Kejam! 7 tahun noda 20 pelajar pondok atas alasan 'menyuci rahim,' mangsa 'walid' sebenar bersuara lepas tonton Bidaah

SIAPA sangka drama berantai Bidaah yang tular dengan dengan watak Walid membongkar satu kisah sebenar yang mengerikan seumpama jalan ceritanya.
Dalam kes yang berlaku Lombok Barat, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, 'walid' tersebut adalah pengerusi yayasan dan ketua pondok.
Difahamkan, lelaki bertopengkan agama itu dikenali sebagai AF telah menodai dipercayai 20 orang penuntut di sana dengan alasan untuk menyucikan rahim agar mereka dapat melahirkan anak-anak yang menjadi wali.
Wakil Gabungan Anti Keganasan Seksual, Joko Jumadi, berkata jenayah itu dilakukan pada waktu malam. Difahamkan, ada yang pernah melakukan hubungan seksual manakala yang lain pernah mengalami penderaan seksual.
"Siasatan mendapati keganasan seksual itu dilakukan oleh di dalam bilik pada waktu malam.
“Ini bermakna orang yang dicabul itu tidak mahu melakukan hubungan intim,” jelas Joko.
Difahamkan, perbuatan sumbang itu berlaku dari tahun 2016 hingga 2023. Malah, ada dalam kalangan mangsa sudah menamatkan pengajian dari pasentren itu.
Beliau juga mendedahkan fakta daripada Ketua Badan Perlindungan Kanak-Kanak bahwa sehingga kini terdapat 20 pelajar perempuan yang mengaku menjadi mangsa.
Bagaimanapun, daripada jumlah itu, hanya tujuh mangsa telah menjalani pemeriksaan dan membuat laporan rasmi kepada polis.
BIDAAH BUKA MATA MANGSA

Kes itu terbongkar selepas sebilangan mangsa menonton drama Bidaah yang menampilkan watak Walid iaitu ketua mazhab sesat yang mengaku sebagai Imam Mahdi dan menipu serta melakukan hubungan intim dengan pengikutnya dengan alasan agama.
“Disebabkan drama Walid, mereka berani bersuara,” kata Joko.
Persamaan watak Walid dengan pengalaman di pondok pesantren pimpinan AF itulah yang akhirnya mendorong pelajar perempuan terbabit melaporkan perbuatan tercela itu kepada Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA) Polis Mataram.
Difahamkan, pihak pengurusan pondok pesantren telah mengambil tindakan tegas dengan memecat AF daripada jawatannya sebagai ketua yayasan dan tenaga pengajar.
Buat masa ini, polis telah menyoal siasat beberapa saksi mangsa dan menjalankan siasatan di tempat kejadian. Sementara itu, Gabungan Anti Keganasan Seksual Hentikan NTB memberi tumpuan kepada usaha pemulihan psikologi untuk mangsa.
Sementara itu, menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Mataram, AKP Regi Halili, berkata lelaki berusia itu mengganggu pelajar perempuannya di lokasi berbeza dan ia masih dalam siasatan.
Katanya, mangsa sebelum ini tidak berani melaporkan kejadian itu. Bagaimanapun, dengan tularnya siri Bidaah di media sosial, mereka terdorong untuk melaporkan keganasan seksual berkenaan kepada polis.
Dalam perkembangan terkini, tinjauan media tempatan mendapati pelajar lelaki dan perempuan pesantren berkenaan telah diarahkan pulangkan ke rumah masing-masing kecuali pelajar yang berulang-alik kerana menghadapi peperiksaan.
PERKARA PERLU DILAKUKAN MANGSA PERKOSA/ GANGGUAN SEKSUAL

Kebanyakan kes perkosaan tidak dilaporkan kerana mangsa terlalu terkesan dan malu untuk memberitahu ataupun telah diugut untuk tidak membuat laporan. Ia perlu dilaporkan dengan kadar segera agar hukuman yang sepatutnya boleh diambil ke atas pelaku.
1-Bertenang dan jangaan salahkan diri sendiri. Sedari bahawa anda adalah mangsa.
2-Pergi ke tempat yang selamat dan beritahu orang yang dipercayai.
3-Buat laporan polis dengan segera.
4-Lakukan pemeriksaan kesihatan secepat mungkin untuk mendapatkan bukti kukuh. Jangan tunggu hingga lebih 48 jam.
5-Elakkan mandi atau membersihkan diri sebelum membuat pemeriksaan kesihatan.
6-Jangan tukar pakaian, mencuci alat sulit atau membersihkan tempat diserang bagi membantu pengumpulan bukti.
7-Jangan pergi seorang diri sebaliknya bergerak dengan orang yang dipercayai.
8-Dapatkan bantuan profesional untuk menangani tekanan emosi, keslamatan dan kesihatan anda.
Sumber: Gelora, Detik, Antaranews, LPPKN
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang