Imam Muda Asyraf kongsi pesanan PU Rahmat, minta tenangkan ibu: 'Kalau tak di dunia, jumpa di syurga'

No Image Caption
A
A
A

SETIAP ibu bapa menginginkan berita yang menggembirakan tentang anaknya. Namun, dalam perjuangan kemanusiaan, tidak semua kepulangan disambut dengan senyuman, ada juga yang penuh air mata dan doa. 

Itulah yang cuba dilakukan oleh PU Rahmat sebelum dirinya ditahan tentera Zionis ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke G4z4. Sebelum segalanya berlaku, beliau sempat menitipkan pesanan yang meruntun jiwa kepada sahabatnya, Imam Muda Asyraf.

Dalam temu bual bersama Bernama Radio, Asyraf menceritakan bahawa Rahmat meminta agar rakan-rakan menenangkan hati ibunya.

 “Dia pesan supaya jangan sampaikan khabar yang menakutkan. Katanya, beritahulah ini sebuah kemenangan, bukan kekalahan. 

"Ceritalah ia misi penuh kebaikan, bukan keganasan. Alhamdulillah, setakat ini pun kita memang tidak nampak unsur keganasan,” katanya. 

No Image Caption

Pesanan itu cukup menggambarkan sisi seorang anak yang tidak pernah melupakan ibunya walaupun berada di medan penuh risiko.

Menurut Asyraf, sekitar jam 4.30 pagi, Rahmat sempat mengirimkan kata-kata terakhir. 

“Dia minta maaf, kirim salam, pesan supaya jaga mak, jaga diri, dan dia mohon doa.

"katanya, kalau tak jumpa di dunia, jumpa di syurga,” ujarnya. 

HIMPUNAN SOLIDARITI

Ungkapan itu jelas menunjukkan keteguhan hati seorang pejuang yang reda dengan segala kemungkinan demi membela nasib rakyat P4lestin.

Sejurus berita penahanan sukarelawan tersebar, rakyat Malaysia segera menyatakan sokongan.

Imam Muda Asyraf sendiri hadir ke himpunan solidariti di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada Khamis tengah hari, sebagai tanda bantahan terhadap tindakan Israel menyekat pelayaran flotila kemanusiaan itu. 

No Image Caption

Himpunan tersebut bukan sekadar laungan protes, tetapi lambang solidariti rakyat yang tidak mahu perjuangan kemanusiaan dipadam begitu sahaja.

Dalam kenyataan rasmi, Wisma Putra mengesahkan semua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai flotila itu berada dalam keadaan selamat dan akan dibawa pulang melalui sebuah negara ketiga. 

Kerajaan Malaysia turut menegaskan penahanan oleh rejim Zionis adalah tidak sah serta menuntut pembebasan segera semua peserta. Mereka menekankan agar sukarelawan dilayan dengan penuh hormat selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Walaupun berada dalam situasi getir, pesanan Rahmat tetap memberi kekuatan. 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang