PADA zaman yang serba canggih ini, ilmu tidak hanya boleh diraih dengan cara membaca bahan bacaan ilmiah semata-mata. Menonton televisyen dan mendengar radio juga boleh dijadikan sebagai penghubung untuk mendapatkan segala informasi yang diingini.

Itulah yang menjadi sasaran penyampai radio Zayan, Anas Tahir, sekali gus melaksanakan amanat yang sudah memasuki tahun keempat bersama stesen berkonsepkan kerohanian.
Beritahu Anas, bukan mudah untuknya mengendalikan segmen Salam Bros bergandingan bersama bekas juara Akademi Fantasia musim ketiga, Mawi.

Dengan sifat pemalu dan merendah diri yang menjadi simbol diri beliau, lelaki kelahiran Leicester, England itu, bagaimanapun bersyukur kerana sudah melihat transisi ketara dirinya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih dengan peluang yang ada. Sejujurnya saya seakan tidak percaya mampu sampai sehingga ke tahap sekarang kerana tidak mempunyai pengalaman mengendalikan radio.

“Awalnya saya sudah mengatakan tidak boleh untuk melakukan tugas sebagai penyampai, tetapi Mawi terus memberi sokongan dan tunjuk ajar sehinggalah beberapa bulan kemudian, saya sudah selesa dan yakin untuk bersiaran,“ terangnya sambil ketawa.
Pendekatan saling melengkapi di antara dirinya dan Mawi telah banyak mendorong mereka sering bertukar-tukar idea dan pendapat.

Anas gembira diberi peluang untuk menjadi penyampai radio ZayanFM.

Paduan itu ungkap Anas, diharap mampu membuatkan mereka menyaingi stesen radio lain, memandangkan segmen yang dikelolakan bermula dari jam 6 hingga 10 pagi, lazimnya menjadi nadi utama kepada setiap radio.

Menjawab mengenai persaingan, Anas mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki dan diperjuangkan, sementelah Zayan sendiri baru ditubuhkan sekitar tahun 2017.

“Tidak dinafikan (persaingan) itu agak sengit apatah lagi kami membawakan konsep Islamik. Namun, insya-ALLAH, niat kami untuk menyokong, mengajak dan berkongsi ilmu tentang persoalan dalam agama Islam dapat diteruskan," katanya.

Soal hati

Apabila bercakap tentang hukum-hakam agama, ia bukan satu tugas yang mudah apatah lagi bagi mereka yang imannya hanya senipis kulit bawang. Kefahaman yang mendalam perlu agar ilmu yang dikongsikan tidak terpesong, apalagi terdorong ke arah kemungkaran.

Sedar akan situasi itu, Anas sentiasa merujuk buku ilmiah dan al-Quran. Membaca karya nukilan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi yang isinya banyak bercakap tentang hati juga, antara yang menjadi kegemarannya.

Hati kata Anas, bukan sahaja menguasai perasaan manusia, malah mengandungi pelbagai emosi. Kalau dilihat kepada prosa Melayu pun, banyak perkataan 'hati' digunakan. Antaranya seperti buah hati, iri hati, sakit hati, berat hati, buta hati dan banyak lagi, kata beliau.

Setiap ilmu yang diperoleh daripada buku tersebut juga banyak membantu memelihara hatinya agar jauh daripada prasangka buruk terhadap orang lain. Sering merasa diri sempurna sehinggakan ego mengeluarkan kata maaf, mudah tersinggung dengan teguran dan berpendapat hanya diri jauh lebih hebat, antara sifat yang ingin dijauhi Anas.

Anas akui dirinya kerap dibandingkan dengan penyanyi popular, Faizal Tahir yang juga merupakan abang beliau.

“Hati banyak memainkan peranan membentuk sifat manusia dan hati juga menjadikan seseorang itu sabar dalam menghadapi segala ujian. Sudah fitrah manusia setiap daripada kita akan berdepan dengan pancaroba dunia.

“Sekiranya seseorang tidak mengharungi sebarang cabaran dalam hidup, itu maknanya mereka bukanlah makhluk hidup. Sedangkan haiwan dan tumbuhan juga mengalami masalah kepupusan dan kemusnahan alam, ini kan pula manusia.

“Arwah ayah juga selalu pesan agar jangan lalai dan lupa dengan al-Quran, sekurang-kurangnya bacalah waima satu helaian. Jika tidak sempat, membaca tafsir atau makna pada setiap ayat, sudah memadai agar hati kita tetap terpelihara,“ terang Anas dengan nada perlahan ketika mengenang pesan ayah, Allahyarham Dr Mohd Tahir Abdul Rahman yang meninggal dunia sekitar September lalu.

Apabila bercakap tentang dugaan hidup, Anas mengakui beliau tidak dapat lari daripada dibayangi oleh imej abangnya, Faizal Tahir. Pandangan tersebut begitu ketara apabila kedua-duanya berkecimpung dalam satu ‘periuk nasi‘ yang sama.

Anas vs Faizal

Biarpun berbeza aliran yang mana Faizal lebih fokus dalam bidang nyanyian, manakala Anas bertindak sebagai penyampai radio dan aktif dalam dunia lakonan, tetapi khalayak dilihat seperti tidak berpuas hati dengan kehadirannya.

Adakah kerana populariti beliau tidak setanding dengan Faizal? Bagai ditelan mati mak, diluah mati bapa. Hakikat bahawa dirinya sedarah, sedaging dengan Faizal memang tidak mampu disangkal.

Apa pun kata selebriti itu: "Saya serahkan segalanya kepada ALLAH dan pada masa sama bersabar."

Penulis memberi ruang kepada Anas untuk menarik nafas sedalam-dalamnya. Karakter yang sebelum itu gemar berjenaka dengan kata-kata lelucon ketika kami berbual secara tiba-tiba berubah.

Anas dan isteri sentiasa berdoa agar dikurniakan zuriat setelah sembilan tahun berumah tangga.

Melihat kepada raut wajah anak seni berusia 38 tahun itu, seperti ada perkara yang sulit untuk dirungkaikan.

Selang beberapa minit, Anas berkata: "Saya terkilan dan terasa apabila mereka mengatakan seolah-olah saya bergantung hidup kepada Faizal sepenuhnya.

"Sedangkan masing-masing mempunyai kehidupan sendiri. Saya juga berusaha keras seperti yang lain.“

Baginya, apa yang disuarakan bukan bermaksud beliau memiliki hubungan dingin dengan Faizal, tetapi hanya sekadar luahan rasa hati sahaja.

Biarpun memiliki tujuh adik beradik, Anas mungkin menjadi mangsa keadaan kerana berada sealiran dengan kerjaya abangnya itu.

Dalam pada banyak menerima kata-kata pedas di hujung telinga, beliau tetap menjaga hubungan kekeluargaan agar terus utuh walau cubaan datang menimpa.

“Saya anggap ini sebagai ujian dan menyerahkan segalanya kepada ALLAH. Walaupun ada yang mengatakan saya seperti ‘makan hasil‘ Faizal, itu semua terserah kepada mereka.

"Menjaga hati semua orang itu sukar kerana setiap daripada kita mempunyai pandangan berbeza-beza. Maklumlah rambut sama hitam, hati lain-lain,“ jelas beliau.

Anas yang bakal muncul dengan filem baharu bertajuk Hantu Kuat Ketawa arahan Mawi bertekad untuk terus membiarkan sahaja khalayak bermain kata.

Secara peribadi, dirinya tetap berusaha sendiri untuk memberi yang terbaik dengan kerjaya sebagai penyampai radio mahupun dalam pentas lakonan.

Perihal zuriat

Perbualan bersama Anas yang ditemui pada acara Makan Tengah Hari Bersama Penyampai Radio Zayan baru-baru ini kemudiannya dilanjutkan dengan kisah rumah tangganya.

Melihat kepada akaun Instagram Anas, beliau kurang berkongsikan hal peribadi melainkan tentang diri sendiri sahaja.

Kepada penulis, Anas yang pernah menganggotai kumpulan nasyid Firdaus secara terbuka bercerita tentang kebahagiaannya dengan isteri, Sakinah Rohaizat, 35.

Katanya, beliau mengenali Sakinah ketika sama-sama bersekolah di Sekolah Rendah Islam Al-Amin. Ketika itu, Anas berada di darjah tiga, manakala isterinya darjah satu. Hubungan tersebut terus terjalin sehinggalah mereka mengikat tali perkahwinan pada tahun 2012.

Setelah sembilan tahun berumah tangga, pelakon itu menerima banyak pertanyaan tentang zuriat.

Seperti katanya, pelbagai usaha telah dilakukan, namun rezeki masih tidak berpihak.
Baik Anas mahupun isteri, beliau mengatakan segalanya itu sudah menjadi takdir ALLAH buat mereka.

"Kami perlu reda dan berserah kepada ketentuan ILLAHI. Kami telah pun mendapatkan nasihat pakar dan melakukan pemeriksaan kesihatan. Hasilnya positif kerana saya dan isteri tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendapatkan zuriat.

"Benar ada yang bertanyakan itu dan ini, tetapi kami tidak tertekan atau tersinggung kerana ini semua kuasa ALLAH, tiada siapa mampu menyangkal.

“Biarpun sudah sembilan tahun berkahwin dan masih belum dikurniakan cahaya mata, kami tetap bersabar. Ada juga menyarankan untuk melakukan rawatan IVF (Persenyawaan In-Vitro), tetapi kosnya agak tinggi dan kami masih belum terfikir ke arah itu. Insya-ALLAH apabila DIA berkehendakkan sesuatu ia tetap akan berlaku juga,“ katanya.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI