KEMERIAHAN berhari raya pastinya terasa lebih seronok dengan kehadiran sanak saudara yang sebelum ini jauh pada mata. Sesekali berkumpul tentu sahaja pelbagai cerita yang selama ini terbuku di dalam sanubari diluahkan tatkala bersua muka.

Suasana begitulah yang sering berlaku ketika semuanya bersama-sama. Jujur kata, kadangkala sehingga tidak menang tangan melayan karenah masing-masing. Mana lagi mahu menyediakan juadah untuk dihidangkan pada pagi hari raya.

Penat lelah sememangnya diketepikan kerana yang paling penting, kegembiraan, kegirangan dan emosi rindu yang sudah lama terpendam terubat.

Diyana menghiasi muka depan sisipan Sinarplus akhbar Sinar Ahad.

Bukan hanya kepada majoriti daripada kita melalui pengalaman indah begitu, malah perasan sama turut dirasai oleh penyampai radio TraxxFM, Diyana Hashim.

Kata Diyana, beliau tidak kisah jika perlu bersengkang mata berjaga sehingga larut malam semata-mata berbual kisah masa lalu.

“Raya kami memang kecoh! Masa tu semua pun nak bercakap, mana lagi hendak kemas rumah, budak-budak bermain bunga api dan ada pula yang memasak. Ada waktunya kelihatan seperti kelam-kabut, tetapi sebenarnya itulah yang dikatakan kemeriahkan menyambut Aidilfitri.

“Setahun sekali kita berpeluang untuk bersama ahli keluarga lain, berkunjung dan menziarahi antara satu sama lain, memang seronok. Kadangkala, pada waktu biasa mungkin masing-masing ada kekangan yang membataskan untuk bersua, jadi inilah masanya,“ katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Dalam keterujaan itu, Diyana berkata, beliau akan tetap memastikan tahap kesihatan ahli keluarga yang mencecah usia lebih separuh abad terjaga.

Dalam keluarganya, mereka mempunyai datuk dan nenek yang sudah menghampiri umur 80 tahun.

Situasi Covid-19 yang masih mencengkam biarpun negara sudah beralih ke fasa endemik juga membuatkan Diyana lebih berhati-hati.

“Semakin dewasa, saya mula sedar mereka (datuk dan nenek) sudah berusia dan memerlukan lebih perhatian. Disebabkan itu, pada tahun lalu kami sekeluarga bergilir-gilir menziarahi Tok (nama panggilan datuk Diyana) di kampung.

“Kami luangkan masa untuk bercerita dan mendengar keluh-kesah mereka. Jika dahulu saya berpendapat berbual dengan orang tua ini agak tidak seronok, tetapi sekarang ia merupakan satu detik yang bermakna dan meninggalkan banyak kenangan,“ kata beliau yang meraikan Syawal di Kemensah, Selangor.

Dalam pada itu, ditanya apa menu kegemarannya pada Hari Raya, jawabnya: “Tentu sekali rendang, ketupat, lemang, rendang, daging dendeng dan rosdet yang merupakan resipi turun-temurun keluarga.“

Luaskan kuasa

Bicara penulis dengan tuan punya badan pada pagi yang permai itu memang riuh dan tidak kering gusi. Mana tidaknya, telatah Diyana yang petah berbicara di samping ‘menghamburkan‘ lelucon amat mencuit hati.

Sikap tersebut nyata padan dengan tugasannya sebagai penyampai radio segmen Chill@Traxx yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 2 hingga 5 petang.

Tidak hanya itu, beliau turut berperanan sebagai penulis skrip program kanak-kanak di saluran TV2 dan aktif menjadi pengacara majlis.

Bercerita tentang hal kerjaya, Diyana memberitahu, ada kisah di sebalik mengapa dirinya memilih untuk berada di konti radio.

Tidak hanya berkhidmat sebagai penyampai radio, Diyana juga terlibat dengan penulisan skrip.

“Begini, selepas kehilangan seorang rakan baik pada tahun 2014, tiba-tiba saya sedar bahawa kehidupan ini terlalu singkat dan kematian boleh berlaku pada bila-bila masa. Disebabkan itu, saya mula memikirkan apa yang ingin dilakukan dalam hidup ini.

“Saya mahu mencari matlamat yang sebenar agar hidup saya tidak sia-sia. Tidak hanya untuk diri sendiri, malah saya dapat melakukan satu perkara yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Jadi, saya fikir ini (penyampai radio) adalah pilihan terbaik,“ kata wanita kelahiran Kuala Lumpur yang berusia 33 tahun itu.

Selepas lima tahun berada pada posisi hebat tersebut, Diyana meluahkan rasa teruja apabila beliau dipilih menjayakan sesi fotografi khas sempena Aidilfitri untuk akhbar paling berpengaruh, Sinar Harian.

Secara kebetulan, ia merupakan peluang pertama wajahnya muncul sebagai penghias muka depan sisipan.

“Bagi saya, ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan. Secara peribadi, awalnya saya seakan tidak percaya dan menganggap ia sebagai gurauan. Namun, setelah diberi peluang, saya rasa sangat gembira. Beginilah ya bagaimana artis-artis lakukan sesi fotografi dengan akhbar,“ ungkap wanita yang bermata bundar itu.

Seiring dengan peningkatan usia dan pengalaman yang direntas, Diyana berikrar akan sentiasa meluaskan pengaruhnya. Serentak dengan itu juga, dirinya akan terus berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri sebagai penyampai radio.

“Ya, setiap daripada kita mempunyai latar belakang berbeza yang membuatkan masing-masing mempunyai perspektif yang berlainan. Lantaran itu, saya perlu lebih berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan orang lain ketika berbicara,“ luahnya.

Kesedaran ADHD

Kata-kata Diyana tidak terhenti setakat di situ sahaja. Tegasnya, sebagai penyampai, tugas beliau bukan sekadar memutarkan lagu untuk menghiburkan masyarakat semata-mata.

Iklan

Radio kata personaliti berkenaan, adalah platform dan kelebihan terbaik dalam mendidik dan memberi pendedahan kepada khalayak tentang banyak perkara.

Sama juga dengan hal kesedaran mental yang kini semakin ligat dibicarakan secara terbuka. Tentu sekali, segelintir masyarakat masih melihat perkara tersebut sebagai satu ‘benda‘ yang sulit untuk dinyatakan.

Bagaimanapun, berbeza buat Diyana yang sedia berkongsi tentang keadaannya yang disahkan menghidap Sindrom Kurang Daya Tumpuan (ADHD) sejak tahun 2018.
Biarpun beliau positif dan terbuka menerima perkara itu, namun pada awalnya, empunya diri cuba menafikan hal tersebut.

Diyana bersama suaminya, Alex Lamy.

“Saya dapat merasakan ada sesuatu yang tidak betul (dalam diri). Jadi, saya cuba dapatkan rawatan dengan berjumpa psikiatri. Setelah disahkan mengalami ADHD, kami berbincang tentang langkah rawatan yang boleh dilakukan.

“Kemudian, saya kongsikan perkembangan itu dengan keluarga dan teman-teman. Ada yang memberi sokongan, tetapi tidak kurang juga yang memandang sinis,“ terangnya dengan nada perlahan.

Pun demikian, konotasi negatif yang diterima daripada kenalan terdekat tidak langsung meruntuhkan semangat.Sebaliknya, Diyana berusaha menyingkirkan jauh-jauh pernyataan yang menyebut bahawa memiliki ADHD merupakan satu kelemahan.

“Seandainya kita melihat perkara itu sebegitu (lemah), maka ia akan menjadi sama seperti yang dibayangkan. Oleh itu, cuba ubah cara pemikiran agar tidak terlalu negatif kerana bimbang akan memakan diri sendiri,“ jelasnya.

Enggan mengambil pusing dengan mereka yang berfikiran toksik, Diyana meluahkan rasa syukur kerana menerima sokongan padu daripada keluarga, suami dan teman rapat.

Iklan

Mereka sesekali tidak pernah menganggap beliau insan yang perlu diasingkan.
Suaminya sendiri, Alex Lamy cukup memahami dan menerima hal tersebut dengan hati terbuka. Masakan tidak, kedua-dua sudah saling berkenalan sejak tahun 2009 sewaktu masing-masing melanjutkan pelajaran di Universiti Hertfordshire, United Kingdom.

Sekian lama menyulam cinta, pasangan sehati sejiwa itu kemudian disatukan sekitar tahun 2018. Namun, sebelum diijab kabul dan sehingga mendirikan rumah tangga, kedua-duanya berhubung sebagai pasangan jarak jauh di antara Malaysia dan England sejak10 tahun lalu.

Tidak mungkin selepas didiagnosis dengan ADHD, pengarang jantung hatinya yang juga seorang komposer dengan mudah untuk berpaling.

Pada detik terakhir sebelum kami mengucapkan selamat tinggal, penulis sempat bertanyakan tentang bagaimana mereka berdua saling menjaga hati.

Tidak perlu mengambil masa yang lama, Diyana terus berkata: “Bohong jika saya katakan perkahwinan kami tiada masalah, ia sememangnya lumrah dalam hubungan. Justeru, pada saya, komunikasi sangat penting. Walaupun sudah berkahwin, tetapi kita tidak boleh anggap pasangan mengetahui apa yang kita fikirkan.

“Di samping itu, sikap mempercayai di antara satu sama lain juga penting. Pada masa sama, kami sedang memilih sama ada menetap di London atau Kuala Lumpur memandangkan Alex masih berulang-alik. Namun, saya dan suami memang mengambil keputusan untuk tinggal di Kuala Lumpur sahaja nanti.“

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI