2 minggu kahwini kekasih zaman sekolah, penyerang Liverpool Diogo Jota maut kemalangan tragis. Hantaran terakhir undang sebak. 'Ya, selama-lamanya'

PEMAIN kebangsaan Portugal berusia 28 tahun, Diogo Jota meninggal dunia secara tragis dalam satu kemalangan jalan raya di Sepanyol.
Difahamkan, Jota yang memandu Lamborghini bersama adik lelakinya, André Silva, 26, yang juga seorang pemain bola sepak kebangsaan Portugal, terbabas keluar dari lebuh raya A‑52, Zamora.
Nahas itu dipercayai oleh tayar meletup semasa cuba memotong sekali gus menyebabkan kereta terbakar serta‑merta.
Kedua‑dua mereka disahkan meninggal di tempat kejadian, walaupun pihak penyelamat tiba dengan pantas.

Jota yang baharu sahaja menikah dua minggu lalu dengan pasangannya, Rute Cardoso, sempat menitipkan rasa gembiranya selepas berjaya disatukan.
"Ya, selama-lamanya,"tulisnya di X.
Jota berkahwin dengan pasangan cinta monyetnya di Portugal. Mereka yang memiliki tiga cahaya mata difahamkan sudah lama menjalin kasih dan merupakan pasangan sejak zaman sekolah.
Mereka mula bercinta pada tahun 2013, ketika Jota baru mula melakar langkah awal dalam kerjaya bola sepaknya.

Ketika Jota mendaki dari Paços de Ferreira ke FC Porto, kemudian ke Wolverhampton Wanderers, dan akhirnya mencapai kegemilangan bersama Liverpool, Cardoso tidak pernah jauh.
Wanita itu sentiasa setia di sisi. Dalam diam tanpa mengejar perhatian tetapi teguh menyokong di belakang tabir.
Bagi mereka yang mengetahui kisah mereka tahu, Cardoso sumber kekuatan buat mendiang. Tentu baginya kehilangan Jota bukan sahaja sebagai suami, tetapi kawan lama yang sejati.
Jota yang memakai jersi nombor 20 itu dalam satu temu bual media selepas hari bahagianya 22 Jun lalu menggambarkan dirinya sebagai lelaki paling bertuah di dunia.

Berkongsi detik itu dengan dunia di Instagram, Jota menyebutnya sebagai “satu hari yang tak akan kami lupakan.”
Tiada siapa menyangka betapa kata-kata itu umpama memberi petanda kejadian yang memilukan.
Sekadar info, mendiang mula beraksi untuk Liverpool sejak 2020, menjaringkan 65 gol dalam 182 perlawanan.
Beliau juga merupakan pemain penting buat pasukan kebangsaan Portugal dengan 49 caps dan 14 gol serta pernah memenangi Nations League sebanyak dua kali (2019 dan 2025)
Berita pemergian dua beradik itu membuatkan dunia bola sepak berduka. Banyak pihak seolah‑olah tidak percaya kehilangan mereka termasuk Cristiano Ronaldo, Jurgen Klopp, UEFA dan juga pemimpin Portugal.
Pentas Euro 2025 senyap beberapa minit bagi penghormatan kepada dua pemain berbakat itu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang