Peguam sindrom Down pertama di dunia, 10 info Ana Victoria Espino
BIARPUN disahkan mengalami penyakit keturunan disebabkan oleh kromosom tambahan atau dikenali sebagai Trisomy 21, Ana Victoria Espino de Santiago mencipta sejarah apabila muncul orang sindrom Down pertama dilantik sebagai peguam di dunia.
Mengakui melalui pelbagai cabaran dan dugaan sewaktu pembelajaran selama lima tahun, Ana yang selamat bergraduasi pada Julai lalu memperoleh ijazah undang-undang dari Universidad Autónoma de Zacatecas.
Siapa wanita istimewa yang hebat ini? Berikut 10 info menarik mengenai wanita berusia 25 tahun ini:
1-Dilahirkan pada 30 Januari 1999, beliau adalah anak perempuan kepada pasangan Maristol de Santiago Ochoa dan Jesus Espino Zapata.
2-Ana terdahulu menghabiskan persekolahan peringkat menengah dalam talian sebelum memohon tempat sebagai pelajar undang-undang di Universidad Autónoma de Zacatecas.
3-Pada mulanya, rektor universiti ketika itu memaklumkan Ana tidak boleh diterima masuk kerana universiti itu tidak mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk pelajar dengan sindrom Down.
4-Bagaimanapun, dek kesungguhannya seorang pensyarah tampil membantu. Wanita hebat itu mengakui sokongan pengajar memainkan peranan penting untuk pastikan pembelajaran lebih inklusif untuk insan istimewa sepertinya.
5-Sepanjang lima tahun di universiti, pensyarah tersebut menemani Ana ke semua kelasnya, membantunya belajar dan mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan.
6-Ana mengakui suka aliran undang-undang kerana membolehkan beliau mempertahankan hak golongan kurang upaya dan hak asasi manusia serta mempertahankan hak diri sendiri.
7-Rasa ingin membantu golongan kurang upaya, membantu mereka yang tidak mempunyai suara menjadi faktor menguatkan semangatnya menghabiskan pengajian.
8-Selain menjadi pelajar undang-undang, Ana juga aktif pelbagai kegiatan luar universiti termasuk bidang seni. Sejak 2014, beliau menganjurkan pameran lukisan yang mana salah satu karyanya, 'Desde mi ciel' dipamerkan di lobi Kongres Kesatuan di Mexico City.
9-Pencapaian Ana telah mendapat perhatian antarabangsa, yang membawa kepada kerjasama dengan yayasan di Sepanyol, Peru dan Chile mengenai strategi untuk menyokong orang kurang upaya. Ana kini menerima pelbagai tawaran pekerjaan dari luar negara sekali gus menonjolkan pengiktirafan global terhadap keupayaan dan dedikasinya.
10-Melihat ke arah masa depan, Ana bercita-cita menjadi penggubal undang-undang dan terus memerangi diskriminasi serta memperbaiki penerimaan masyarakat terhadap orang kurang upaya.
Sekadar info, tidak seperti kebanyakan negara lain, di Mexico, tiada peperiksaan peguam di mana individu yang memiliki ijazah undang-undang sudah cukup untuk menjadikannya seorang peguam.
Sumber: LatinTimes, ModernMet
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang