pelakon lagak ngeri. Ungkap anak kelahiran Kuala Lumpur itu, ia bukanlah semudah yang disangka. Ya, seperti sudah dapat dijangka, kecederaan turut menghantuinya.

“Pertama kali melakonkan babak aksi, pengarah menawarkan sesiapa yang berminat untuk bawa motor dan melakukan aksi dalam filem tersebut. Mendengar pelawaan itu, saya terus bersetuju kerana tak mahu lepaskan peluang. Dek kerana belum mahir, saya terpaksa melakukan adegan yang diminta banyak kali. Ya, saya cedera dan memang sangat sakit.

“Namun, itulah babak di balik tabir pertama saya bersama Farid Kamil. Masih segar dalam ingatan saya, adegan itu memerlukan saya menjerit selepas bergaduh dengan kekasih. Kebetulan waktu itu, saya baru lepas berpisah, jadi watak tersebut dapat saya jiwai dengan baik, “ katanya yang mengidolakan Gina Carano yang merupakan pelakon dan aktif dalam Seni Bela Diri Campuran.

Iklan

Meskipun berjiwa kental dan kalis dengan rasa takut, ada sisi lain yang mungkin ramai tidak tahu. Ahirine berterus terang, beliau seorang yang gentar dengan ketinggian dan juga lipas.

“Saya sangat gayat. Disebabkan itulah saya tak pernah naik roller coster. Pada masa sama, saya juga cukup anti dengan lipas. Walaupun tiada insiden yang membuatkan saya trauma dengan haiwan ini, tetapi saya tidak suka warnanya.

“Geli terutama melihat lipas terbang. Setiap kali nampak lipas, saya akan jerit meminta tolong terutama sekali dengan ayah,“ kata pelakon yang semakin meningkat naik itu dengan hilaian tawa manja.

PELAN JANGKA PANJANG
Memiliki rupa paras yang jelita ditambah ketinggian umpama seorang peragawati, pastinya empunya diri sudah mempunyai buah hati pengarang jantung.

Ahirine tertawa lagi saat pernyataan tersebut diutarakan. Sambil menghela nafas panjang, wanita yang memiliki kulit mulus itu memberitahu, belum tiba masanya beliau memikirkan hal itu lagi.

“Sejujurnya saya tiada masa untuk diri sendiri kerana fokus saya sekarang lebih kepada membina kerjaya agar terus utuh. Soal mencari teman hidup belum lagi nampaknya. Kalau ada sekalipun, beliau kena faham dan ikut masa saya,“ katanya.

Mengenai kriteria jejaka yang bakal menemaninya sepanjang hayat, Ahirine berkata, cukuplah sekadar lelaki itu memahami dan menyokong segala kecenderungannya dalam hidup.

“Cuma, kalau dapat teman hidup seorang fighter yang terlibat dalam sesuatu kejuaraan, itu satu bonus kerana kami berkongsi hobi sama,“ ujar beliau yang turut mempunyai minat yang selari dengan ayahnya, Datuk Ahirudin Attan dalam sukan kickboxing.

Iklan

Pada kesempatan bersua dengannya, penulis sempat mencelah dan bertanya tentang perlawanan Muay Thai yang pernah disertai sebelum ini.

Berpegang kepada prinsip no mercy (tiada belas kasihan) yang sering dilaungkan ayah tercinta, Ahirine mengakui dirinya masih terlalu hijau dalam pentas itu. Banyak lagi yang perlu dipelajari jika mahu terus survival dalam arena berkenaan.

“Saya masih ingat lagi, pertama kali memasuki pertandingan, perasaan takut memang susah nak sisihkan. Sebelum ini saya berpasangan dengan lelaki.

“Apabila berlawan dengan wanita, memang lain situasinya. Kebetulan lawan saya (wanita) ketika itu lebih tua daripada saya. Rasa was-was dan gementar menguasai diri saya, tetapi ini kan perlawanan. Jadi, betullah kata ayah, no mercy apabila kita sedang bertanding,“ katanya yang dikatakan mempunyai kelebihan dari segi ketinggian, di samping kekuatan kakinya digeruni lawan.

Menjawab persoalan perancangannya dalam tempoh lima tahun akan datang, empunya diri tidak lokek untuk menceritakan, baik dalam bidang seni mahupun sebagai penyedia kandungan di media sosial yang merupakan satu lagi lapangan yang digemari.

“Saya suka berkongsi pengalaman seperti menaiki kereta dan melancong. Saya fikir mungkin suatu hari nanti, inti pati tersebut bakal menjadi fokus saya. Sekarang pun, saya sudah pun memulakan perancangan tersebut dan berkongsi menerusi laman Instagram.

“Dulu, saya ingatkan akan selamanya terbabit dalam bidang kewartawanan selepas saya gagal dalam satu uji bakat sebuah filem. Jadi, saya fikir mungkin tiada rezeki, kalau dapat jadi pelakon lagak ngeri pun sudah memadai. Itu kata hati saya pada masa itu.

“Bagi saya, walaupun orang tak nampak wajah di sebalik topi kaledar, yang penting kepuasan itu ada. Namun, perancangan ALLAH itu cukup indah. Akhirnya, dapat juga saya merealisasikan impian menjadi seorang pelakon,“ ungkapnya sebelum menutup perbualan bersama SinarPlus.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan