Pasangan istimewa alami Cerebral Palsy selamat bergelar suami isteri raih perhatian ramai. ' Kami pun mahu rasa bahagia...'
KEGEMBIRAAN sepasang suami isteri yang selamat bernikah pada 24 Mei lalu meraih perhatian ramai.
Manakan tidaknya, Muhammad Shahriel Hakimi Hayuddin dan pasangannya, Aireen Natasha Mohd Zahid ialah Orang kurang upaya (OKU) kategori fizikal yang menghidap Cerebral Palsy.
Pernikahan pasangan istimewa itu mendapat perhatian di TikTok selepas Muhammad Shahriel Hakimi memuat naik video perkahwinan mereka, baru-baru ini.
SinarPlus turut berkesempatan menemu bual pasangan tersebut menerusi alam maya. Menurut pemuda berusia 25 tahun itu, perkenalan bersama isterinya, Aireen Natasha ketika menyertai penstriman langsung seorang sahabat di TikTok tiga tahun lalu.
Pertemuan tanpa sengaja di alam maya itu akhirnya menerbitkan rasa suka terhadap wanita berumur 21 tahun tersebut.
"Saya kenal isteri di dalam live sahabat. Ibarat macam cinta pandang pertama, daripada situ saya cuba dekati dirinya.
"Memang awalnya saya takut nak mendekati, bimbang keluarga belah sana tidak setuju sebab selalu terjadi. Alhamdulilah, keluarga saya dan keluarga isteri terima dengan hati terbuka akan hubungan kami berdua," ujar pemuda yang mesra disapa Shah itu lagi
Selepas itu, beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga selepas mendapat sokongan dan restu kedua belah pihak.
"Sebulan sebelum majlis, kami sudah sediakan segala kelengkapan dengan bantuan daripada kedua belah ahli keluarga.
"Kami seperti insan lain yang turut mahu rasa bahagia. (Selepas video perkahwinan dapat perhatian) ada yang bagi kata semangat dan ada yang lempar kata negatif. Tetapi saya jadikan ia semangat untuk melangkah ke arah lebih jauh.
"Syukur, orang tua kami beri sokongan dan kepercayaan kepada kami anak OKU berkerusi roda (untuk menjalani kehidupan berkeluarga)," katanya.
Lebih matang dan bersemangat
Berkongsi lanjut akan perubahan dalam diri selepas bergelar suami, Muhammad Shahriel melahirkan rasa syukur dan gembira kerana impiannya untuk hidup bersama dengan insan tersayang kini sudah dimakbulkan.
"Mestilah gembira... Dulu buat apa-apa sendirian.. sekarang berdua. Bukan itu sahaja, soal tanggungjawab pun saya kena galas dengan baik. Itu juga yang membantu membuatkan saya lebih matang dan bersemangat untuk berkeluarga walaupun kami banyak kekurangan diri. Yang penting kami syukur selalu," ujarnya lagi.
Shah dan isteri yang kini masih menetap bersama keluarga turut berimpian untuk memiliki kediaman sendiri kelak.
"Saya berniaga dalam talian, manakala isteri tidak bekerja. Walaupun saya berstatus OKU dan agak sukar mencari rezeki, tetapi saya berusaha dengan kemampuan diri untuk bahagiakan orang sekeliling.
"Selain itu saya mahu buktikan OKU juga boleh (bekerja) seperti orang normal. Walaupun pendapatan tak banyak, saya bersyukur dapat beri hasil itu kepada ibu bapa (dan kini menanggung isteri). Saya berharap dapat memberikan keselesaan dalam menyediakan keperluan untuk keluarga kecil kami ini," katanya yang berdoa semoga hubungan mereka kekal sehingga ke syurga.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang