Casablanca bawa tuah, jadi siulan seantero Nusantara, Nuha Bahrain ada misi penting tahun 2023

A
A
A

KEJAYAAN lagu ‘berhantu‘ Casablanca benar-benar meledakkan nama Nuha Bahrin yang baru berusia 22 tahun.

Setakat artikel ini ditulis, lagu tersebut mencatatkan rekod cemerlang dengan 25 juta tontonan di YouTube semenjak dimuat naik pada 19 Mei 2022.

Malah, karya ringkas tersebut berjaya menduduki carta teratas Spotify Viral 50 Global dan Spotify Viral 50 Indonesia yang jarang-jarang diisi mana-mana pendatang baharu dari Malaysia.

Menerusi Casablanca, Nuha dan pasangan duetnya, Naufal Azrin berjaya mencipta nama dan menerima pelbagai jemputan media di negara seberang.

Senang untuk dirumuskan, 2022 merupakan tahun paling bertuah buat gadis manis itu. Populariti yang diraihnya bagaikan letusan gunung berapi.

Jadi, sebagai pembuka tahun 2023, SinarPlus berasakan bahawa Nuha layak diangkat menjadi penghias muka depan kami.

Disebabkan profil pemilik nama sebenar Nuha Sakinah Saiful Bahrin masih kurang diketahui peminat, maka wajarlah penulis memintanya untuk bercerita lanjut.

Beritahu beliau, darah seni yang mengalir dalam diri diwarisi daripada ahli keluarga tercinta.

“Arwah datuk dan nenek saya seorang pemuzik dan penyanyi. Bakat itu kemudian turun ke bapa saya, walau beliau seorang ahli perniagaan. Mama pula, seorang penari.

“Memang sejak kecil lagi, saya dibesarkan dan dikelilingi dengan muzik. Pendedahan itu yang mencambahkan minat dalam diri saya. Pun begitu, sehingga kini, saya masih terus belajar dan belajar tentang muzik,“ katanya yang cenderung menyanyikan lagu-lagu nasyid dan qasidah sejak berumur lapan tahun lagi.

Baca lagi 'Ibu berjiwa kental, memang iron lady betul.' Pilih kerjaya berisiko, ramai kagum dengan Maya 'tawan' puncak KLCC

JADI FENOMENA 

Meski ‘bergelumang‘ dengan dendangan ritma dan lagu yang pelbagai, kata Nuha, beliau tetap mengutamakan pelajaran. Bukan muzik, tetapi dirinya memilih untuk mempelajari jurusan pemasaran ketika di kampus.

“Ya, saya sudah pun menggulung ijazah dalam lapangan tersebut. Usai itu, saya terus serius menyanyi. Saya nak lihat sejauhmana saya boleh pergi dan kemampuan diri dalam bidang yang saya minati sejak kecil ini,“ katanya yang bersyukur kerana menemui ramai rakan yang banyak membantu beliau memudahkan perjalanan dalam industri.

Selain pertolongan sahabat, Nuha yang fasih berbahasa Inggeris itu juga menyertai banyak pertandingan nyanyian.

Pernyataan tersebut sekali gus menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya kemasyhuran yang diraih selama ini adalah 'hasil' daripada kontroversi yang dicanang sana sini.

Tegas tuan punya badan, itu bukan kaedah cerdik untuk menaikkan nama, apalagi mahu segera glamor.

“Mungkin sesetengah orang suka apabila nama dikenali melalui kontroversi, tetapi saya sebaliknya. Memang saya bersyukur sebab ia ibarat pembuka rezeki, cuma saya segan dan rasa ‘tidak cantik‘ dengan cara tersebut.

“Pada masa sama, saya juga tidak merancang untuk dikenali dengan sebab itu (kontroversi). Cuma buat kerja dengan ikhlas dan buat sebaik mungkin,“ ujarnya lagi.

Seperti yang sedia maklum, bukan mudah untuk penyanyi Malaysia menembusi pasaran negara seberang. Hanya beberapa nama sahaja yang berjaya menerobos keluar. Antaranya seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Sheila Majid dan Amy Search.

Pun demikian, penangan lagu Casablanca memang luar biasa. Naskhah tersebut menjadi siulan jutaan penduduk republik Indonesia.

Enggan berselindung, penyanyi kecil molek itu mengakui, fenomena yang tercetus dirasakan bagaikan satu mimpi indah sehingga ke saat ini.

“Saya betul-betul terkejut dan tidak menyangka lagu Casablanca sampai ke tahap ini. Saya teruja dan gembira dengan penerimaan peminat. Ia bukan satu hal mudah lebih-lebih lagi mahu tembus ke pasaran antarabangsa.

“Saya bersyukur sangat kerana orang lain mengambil masa bertahun-tahun. Satu lagi, lebih ramai yang berbakat daripada saya, tetapi alhamdulillah rezeki saya dan Naufal untuk dapat dahulu. Memang saya rasa beruntung dan terharu kerana sudah berjaya capai apa yang orang lain inginkan,“ kongsinya yang sedang berjinak-jinak untuk membuat lagu pula.

CEMUHAN BERTALI ARUS

Melihat sambutan luar dugaan lagu Casablanca, penulis cuba menjentiknya tentang tekanan yang barangkali akan dihadapi untuk lagu baharu kelak.

Nuha nampaknya seperti sudah memikirkan jawapannya, lalu berkata: “Memang benar, perasaan bimbang dan tertekan memang sudah wujud sejak awal lagi.

“Namun, kita kena faham bahawa tak semua yang kita angankan jadi kenyataan. Justeru, kalaulah single seterusnya tidak sehebat Casablanca, saya tak akan cepat berputus asa. Saya akan terus mencuba," katanya.

Apabila kejayaan sudah berada dalam genggaman, selalunya wujud perasaan iri hati daripada individu lain.

Akui Nuha, beliau pernah berada dalam situasi itu apabila ada pihak ingin menjatuhkannya.

“Dalam hal sebegitu, saya tak nak cepat melatah. Kita memang tak mampu untuk menutup mulut orang daripada terus mengata. Saya anggap itu semua sebagai hal yang positif dan peringatan buat diri sendiri,“ katanya.

Bagaimana pula dengan reaksi famili? Pastinya mereka khuatir melihat anak yang masih muda belia dikecam ramai.

“Saya tak dapat nafikan bahawa mereka sedih dan risau, tetapi alhamdulillah, seperti saya, mereka juga positif dan sentiasa menyokong,“ ujar Nuha yang meletakkan Yuna dan Beyonce sebagai idolanya.

Seolah-olah belum puas meluah rasa, anak ketiga daripada empat beradik itu menyambung lagi naratif dirinya.

Kata beliau, pernah sebelum itu dek kerana asyik dilanda cemuhan, hatinya pernah berbolak-balik untuk meneruskan kesinambungan karier dalam bidang seni.

“Pernah sebelum ini saya rasa kecewa dan anggap bidang nyanyian ini bukan platform terbaik untuk saya. Pun begitu, saya kembali berfikir bahawa inilah jalan yang saya pilih dan suka.

“Justeru, abaikan kata-kata dan pandangan orang lain. Kerja keras, buat yang terbaik dan jangan berhenti. Jika kita berbuat demikian, kita boleh nyahkan kecaman dan kutukan orang selama ini,“ tuturnya dengan nada penuh semangat.

KAHWIN MUDA

Barangkali ramai menyangkakan bahawa Nuha fasih berbahasa Arab. Masakan tidak, lagu Casablanca yang merupakan gabungan alunan muzik Asia Barat dan moden dengan seni kata Arab dan Melayu dinyanyikan dengan begitu baik sekali.

Beritahu Nuha, beliau sebenarnya baru belajar sebutan bahasa Arab untuk memantapkan nyanyiannya, berbanding dengan rakan duetnya, Naufal yang merupakan seorang hafiz al-Quran.

Namun demikian, empunya diri mengaku amat meminati gema lagu dalam bahasa al-Quran itu memandangkan ibu tersayang sering memutarkannya di rumah.

 

“Selain bahasa Arab, bahasa Sepanyol juga menjadi pilihan. Memang susah sebenarnya kerana tiada asas dalam bahasa tersebut, tetapi saya seronok dapat belajar perkara baharu.

Lari sedikit daripada topik tentang hal yang terkait dengan profesion, penulis mengalih perhatian dengan menggali tentang sisi lainnya yang barangkali ramai tidak tahu.

Akuinya kepada kami, beliau seorang gadis yang gedik!

“Kalau di rumah saya bukanlah seorang bising, tetapi dengan kawan-kawan saya lebih terbuka dan jenis 'masuk air'.

“Ada pihak yang menganggap kononnya saya gedik, itu mungkin betul. Ada masanya saya berperangai begitu tanpa sedar. Ia perkara biasa berlaku apabila kita terlalu gembira sehingga tidak sedar berperangai sebegitu rupa,“ katanya.

Pun begitu, ujar anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu, beliau seorang pendengar dan penasihat yang baik. Sifat berkenaan diperakui oleh bonda dan kawan-kawan sekeliling.

“Sejujurnya saya sendiri gembira berbuat demikian,“ jelas Nuha yang memilih penampilan yang ringkas, tidak terlalu stailo, tetapi bijak dalam pemilihan warna.

Diusik dengan persoalan tentang pasangan hidup dan kemungkinan berkahwin pada usia muda, Nuha terkedu seketika.

Kemudian, ungkapnya: “Soal kahwin awal pada saya tidak salah, asalkan tidak susahkan keluarga sendiri. Bagi orang lelaki terutamanya, jika belum stabil dan masih bergantung kepada keluarga sendiri, rasanya ketepikan dahulu soal kahwin.“

Kata Nuha, beliau terlebih dulu mahu bekerja dan mengumpul wang untuk membawa seluruh ahli keluarga bercuti ke lokasi impian.

“Soal jodoh rasanya belum sampai masanya lagi dan satu lagi, saya masih solo,“ ungkap Nuha sambil ketawa riang.

Sempena tahun baharu 2023 apa misi beliau? Kata balas daripadanya ringkas, namun cukup padu.

“Insya-ALLAH, saya mahu perbanyakkan single saya. Pada masa sama, saya juga berhasrat untuk berkolaboratif dengan sebanyak mana artis tempatan dan juga tanah air,“ ujarnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by sinarplus (@sinarplus)

Layari SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca