Melampau! Doktor O&G ambil kesempatan, cabul pesakit hamil ketika ujian imbasan. 'CCTV rakam tangannya...'

DOKTOR adalah orang yang dipercayai, apatah lagi khidmat mereka tertakluk kepada etika dan profesionalisme. Namun seorang pakar obstetrik dan ginekologi (O&G) lelaki di Garut, Jawa Barat, Indonesia ini sedang hangat diperkatakan di media sosial. Ini kerana dia disyaki melakukan gangguan seksual ketika memeriksa ke atas pesakit hamil.
Menerusi video berdurasi 44 saat yang tular di X, perlakuan sumbang doktor berkenaan ke atas pesakitnya ketika melakukan ujian imbasan jelas dirakam video kamera litar.
Tidak beretika dan mengambil kesempatan, 'doktor terlampau' itu dilihat menyentuh bahagian payudara pesakit!
Tuduhan itu pertama kali disampaikan menerusi laman sosial Facebook oleh pengguna bernama Silva Lee, pada 14 April lalu.
Menurut Silva identiti mangsa dirahsiakan dan wanita itu mengalami trauma.

"Doktor memasukkan jarinya ke dalam coli saya dengan alasan untuk memeriksa bahagian atas perut saya,” kongsi mangsa.
Bukan itu sahaja, mangsa turut mengaku doktor berkenaan ada menawarkan perkhidmatan bersalin peribadinya.
Walaupun berasa tidak selesa, mangsa memilih untuk berfikiran positif dan mengawal kebimbangannya.
PEMERIKSAAN BUKAAN SERVIKS
Bagaimanapun, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila mangsa menjalani pemeriksaan ketiga pada 24 September 2024.
Pada usia kandungan mencecah 37 minggu, doktor mengesyorkan pemeriksaan bukaan serviks.
Jururawat yang bertugas sempat membantu membuka sebahagian seluar mangsa, sebelum pakar tersebut mengambil tindakan yang membuatkan mangsa berasa sangat terganggu.
"Dia menyentuh dan mengusap bahagian intim saya. Saya cuba menepis tangannya, tetapi kerana takut, saya tidak bersuara atau melawan," kata mangsa.
Hantaran Facebook berkenaan yang disertakan dengan rakaman CCTV proses pemeriksaan berkenaan menjadi viral.
Terdapat warga maya mendakwa pernah mendengar atau mengalami situasi serupa ketika mendapatkan khidmat doktor berkenaan.

Difahamkan, pihak klinik juga sudah lama mengesyaki seperti ada sesuatu yang tidak kena dan mendakwa lelaki itu sering mencari cara agar pembantunya tiada di samping ketika melakukan pemeriksaan ke atas pesakit.
Malah, pihak klinik juga memasang CCTV secara diam-diam untuk memantau doktor berkenaan.
BAPA DUA CAHAYA MATA
Tindakan tidak bertanggungjawab lelaki itu itu disahkan oleh Perkhidmatan Kesihatan Daerah Garut.
Ketua Dinas Kesihatan Kabupaten Garut, Leli Yuliani berkata, pelaku berkenaan terdahulu bekerja di sebuah hospital kerajaan.
Bagaimanapun, kontrak lelaki berstatus suami dan bapa kepada dua cahaya mata itu telah ditamatkan sejak akhir 2024.
Difahamkan, pada tahun lalu, doktor berkenaan pernah dilaporkan melakukan kejadian serupa ketika bekerja di fasiliti kesihatan kerajaan.
Mengenai video yang tular, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan tempatan akan meneliti lebih lanjut kebenaran video yang beredar.
"Pada 2024 kami juga menerima laporan berkaitan tindakan doktor yang melakukan perbuatan tidak senonohnya. Tidak pasti sama ada video yang beredar itu kes baru atau kes lampau," katanya.
Difahamkan, laporan berhubung kes berkenaan telah dikemukakan kepada pihak polis beberapa bulan lalu namun tiada kemajuan ketara dalam penyiasatannya.

Beberapa mangsa lain turut tampil dan memaklumkan mereka pernah mengalami tindakan serupa.
Malah, mereka mengaku pernah menerima mesej menggoda daripada pakar O&G itu melalui pesanan WhatsApp.
Dalam pada itu, Menteri Hak Asasi Manusia Indonesia, Natalius Pigai mengarahkan kakitangannya meneliti maklumat berhubung dakwaan kes gangguan seksu@l pakar perubatan berkenaan.
Memetik sindonews, Pigai mengakui baru menerima maklumat mengenai salah laku berkenaan.
“aya arahkankan staf turun lagi dari Bandung ke Garut untuk menyiasat perkara ini,” katanya.
Warga maya rata-rata menggesa agar tindakan segara diambil demi keselamatan wanita.
Sehingga berita berkenaan dikongsikan, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak klinik mahupun doktor berkenaan.
Sumber: Sindonews 1, 2, 3, Jawapos
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang