SEBENARNYA, sudah lama SinarPlus berhasrat untuk mendapatkan Yulina Tan Jade yang aktif dalam sukan permotoran sebagai wajah Cover SinarPlus. Namun, hanya pada tahun ini, impian itu dapat dilaksanakan.

Tatkala bersua, secara automatik perkataan cantik, hebat dan berani terus terpacul dari mulut penulis. Sememangnya tiga sifat berkenaan memang cocok menggambarkan peribadi wanita kacukan Jepun-Tionghua itu.

Keramahannya juga membuatkan momentum sesi wawancara dan fotografi pada petang itu menjadi menarik.

JENTERA DUA RODA

Satu kekaguman penulis terhadapnya adalah, walau bertubuh kecil molek, ia bukan perintang besar kepada Yulina untuk mengendalikan jentera dua roda di litar serba mencabar.

Persoalannya, apa yang mendorong beliau untuk menjadi pelumba motor? Soalan yang bermain dalam benak sekian lama diajukan.

Jawab Yulina, pada asalnya, beliau hanyalah seorang gadis anggun memegang payung dan berdiri di sebelah kereta dan motor sambil bergaya.

Pun demikian, kecintaannya dalam arena berkenaan tidak terus bercambah. Hanya selepas dibawa melihat lebih dekat perlumbaan motor berkuasa tinggi, barulah dirinya jatuh cinta pandang pertama.

“Pertama kali dibawa melihatnya (perlumbaan), saya kagum dengan para pelumba yang cukup hebat. Saya lihat betapa seronoknya berlumba dan hal itu telah membuatkan saya terpesona. Semangat itu datang dengan sendirinya. Bagi saya, melihat perlumbaan motor di litar ibarat satu persembahan balet yang penuh karisma.

“Kemudian saya cakap pada diri yang saya akan cuba menunggang motosikal sama seperti mereka. Ya, langsung tidak terbayang dalam fikiran saya ketika itu yang suatu hari nanti saya akan berada di tempat yang sama dengan mereka,“ imbaunya sambil memberitahu, Kawasaki Ninja 250 merupakan motosikal berkuasa tinggi pertama miliknya dan digunakan untuk berulang-alik ke universiti.

WANITA KENTAL
Minat Yulina terhadap bidang yang didominasi oleh kaum Adam itu bukan sekadar cakap-cakap sahaja.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Politik Dunia) di Universiti Monash mengorak langkah serius dengan menyertai akademi di bawah kendalian pelumba Malaysia, Lee Ching Hooi sebelum meneruskan pembelajaran di Yamaha Champions Riding School (YCRS) pada tahun 2017.

“Di YCRS, saya banyak belajar mengenai sukan permotoran secara teori dan praktikal. Antaranya tentang teknik mengambil selekoh, menggunakan brek, peraturan dalam litar dan sebagainya,“ kata anak ahli perniagaan itu.

Tahun berikutnya, wanita kental tersebut mencuba nasib dengan menyertai perlumbaan di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka dan mendapat tempat pertama. Kemenangan itu telah menjadi pemangkin untuk beliau bergiat lebih aktif.

Sudah resam sukan permotoran yang terkenal dengan risikonya, Yulina mengakui terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan.

Antaranya pernah kemalangan, diselubungi tekanan emosi dan mental, selain kesukaran mendapatkan dana untuk meneruskan kerjaya profesionalnya sebagai pelumba.

“Namun, apabila wabak Covid-19 menular, tiada apa yang boleh dibuat. Justeru, saya lebih banyak bersukan di rumah termasuklah menunggang kuda.

“Pada masa sama, saya turut fokus mencari dana kewangan kerana sukan motor ini sangat mahal dan perlukan banyak usaha dan pengorbanan,“ katanya yang beriltizam menjadikan tahun ini sebagai masa terbaik untuk kembali ke gelanggang.

MELAYAN PERSEPSI
Bukan tidak pernah melihat wanita lasak, namun keayuan dan kejelitaan Yulina membuatkan penulis mempunyai banyak soalan untuk ditanya. Antaranya pastilah tentang persepsi keluarga, rakan taulan atau masyarakat mengenai kecenderungannya.
Memahami makna tersirat di sebalik kata-kata penulis, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu terus bersuara.

“Tidak dinafikan, apabila mencapai kejayaan, saya rasa gembira dan bangga. Namun, pada masa sama, saya turut dihujani dengan pelbagai komen negatif daripada ramai pihak. Nampaknya, ada yang masih kurang yakin dengan kemampuan seorang wanita dalam sukan permotoran dan ia kadangkala membuatkan saya seperti mahu berputus asa.

“Pun begitu, saya tidak marah, jauh sekali berkecil hati. Saya sedar, kaum lelaki lebih dominan dalam sukan ini. Sebab itu jugalah ada masanya saya berasa rendah diri. Namun, saya cuba bersangka baik dan sejujurnya sukan ini juga banyak mematangkan saya,“ katanya.

Mengenai penerimaan keluarga pula, Yulina berterus terang mengatakan, ibu dan bapanya cukup menentang keras.

Alasan mereka tidak lain tidak bukan, sukan berkenaan hadir dengan satu ‘pakej menakutkan‘ iaitu berbahaya, berisiko tinggi, boleh mencederakan dan meninggalkan parut sepanjang hayat.

“Sehinggalah mereka menyaksikan sendiri perlumbaan yang saya sertai dan melihat bagaimana mendalamnya kecintaan saya terhadap bidang ini. Walaupun pada perlumbaan tersebut saya jatuh dan cedera teruk, tetapi itu telah membuka pintu hati untuk terus menyokong,“ katanya penuh semangat.
Setakat ini ujar Yulina, tidak terlintas dalam kotak fikirannya untuk berhenti, tambahan tiada had umur yang ditetapkan.

Kepada SinarPlus, anak bongsu daripada dua beradik itu berkongsi jerih perihnya. Tutur beliau, sepanjang bergelar pelumba, beliau pernah beberapa kali dilanda kecederaan.
Pernah retak tulang pipi, patah tulang bahu, patah tangan dan paling menakutkan, anggota badannya pernah dimasukkan sembilan skru.

Iklan

“Selepas menjalani pembedahan, doktor nasihatkan supaya berehat selama enam bulan, tetapi tidak sampai dua minggu saya sudah paksa diri untuk menunggang motosikal. Sakit memang sakit, tetapi saya tahan dan lama-kelamaan saya sudah terbiasa. Pun begitu, percayalah walau parut luka masih berbekas, saya tetap setia di sini dan belum mahu berganjak,“ katanya.

PECINTA BUKU
Seperti yang disuarakan sebelum ini, sukan permotoran melibatkan kos yang tinggi.
Ungkapnya, jika wanita lain menggunakan wang yang ada untuk melancong, tetapi itu bukan dirinya.

“Ada juga rakan-rakan saya berlumba dalam dua hingga tiga musim saja, mereka sudah berhenti dan fokus pada famili. Nampaknya saya belum ke arah itu lagi.
Seperkara, Yulina sekeras-kerasnya menolak tanggapan bahawa seseorang wanita tidak boleh tampil menawan jika terlibat dalam platform sukan.

Bagi beliau, ia bergantung kepada individu itu sendiri bagaimana mencorakkan diri.
Menggali lagi tentang diri si cantik manis itu, Yulina sebenarnya tidak hanya ‘bercinta‘ dengan motosikal sahaja. Sebaliknya, beliau seorang suka membaca pelbagai genre buku terutama yang berkait dengan falsafah.

Maka, tidak hairanlah sepanjang sesi temu bual bersamanya, penulis cukup kagum dengan tutur bicara dan bait-bait katanya yang penuh makna mendalam.
Pada masa sama, empunya diri dengan nada perlahan berkata, beliau sedang dalam proses mencari erti kehidupan.

“Sebenarnya, banyak hal yang saya perlu belajar lagi. Saya juga mahu lebih matang, bijak membuat keputusan dan memahami diri sendiri. Saya akui, sebelum ini banyak kesilapan dan keputusan yang saya kesali.

“Sekarang fokus saya adalah untuk belajar menjadi lebih baik dan menjadi seorang yang lebih bersyukur serta menghargai apa yang ada,“ ujar beliau yang mengakui jiwanya sangat berseni.

Ditanya andai suatu hari nanti rezekinya bukan lagi tertulis di dalam bidang permotoran, apakah yang ingin dilakukan?

Iklan

MAHU REALISASIKAN  IMPIAN IBU

Jawabnya, beliau ingin melangkah ke fasa seterusnya iaitu merealisasikan impian ibu tersayang untuk tinggal di luar negara.

“Saya mahu menemani ibu saya ke Australia. Soal kerjaya, rasanya belum terfikir lagi. Saya mahu penuhi impian ibu dan menjaga dia, sekali gus memberikan kegembiraan buatnya.

“Ini juga saya anggap pemberian hadiah bermakna buatnya memandangkan sebelum ini hubungan kami renggang kerana saya lebih fokus mengejar cita-cita sendiri,“ ulasnya.
Namun, itu semua pelan masa depan. Buat masa sekarang, tutur Yulina, kerjayanya kini mendapat restu dan sokongan daripada ahli keluarga.

Sehubungan itu, apa yang orang lain mahu cakap, terpulang kepada mereka. Dengan nada tegas, tuan punya badan berkata, beliau mahu terus kekal dengan prinsip untuk mengabaikan kata-kata nista manusia.

Apa yang diungkapnya memang benar. Orang lain boleh bercakap apa sahaja, sedangkan mereka tidak mengenali jati diri dan gagasan kita yang sebenar.

“Mereka di luar sana tidak pernah melalui apa yang saya lalui. Saya juga jenis yang tidak cepat mengalah,“ katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan