Jangan lupa follow kami di Instagram!

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Tidak keterlaluan jika penulis menyifatkan bidalan lama itu ideal buat atlet Hidilyn Diaz.

Masakan tidak, beliau sama sekali tidak menyangka rezeki berpihak kepadanya apabila berjaya meraih emas pertama buat Filipina bagi acara angkat berat kategori 55 kilogram (kg).

Pun begitu, siapa sangka di sebalik kejayaan dikecapi rupa-rupanya wanita berusia 30 tahun tersebut menjalani latihan di Malaysia sebelum meniti jambatan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ya benar! Difahamkan Diaz mula menetap sementara di negara ini sejak Februari 2020.

Beliau telah menjalani latihan di Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Kampung Kesang, Jasin, Melaka.

Ini disebabkan jurulatihnya, Gao Kaiwen dari China berpendapat adalah lebih baik beliau berlatih di Malaysia bagi memberikan tumpuan sepenuhnya untuk layak ke temasya sukan terbabit.

Bahkan, atlet wanita berkenaan juga menerima suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia.

Biarpun berdepan pelbagai rintangan sepanjang menjalani sesi latihan dek pandemik Covid-19, namun ia sedikitpun tidak melunturkan semangat Diaz.

Disebabkan gimnasium di Kuala Lumpur ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka Diaz dan pasukan berpindah pula ke rumah salah seorang pegawai persatuan angkat berat Malaysia di Jasin.

Pada awalnya beliau berlatih di gimnasium berhampiran, tetapi selepas larangan pergerakan diperketatkan lalu peralatan latihan terpaksa disusun di tempat letak kereta rumah tersebut.

Ternyata usaha dan komitmen yang ditumpahkan Diaz tidak sia-sia apabila beliau berjaya memenangi emas pertama, sekali gus mengharumkan nama Filipina di mata dunia.

Iklan

Secara ringkas, Diaz merupakan anggota Tentera Udara Filipina dan anak kepada pengayuh beca dari sebuah kampung berhampiran pelabuhan Zamboanga, di selatan Mindanao.

Reputasi atlet wanita tersebut amat baik yang mana beliau pernah memenangi emas pada Sukan Asia di Indonesia dan Sukan SEA Filipina pada Disember 2019.

Iklan

Sebelum ini, Diaz meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2015. Kejayaan manis itu sejarah buat Filipina selepas 87 tahun.

Semoga kecemerlangan yang dikecapi Diaz menyuntik semangat khususnya dalam kalangan generasi muda supaya tidak lelah dan sentiasa berusaha mengejar impian.

Sumber: Manila Bulletin