Solat dan doa jadikan Siti Murni pada hari ini. Jenamanya terus meledak, idea terus melimpah

ALAM semesta yang dikuasai dengan keesaan dan kekuasaan ALLAH SWT membuatkan Siti Murni Abdul Aziz kembali mengaudit dirinya.

Dirias cantik untuk muncul di layar kaca untuk membaca berita pada waktu perdana, namun hakikatnya, gelodak jiwa empunya diri hanya DIA yang tahu.

Slaid kehidupannya seperti dipalu ombak. Ada sahaja tidak kena. Perasaan yang meledak itu bukan bersifat interim. Hampir dua dekad berbekam dalam terminal hati.

“Hala tuju kehidupan yang ALLAH atur untuk setiap manusia tak sama. Menjadi wartawan itu merupakan cinta saya, suka gila, tetapi satu saja, saya gagal untuk jaga solat.

Waktu itu saya fikir kenapa ALLAH uji dengan lambakan masalah. Kewangan berterabur, duit negatif, akaun kena beku dan hubungan dengan pasangan haru-biru. Saya fikir, bagaimana mahu ubah takdir dahsyat ini? Akhirnya, jawapan yang saya temui adalah konsistensi dalam bersolat,” katanya kepada penulis pada sesi fotografi eksklusif bersama SinarPlus di Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Selepas mencerakin dan mempertimbangkan banyak hal, satu keputusan besar terpaksa diambil. Siti Murni yang merupakan antara personaliti terkenal di sebuah stesen televisyen menghulurkan surat peletakan jawatan.

‘Huru-haralah’ sekejaplah bilik berita. Masakan tidak, namanya sedang elok berada di puncak, tiba-tiba beliau mengundurkan diri.

Apapun tanggapan, pujukan ataupun interprestasi orang, dirinya perlu ampuh. Tiada istilah berganjak daripada pertimbangan yang telah dibuat, kata wanita penerima lambakan anugerah berusia 36 tahun itu.

Tak nak hidup susah

Pada tahun 2018, bermulalah satu episod baharu Siti Murni. Selari dengan jati diri sebagai anak jati Kelantan yang suka berniaga, beliau mempertaruhkan tudung sebagai produk yang mahu dijual.

“Bila saya bersiaran di kaca televisyen, orang tanya pakai tudung apa? Saya pula sejenis yang alah dengan kerongsang, jadi saya reka sendiri dan panggilnya sebagai tudung cekak. Selepas itu, ramai pula berminat.

“Kalau diikutkan saya sudah berniaga sejak dari zaman wartawan lagi, namun kecil-kecilan saja sebelum nekad melebarkan empayar,” ujar bekas model itu.

Kata personaliti berbudi bahasa itu, beliau berasakan keharuan yang luar biasa tatkala melihat jenama SITIMURNI semakin menjadi.

Melihat momentum berkenaan, beliau yang masih sekali-sekala membaca berita ketika itu terus melepaskan tugasan tersebut secara total.

“Tempahan online yang saya terima beribu-ribu. Oleh kerana masih belum ada pekerja, saya seorang diri yang bungkus dengan anak kecil saya, Nur Irfan Wafiy yang kini sudah berusia 10 tahun tidur di paha ibunya. Suami pula ambil tanggungjawab mengepos,” katanya melepaskan keluhan.

Sebelum kami terus berdialog, penulis mencelah seketika. Di mana beliau memperoleh kekuatan untuk menjalankan perniagaan sedangkan cabarannya yang datang bukan biasa-biasa?

Seawal bicara, akuinya, modal yang digunakan cuma RM1,000, tambahan segala operasi perniagaan pula dilakukan di rumah.

Berikut jawapannya yang membuatkan mata penulis terbeliak: “Sebab saya tak nak hidup susah. Keberanian itu ada sebab kehidupan saya susah sangat, asyik-asyik telefon mak nak pinjam duit.

“Sampai bila? Kita sebagai anak nak bantu famili dan bagi kesenangan kepada mereka, tapi pada waktu itu diri kita sendiri tidak terbantu.”

Beritahu Siti Murni, pada saat mereka tiada apa-apa, nasihat daripada jutawan internet, Irfan Khairi melekat dalam minda.

Beliau pesan satu perkara, buat saja walau untung hanya RM1. Itu petanda positif. Masuk sikit (wang) kita kena bersyukur,” imbaunya.

‘Eskapisme’ dari dunia penyiaran ke bisnes sememangnya berbaloi. Pengarah Siti Murni Holdings Sdn Bhd itu kini sudah boleh menambat kegembiraan apabila segala yang direncana dalam bisnes dipermudahkan.

Dirinya sangat bersyukur apabila YANG MAHA ESA memberi peluang kepadanya berasakan pengalaman baharu yang cukup bererti.

Daripada tudung cekak, SITIMURNI mempelbagaikan produk seperti tudung bawal dan instant, inner, kaftan, beg, sarung tangan Muslimah, sejadah dan aksesori tudung.

Empunya diri tidak hanya berpeluk tubuh selepas itu. Beliau tahu, tiada prestasi yang diraih tanpa bermalas-malasan.

Justeru, pada setiap hari tanpa ada perasaan muak, Siti Murni mengadakan penstriman langsung di laman sosial untuk menjual barisan produknya.
Tuturnya, tidak kisahlah berapa orang tonton, waima, seorang pun, beliau tetap bersiaran.

“Sesetengah orang akan rasa down bila view turun, tapi saya akan buat saja kerana yakin sale akan tetap masuk,” kata beliau yang akan menjual sebarang item berdasarkan apa yang dipakai dan disukainya sahaja.

Bendung keresahan

Seperti kata pujangga, setiap orang punya cerita, titik fokus yang hendak dituju, pandangan dan cara masing-masing.

Pun demikian, sempurna mana hidup seseorang, bagai permukaan rembulan yang tidak rata, pasti ada kekurangan di sana sini.

Begitu juga dengan Siti Murni yang pernah dihurung dengan masalah keresahan berpanjangan.

“Keresahan (anxiety) saya membuatkan saya berdebar-debar. Dari segi logiknya, ia terjadi kerana kita banyak berfikir.

Iklan

“Permasalahan itu selalu meletus semasa saya masih lagi bergelar pengamal media. Hari-hari berdebar-debar dan rasa gemuruh itu sukar saya nak gambarkan,” akuinya tanpa menyembunyikan kebenaran.

 

Sekali lagi kata Siti Murni, solat telah menyelamatkannya. Jika tidak, pada setiap petang emosi destruktif itu terus-menerus menguasai diri.

Sesunggguhnya, solat mengandungi falsafah atau hikmah tersendiri. Amatlah daif pemikiran jika ada yang menganggap ibadah tersebut mengganggu rutin tugasan seharian, katanya.

“Alhamdulillah, saya sudah 90 peratus pulih daripada masalah keresahan. Setiap hari saya berkomunikasi dengan ALLAH. Sesekali perasaan itu datang menerpa, tanpa berlengah saya akan solat dan berdoa. Saya akan menangis sepuas-puasnya untuk melepaskan semua,” akuinya.

Melihat kronologi kehidupannya bagai angin berputar ombak bersabung sebelum berada pada kedudukan sekarang, Siti Murni ditanya apa hal yang suka dilakukan kini?

“Saya suka makan. Dulu saya tiada duit. Saya masih ingat lagi masa buat liputan menteri dan kemudian wartawan diajak berbuka puasa di hotel. Dalam hati saya terdetik dan berdoa agar suatu hari nanti saya dapat makan sedap macam ini pada setiap hari dengan wang sendiri. Masya-ALLAH, DIA mendengar dan beri rezeki itu,” katanya dengan mata berkaca.

Sudah resam orang berwang, pembelian beg beribu-ribu bukan satu masalah besar. Bahasa mudahnya, petik jari sahaja.

Namun, beritahu Siti Murni, dirinya tiada nafsu untuk benda sebegitu.

“Kalau pergi membeli-belah, suami akan bawa ke butik. Namun, saya tiada nafsu langsung nak beli. Saya tak berminat item berjenama.

Saya pernah beli beg bernilai RM20,000, tiba-tiba saya rasa membazir saja. Bukan apa, kalau difikirkan balik, beg puluhan atau ratusan ringgit pun boleh simpan macam-macam,” selorohnya sambil tertawa besar.

Pun begitu, ujar Siti Murni, beliau ‘pantang’ kalau melangkah ke kedai makan. Kalau boleh, semua sajian mahu dibelinya.

Iklan

Peminat segala macam makanan pedas itu juga memberitahu, meskipun ALLAH sudah meminjamkannya sedikit harta, tiada istilah untuk mempunyai pembantu rumah.

Kata wanita berkarisma itu, belahan jiwanya, Hisham Salleh, 42, seorang yang pembersih. Seperkara, anak kecilnya seperti sudah mewarisi sikap si ayah.

Apabila menyentuh soal cahaya mata, lantas penulis teringat dengan kisah satu pasangan negara jiran yang membuat pengakuan terbuka tentang pendirian mereka yang tidak mahu memiliki anak. Alasannya, boleh bebas melakukan apa sahaja dan dapat tidur yang mencukupi.

Respons yang disuarakan Siti Murni cukup berdiplomasi. Seperti menyusun perbendaharaan kata, usahawan itu bersuara: “Begini, kita tidak berada di tempat mereka, jadi kita tak tahu apa yang mereka lalui, jadi kita tak boleh jadi hakim.

Namun, pada perspektif saya, anak itu rezeki. Kalau tak cukup masa, kita kena atur masa itu. Masa saya sedang baru nak naik, Wafiy lahir. Dia bukan bebanan saya, sebaliknya saya rasakan saya yang menumpang rezeki si kecil ini.”

Sesungguhnya, perbualan santai penulis dengan Siti Murni selama lebih sejam sebenarnya telah menimbulkan rasa rawan dalam atma penulis.
Tidak keterlaluan untuk dirumuskan, beliau seorang petarung wanita sejati yang berjiwa besar.

Justifikasi dan obligasi jujur yang ditumpahkan dalam menyusun tematik hidupnya berbalas dengan kebaikan.

Aliran ceritanya juga membuktikan kepada kita bahawa ALLAH akan memberi kurnia yang terbaik kepada hamba-NYA, meski terkadang harus melewati ujian berat hingga bermandi peluh.

BACA JUGA: Zara Zya mahu kaum Hawa kental dan ‘kena mahal’. Pelakon jelita ini juga sedia bertukar status

BACA JUGA: Mun Yee kini fokus sebagai jurulatih, mahu bina akademi renang demi lahirkan atlet pelapis sukan terjun