Gerudi minyak dan gas di tengah padang pasir. Keberanian Cempaka Lim jadi inspirasi ramai wanita

TINGGI lampai orangnya dan tidak lokek dengan senyuman. Pertemuan lewat petang dimulai dengan permohonan maaf berkali-kali empunya diri dek kerana terlewat hadir dari masa yang dijanjikan.

Sambil wajah ditatarias, Lim Chia Wei ataupun mesra dipanggil Cempaka memulakan perbualan.

Buat seketika, penulis cukup kagum mendengar kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu ketika memperkenalkan diri. Sesekali loghat utara beliau terkeluar.

“Saya lahir dan dibesarkan di sebuah pekan kecil di Perlis. Malah, saya juga dihantar ke sekolah harian biasa. Rumah kami juga berdekatan dengan sawah.

“Ibu dan ayah selalu balik kampung jumpa nenek dan atuk setiap kali hujung minggu. Itu yang membuatkan saya rasa seperti anak kampung. Ibu saya juga sangat fasih berbahasa Melayu sehinggakan orang tidak tahu yang dia Cina jika tidak melihat wajahnya,“ seloroh Cempaka yang memiliki darah kacukan Siam-Cina.

Akuinya lagi, pada zaman remaja, beliau tidak pandai berbahasa Inggeris seperti sekarang. Kelemahan itu membuatkan dirinya berasa sangat kerdil.

Sebelum pergi jauh, penulis bertanya bagaimana empunya diri mendapat nama Cempaka? Sambil tertawa, kata wanita manis itu, ia diberikan oleh kawan ibunya.

“Sebenarnya, rakan karib ibu saya ini sudah tua dan beliau sukar untuk mengingati nama Cina saya. Jadi, beliau memanggil saya dengan panggilan Cempaka. Lama-kelamaan, nama tersebut melekat sehinggalah sekarang. Saya juga selesa dan suka dengan panggilan tersebut,“ katanya.

Malah, beritahu beliau, individu di sekeliling kebanyakan adalah dalam kalangan orang Melayu termasuklah sahabat baiknya. Segala adat istiadat dan adat resam Melayu berada di bawah pengetahuan Cempaka, apatah lagi dalam berbahasa.

“Bila menyentuh soal berkomunikasi ini, bagi saya, setiap rakyat Malaysia tak kira apa bangsa sekalipun, patut boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik. Mungkin saya mempunyai sedikit kelebihan kerana sejak kecil lagi sudah dibesarkan dengan ulam dan sambal belacan,“ ujar Cempaka lagi sambil mengakui itu juga antara sebab kenapa beliau meletakkan hashtag #anakkampung menerusi instagram miliknya.

Baca ni ‘Suami tunggu dalam kereta jaga anak.’ MUA Bellaz kenang kembali kesusahan masa mula berkahwin

RANJAU
Beralih kepada persoalan kerjaya, beliau yang kini bertugas sebagai Technical Sales Engineer di salah sebuah syarikat minyak dan gas terbesar di dunia mengakui, titian perjalanan menuju profesion itu diulit pelbagai ranjau.

Namun, Cempaka sangat berterima kasih kepada individu yang sentiasa memberi perangsang untuknya agar jangan cepat berputus asa. Orang itu ialah ayah tersayang.
Lelaki itulah yang mendedahkan dunia kerjaya tersebut kepada gadis berkenaan dengan menunjukkan gambar pelantar minyak dan hal-hal yang berkaitan.

“Ayah melihat anaknya seorang yang aktif. Jujurnya saya memang lasak, suka berenang dan bersukan. Jika di sekolah dulu, saya pernah menjadi pemain ping pong mewakili negeri Perlis.

“Justeru, ayah berpandangan saya tak sesuai kerja di pejabat. Walaupun ayah bukan bekerja dalam bidang minyak dan gas, tapi beliau seorang yang memandang ke hadapan,“ katanya.

Sebagai langkah permulaan, Cempaka mula mengambil subjek teknikal selepas menyasarkan misinya untuk bergelar seorang jurutera.

Pun demikian, usai tamat Sijil Pelajaran Malaysia, beliau memohon untuk memasuki Universiti Teknologi Malaysia atau Universiti Teknologi Petronas lantaran dua universiti itu menawarkan kursus Kejuruteraan Petroleum.

“Alangkah sedihnya kerana rezeki tidak memihak kepada saya waktu itu. Permohonan memasuki kampus gagal. Namun, saya tidak putus asa, akhirnya selepas kali kedua saya memohon, barulah berjaya.

“Justeru, nasihat saya kepada remaja di luar sana, jangan cepat mengalah. Cuba dan cuba lagi. Terus berusaha sehingga berjaya,“ ungkapnya.

Selepas menerjah dunia pekerjaan dan menjadi satu-satunya ‘bunga’ yang dikelilingi ‘kumbang-kumbang’, Cempaka berkata, dirinya tidak kisah.

Tidak kira lelaki atau wanita, semuanya sama sahaja. Tambahan, dirinya tidak pernah disisihkan oleh kaum Adam dalam soal berkerja atau dalam apa jua yang dilakukan.
Setiap daripada mereka menggembleng tenaga melaksanakan tanggungjawab, malah saling bantu membantu dan memberi kerjasama yang baik sebagai satu pasukan, ujar Cempaka.

 

KIKIS STIGMA, PERBETULKAN PERSEPSI
Pun demikian, wanita penuh karisma itu tidak menafikan tentang sikap kebanyakan masyarakat yang masih berpegang kepada stigma bahawa kaum Hawa sukar untuk mendapat tempat jika bekerja dalam bidang yang dimonopoli lelaki. Namun, katanya, telahan itu tidak tepat.

“Saya sedar, ramai yang beranggapan bidang ini sukar bagi kaum wanita terutama dari aspek keselamatan. Pun begitu, pelbagai kemudahan telah dinaik taraf dan standard keselamatan juga sudah dipertingkatkan.

“Misalnya, semua orang wajib pakai PPE (peralatan perlindungan diri) apabila keluar pergi kerja. Satu lagi, SOP (prosedur operasi standard) dalam bidang ini juga sangat ketat demi mengelak sebarang kemalangan terjadi. Jadi, semuanya okey sahaja, tiada apa yang perlu dirisaukan,“ jelasnya.

Buli? Pada saat persoalan itu dilontarkan, Cempaka dengan perasaan yang berkobar-kobar ingin memperbetulkan persepsi berkenaan.

“Tiada istilah kena buli ketika bekerja walaupun rakan sekerja di sana boleh dikatakan semua lelaki.

“Tidak dinafikan pada awalnya, susah untuk mereka faham kenapa saya nak kerja dekat pelantar minyak, namun selepas saya tunjukkan kesungguhan dan minat, lama kelamaan mereka faham. Malah, tahap keyakinan diri saya menjadi lebih tinggi,“ ujarnya yang memberitahu ramai wanita hebat yang ditemuinya di dalam bidang tersebut bijak membawa diri, membuatkan semangat beliau semakin membara.

Menemubual seorang jurutera petroleum wanita yang bilangannya boleh dikira dengan jari membuatkan penulis ingin bertanya pelbagai soalan berkaitan profesion yang sedang digalasnya. Seperti kerjaya lain, kata Cempaka semuanya memiliki cabaran tersendiri.

“Dalam bidang ini, kita kena banyak belajar, bukan terus jadi pandai. Saya sendiri perlu menghadiri banyak sesi latihan, kemahiran praktikal dan sebagainya.

Iklan

“Sebelum ini, saya terpaksa belajar cara penggerudian minyak dan gas di tengah padang pasir bersama puluhan kakitangan lelaki.

“Jika terpaksa turun ke pelantar minyak di tengah laut, kadangkala memakan masa lama lebih kurang tiga minggu hingga sebulan. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Apabila sudah mampu membiasakan diri, maka segalanya akan menjadi lebih mudah,“ kongsinya.

Seronoknya tentang portfolio itu, kata Cempaka, beliau berpeluang merantau ke serata pelosok dunia.

“Kepada yang gemar bekerja sambil melihat keindahan negara lain, ini adalah kerjaya yang sesuai untuk anda.

“Banyak negara sudah saya lawati. Antaranya seperti Emiriah Arab Bersatu, Thailand, Perancis, Myanmar, Oman, Brunei dan banyak lagi. Semuanya meninggalkan kenangan indah dalam hidup saya,“ ujarnya yang turut meluahkan rasa gembira kerana ibu dan bapa memahami kesibukan beliau.

Meskipun hanya berpeluang sekali atau dua setahun sekali pulang ke kampung, kata Cempaka, itu sudah cukup menyeronokkan.

AJAR BUAT RESUME
Kami terus larut bersembang. Penulis kemudian bertanyakan tentang satu lagi laman Instagram khas yang diwujudkannya iaitu
@spiceyourcv.

Seperti bersedia dengan menjawab persoalan itu, Cempaka berkata, secara umumnya @spiceyourcv adalah medan untuk mengajak anak-anak muda lain supaya berani mengejar cita-cita.

Katanya, sebagai langkah permulaan, resume yang ditampilkan perlu tampak lebih berkeyakinan dan memiliki ciri yang dikehendaki seperti yang diperlukan bakal majikan.

“Menerusi platform itu saya berkongsi kaedah menulis resume yang menarik dan tip persediaan untuk temu duga menerusi IG live. Perkongsian itu nampaknya menarik perhatian warga maya terutama pada graduan,“ katanya yang pernah membuka kelas online.

Ketika bekerja dari rumah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan lalu, wanita itu telah mengajar 600 pelajar.

Iklan

Sibuk dengan kerja yang memerlukan beliau selalu berada di lapangan, tidak sedikit menghalang Cempaka melakukan apa yang diminati.

Tuan punya badan tetap mencuri masa untuk berenang. Rupa-rupanya, wanita penuh pesona itu dahulunya seorang perenang dan pernah mewakili negeri kelahirannya.

“Saya pernah berenang pada jarak jauh semasa saya di universiti. Bahkan, saya pernah menerima pertauliahan dari Persatuan Pengajar Selam Profesional sebagai Penyelam SkubaAir Terbuka dan Penyelam Air Terbuka Advance pada tahun 2013,“ ulas Cempaka lagi.

Baca lagi ‘Tenang air muka, cantik macam bonda.’ Wajah terkini Puteri Ameerah raih perhatian, dipuji persis ibunya, Azrinaz!

Jenama fesyen yang diminati? Dengan penuh keterbukaan beritahunya, label bukanlah satu ukuran.

“Saya merupakan seorang yang memilih gaya fesyen yang sederhana, janji selesa,“ katanya dengan nada bersahaja.

Sebelum kami mengucapkan selamat tinggal, penulis memintanya untuk berkongsi kata-kata semangat kepada golongan belia yang berkeinginan untuk menggalas kerjaya seperti beliau.

Tiada masalah untuk berbuat demikian, Cempaka lantas berkata: “Bukan senang mahu senang ya. Ingat, jangan jadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk mencapai cita-cita. Anda kena berani melangkah ke hadapan dan mengambil risiko. Usah takut dengan kegagalan, pasti ada jalan kerana setiap orang bermula dari bawah sebelum berjaya.

“Saya telah berada dalam bidang ini. Apa yang saya boleh katakan, kerja ini penuh dengan kemanisan, lebih-lebih apabila impian yang saya dambakan sudah menjadi kenyataan.“

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan