Hari wanita sedunia : Nancy tegaskan wanita harus tahu hak 'tiada siapa berhak menzalimi kita'

No Image Caption
A
A
A

BERSEMPENA Hari Wanita Sedunia yang disambut setiap bulan Mac, Kementerian Pembangunan Wanita bersama SinarPlus berganding bahu mengadakan program Borak Bibir Merah eksklusif untuk hari istimewa tersebut.

Program rakaman yang berlangsung di Chef Kecik Boulangerie, Kuala Lumpur pada 26 Februari lalu itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri sebagai tetamu jemputan khas.

Bertemakan ‘Wanita Beraspirasi Membina Legasi‘, program yang dihoskan pelakon, pengacara dan penyanyi, Ain Edruce itu menampilkan dua tetamu undangan lain iaitu penyanyi Sissy Imann dan bekas peserta program realiti berunsur Islam, Da‘i Izzhar Nazri.


KETUA Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin menyampaikan cenderahati kepada Datuk Seri Nancy Shukri.
KETUA Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin menyampaikan cenderahati kepada Datuk Seri Nancy Shukri.



Nancy ketika dalam sesi temu bual telah berkongsi cabaran utama menjadi seorang ahli politik.

Antara lain kata beliau adalah untuk membahagikan masa bersama keluarga, tugas sebagai wakil rakyat dan menteri.

“Sebagai wanita, kita perlu bijak menguruskan masa antara kerjaya dan keluarga. Jangan terlalu tertekan dengan persaingan yang ada.

“Sebaliknya, fokus pada diri sendiri, kekuatan yang ada dan pencapaian yang ingin diraih. Kita tak perlu bersaing dengan orang lain, tetapi bersainglah dengan diri sendiri untuk menjadi lebih baik setiap hari,“ katanya.

Pusat Sokongan Sosial Setempat

Tambah beliau, kerajaan sentiasa berusaha untuk memperkasakan wanita dengan menyediakan pelbagai inisiatif yang membantu mereka mengimbangi kehidupan kerjaya dan keluarga.

Berikutan itu, Nancy memberitahu, kementeriannya memperkenalkan satu kursus khas bagi membantu suri rumah menguruskan rumah tangga mereka dengan lebih baik terutama mereka yang perlu menjaga warga emas dan anak kecil.

“Ramai wanita yang ingin bekerja, tetapi kos untuk mendapatkan penjaga yang berkemahiran tinggi adalah sangat mahal.

“Kerajaan sedang berusaha memberikan kursus kecakapan penjaga untuk membantu wanita ini,“ tambahnya.

Nancy menambah, penjaga yang berkemahiran tinggi dapat membantu wanita untuk kembali bekerja tanpa kebimbangan tentang kebajikan keluarga mereka.

“Saya juga berterima kasih kepada majikan yang sudi memberi kelonggaran kepada wanita untuk bekerja mengikut jadual fleksibel dan kerja dari rumah bagi membolehkan mereka mengimbangi tugas profesional dan tanggungjawab peribadi.

“Faktor-faktor ini amat penting untuk memastikan wanita dapat kembali ke dunia kerja dan mencapai matlamat negara untuk meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada 60 peratus pada masa depan,“ jelas beliau.

Berikutan itu, Nancy berkata, kerajaan akan menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang menawarkan kaunseling profesional kepada individu yang mengalami tekanan mental dan emosi.

“Kita harus memberi perhatian terhadap masalah kesihatan mental yang semakin meningkat, terutamanya di kalangan wanita.

“Oleh itu, PSSS menawarkan talian bantuan dan kaunselor untuk memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan,“ ujarnya.

Beliau juga mendedahkan bahawa talian bantuan 15999 yang disediakan oleh kerajaan telah memberi sokongan kepada hampir 2,000 kaunselor di seluruh negara.

Katanya, kewujudan perkhidmatan berkenaan membolehkan wanita yang menghadapi tekanan atau kemurungan boleh mendapatkan bantuan dengan lebih mudah dan secara peribadi.

Antara wajah-wajah penonton yang hadir pada program Borak Bibir Merah.
Antara wajah-wajah penonton yang hadir pada program Borak Bibir Merah.



DA’I Izzhar Nazri ketika menjawab soalan yang diberikan oleh penonton.
DA’I Izzhar Nazri ketika menjawab soalan yang diberikan oleh penonton.



Mangsa keganasan

Dalam pada itu, berikutan kes penderaan mental, fizikal dan keganasan rumah tangga yang berlaku terhadap wanita, beliau juga menggesa supaya tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Keganasan rumah tangga ini bukan hanya berlaku kepada wanita yang sudah berkahwin, malah wanita yang belum berkahwin juga berisiko. Oleh itu, wanita harus berani untuk membela diri dan mengenali hak mereka.

“Banyak wanita yang mungkin merasa takut untuk melaporkan keganasan atau penderaan yang mereka alami kerana takut dipukul atau dibuli lebih teruk.

“Saya sering bercakap dengan wanita yang belum berkahwin, jika anda belum ada teman lelaki, garang-garang sikit! Walaupun dia handsome, itu tidak bermakna anda harus menerima perlakuan yang tidak baik,“ ujar beliau.

Justeru, Nancy menegaskan adalah penting bagi wanita sendiri mempunyai kesedaran mengenai hak-hak mereka.

“Wanita tidak sepatutnya membenarkan diri mereka diperlakukan dengan cara yang tidak adil. Kita perlu tahu hak kita sebagai manusia dan wanita. Tiada siapa yang berhak untuk menzalimi kita,“ jelasnya.

Justeru, beberapa inisiatif dilaksanakan kementerian tersebut yang bertujuan memberi sokongan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

“Kini, kita mempunyai undang-undang yang lebih tegas, termasuk Tribunal Anti-Gangguan Seksual (TAGS), yang membolehkan kes-kes gangguan seksual dan keganasan rumah tangga diselesaikan dengan cepat.

“Ini memberi ruang bagi wanita untuk mencari perlindungan dan keadilan,“ katanya.

DATUK Seri Nancy Shukri menegaskan adalah penting bagi wanita sendiri mempunyai kesedaran mengenai hak-hak mereka.
DATUK Seri Nancy Shukri menegaskan adalah penting bagi wanita sendiri mempunyai kesedaran mengenai hak-hak mereka.



Sikap suka membantu dan sentiasa turun padang menjadi kunci utama beliau mampu kekal sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong, Sarawak, untuk tiga penggal berturut-turut sebelum menjadi Ahli Parlimen Santubong.

Menyingkap kembali sejarah pembabitan dalam dunia politik, Nancy berkata, sebelum menyertai politik beliau pernah berkhidmat Ketua Bahagian Undang-Undang Dewan Bandaraya Kuching Utara (1992-2003) sebelum terbabit dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan politik.

Berkongsi pengalaman peribadinya, Nancy berkata, beliau sebenarnya tidak pernah bermimpi menyertai politik, apatah lagi berimpian menjadi menteri kabinet seperti sekarang.

“Pada awalnya, saya tidak pernah terlintas langsung untuk memasuki dunia politik dan menjadi menteri, malah berpendapat kejayaan berkenaan bukanlah bidang ingin diceburi.

“Namun, perjalanan hidup saya dalam dunia politik bermula selepas dipelawa oleh Premier Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan bertanding di Parlimen Batang Sadong pada Pilihan Raya Umum 2008.

“Biarpun tanpa pengalaman dan bukan berasal dari situ, namun saya tetap bertanding dan selalu turun padang bersama NGO supaya dikenali penduduk setempat sekali gus menang kerusi Parlimen Batang Sadong buat pertama kali pada 2008,“ jelas beliau lagi.

SESI game time bersama tetamu dan penonton cukup menggamatkan suasana.
SESI game time bersama tetamu dan penonton cukup menggamatkan suasana.



Program itu turut dimeriahkan dengan segmen permainan bersama selebriti yang hadir dan acara cabutan bertuah.

Sebagai penutup bagi majlis berkenaan, Sissy Imann menghiburkan tetamu menerusi lagu Pesan Ayahanda dengan iringan musik dari kumpulan Monocort.


SISSY Imann menyanyikan lagu Pesan Ayahanda di akhir segmen Borak Bibir Merah.
SISSY Imann menyanyikan lagu Pesan Ayahanda di akhir segmen Borak Bibir Merah.



KUMPULAN Monocort mengiringi lagu sepanjang program Borak Bibir Merah berlangsung.
KUMPULAN Monocort mengiringi lagu sepanjang program Borak Bibir Merah berlangsung.



Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang