Hampir muflis, hutang sekeliling pinggang, lelaki OKU nekad ubah hidup. Jadi tauke kerusi roda bermotor pertama di Malaysia

No Image Caption
A
A
A

PANTANG mengalah dan nekad berjuang! Demikian perkataan yang sesuai untuk menggambarkan kejituan semangat Azarin Razali demi membawa jenama Gospeedi ke persada antarabangsa.

Meski dirinya tidak sempurna seperti insan normal yang lain, namun itu bukanlah penghalang konkrit buat pengasas Good Take Care Trade berkenaan mencapai gelaran perintis kerusi roda bermotor pertama negara.

Kepada SinarPlus, Azarin memberitahu, hidupnya satu ketika dahulu tidak ubah seperti lelaki lain yang bebas bergerak ke mana sahaja tanpa sebarang kekangan.

Namun, ujian ALLAH yang datang tanpa diduga membuatkan hidup bapa kepada empat cahaya mata tersebut berubah 360 darjah selepas disahkan lumpuh separuh badan buat selama-lamanya.

No Image Caption

“Pada awalnya, saya mengalami masalah kaki kebas dan susah nak berdiri. Apa yang membuatkan saya risau, ia semakin teruk sehingga terpaksa mendapatkan pemeriksaan doktor.

Artikel Berkaitan:

“Alangkah terkejutnya bila doktor maklum saya sebenarnya mengalami masalah radang saraf tunjang. Paling saya tak boleh terima, hakikat lumpuh seumur hidup,” katanya yang didiagnosis penyakit itu pada tahun 2015.

No Image Caption

Akui anak jati Melaka itu, untuk bangkit semula bukanlah mudah. Apatah lagi dirinya sudah tidak boleh bekerja sebagai kontraktor pembinaan dengan kudrat terbatas.

“Enam bulan saya ambil masa untuk bina semula apa yang hilang. Tipulah saya tak kemurungan dan hilang semangat. Apa lagi memikirkan bagaimana nak mencari sesuap nasi demi menyara keluarga.

“Alhamdulillah sokongan famili dan rakan-rakan, sedikit sebanyak menyuntik semangat untuk saya kembali berjuang,” ujarnya yang memilih bisnes kerusi roda sebagai pendapatan baharu pada tahun 2017.

Cerita Azarin, minat yang cukup mendalam dalam dunia permotoran membuatkan dirinya mahu mencipta inovasi kerusi roda yang lain daripada lain dan sesuai untuk kegunaan golongan orang kurang upaya (OKU).

No Image Caption

Tidak hanya model manual semata-mata, usahawan berjaya itu juga menghasilkan kerusi roda bermotor untuk memudahkan OKU bergerak aktif sama ada bersukan, beriadah dan sebagainya.

“Jadi, nak dijadikan cerita saya terlihat satu model dari Taiwan dalam satu pameran antarabangsa. Saya beli satu dan mengubah suai mengikut kesesuaian OKU.

No Image Caption

“Tak sangka, model yang saya sudah ubah suai akhirnya mendapat permintaan ramai dan kini, sudah terjual lebih 1,000 unit,” katanya yang juga sudah menembusi pasaran Australia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Berpangkalan di Bandar Tasik Senangin, Mahkota Hills, Lenggeng, Negeri Sembilan, keunikan reka bentuk gabungan komponen tambahan seperti custer hadapan, rim belakang, rim tayar jenis sukan dan tayar tahan lasak menjadikan ia pilihan ramai.

Lebih membanggakan, pemilik label Gospeedi itu sedang merangka perancangan cukup strategik demi mengembangkan lagi sayap rangkaian produk pada masa akan datang.

No Image Caption

“Saya mahu memperkenalkan model baharu versi kereta dan motosikal untuk memudahkan mereka yang mengalami masalah lumpuh, bergerak dengan teknologi Gospeedi yang ditambah baik.

“Prototaip model pengangkutan mesra OKU itu dijangka akan siap pada akhir tahun ini dan mendapat kerjasama daripada agensi kerajaan,” ujarnya penuh semangat.

No Image Caption

Tatkala ditanya soal harga, suami kepada Siti Ros Ali itu berkata, ia mungkin dijual pada harga lebih kurang RM40,000 selepas meneliti beberapa faktor termasuk kelulusan pihak berkuasa.

Ubah pemikiran

Di sebalik kejayaan yang dikecapi bapa berusia 51 tahun itu, sebenarnya terdapat cerita memilukan yang agak sukar untuk dilupakan Azarin buat selama-lamanya.

“Sebenarnya semasa saya disahkan lumpuh, saya hilang sumber pendapatan sekelip mata sehingga hampir muflis. Hidup dikelilingi hutang hingga terpaksa jual rumah dan kereta.

No Image Caption

“Sesiapa pun diuji dengan dugaan seperti ini, pasti hilang semangat jiwanya. Percayalah tanpa sokongan yang kuat, tak mungkin saya boleh berada di tempat sekarang ini,” ujarnya.

Justeru, beliau menitipkan kata-kata semangat buat mereka yang senasib supaya keluar daripada kepompong kemurungan dan mencari grup sokongan yang boleh membantu.

No Image Caption

“Apa yang saya buat? Saya cari kumpulan OKU yang aktif sukan dan sertai mereka. Sebagai rekod peribadi, saya terpilih mewakili pasukan Negeri Sembilan untuk acara tenpin boling pada temasya Sukan Para SUKMA.

“Sekarang ini bila usia dah meningkat, saya sertai pasukan veteran untuk sukan yang sama sebagai mengisi masa lapang. Pada masa sama, kita boleh lihat kesungguhan OKU yang lain untuk meneruskan hidup,” ungkapnya.

No Image Caption

Nasihat Azarin lagi, jangan sesekali menyalahkan takdir buat mereka yang diduga dengan kelainan upaya sama ada sejak dilahirkan atau secara tiba-tiba.

“Sebenarnya, banyak lagi bentuk bantuan yang boleh kita nikmati sebagai OKU dan paling penting, jangan jual mahal. Jika kita rasa paling teruk, ada lagi insan yang lagi hebat ujiannya.

“Sebab itu, keluarlah dan dekatilah kumpulan OKU berhampiran supaya kita dapat berkongsi semangat juang bersama-sama meskipun serba kekurangan,” katanya menutup perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang